Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim mengetuai satu usaha sama murni bersama Applecrumby®, peneraju jenama kesihatan dan kesejahteraan bayi di Malaysia serta Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) untuk menaik taraf kesejahteraan ibu yang baru bersalin bersama bayi mereka.
Bertempat di Hospital Sultanah Aminah, upacara bermakna ini menyediakan sokongan kepada lebih 200 orang wanita bergelar ibu yang memberikan impak positif dan berkekalan kepada keluarga mereka sewaktu berdepan momen kritikal di dalam hidup.
Majlis yang diadakan tambah bermakna apabila ia berlangsung bertepatan dengan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar.
Semasa majlis berlangsung, YAM Tunku Tun Aminah mengedarkan sendiri set hadiah eksklusif, termasuklah alat permainan, lampin premium, dan krim bayi daripada Applecrumby®, dilengkapi dengan sumbangan wang tunai daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim seterusnya menambah sentuhan peribadi dengam menandatangani kad untuk diberikan kepada para ibu, bertujuan untuk memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada mereka.
Pengasas Bersama Applecrumby®, Jesmine Tan meluahkan rasa bersyukur apabila berpeluang melibatkan diri serta menjayakan kerjasama murni ini.
“Di Applecrumby®, kami percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat segala yang terbaik dalam hidup mereka. Berkolaborasi bersama Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan bekerja bersama YAM Tunku Tun Aminah merupakan satu penghormatan yang luar biasa. Bersama-sama, kami berharap untuk menyediakan bukan sahaja produk asas tetapi juga berkongsi mesej penjagaan dan rasa belas kasihan terhadap sesebuah keluarga sewaktu berdepan momen penting dalam kehidupan mereka.”
Set hadiah, sumbangan wang tunai dan kad peribadi ini mencerminkan usaha kerjasama Yayasan Sultan Ibrahim Johor, keluarga Diraja Johor, dan Applecrumby® dalam misi bersama mereka untuk menyokong kesihatan dan kebahagiaan ibu dan bayi mereka yang baru lahir.
Inisiatif ini menekankan kepentingan penjagaan secara beramai-ramai dan menyerlahkan dedikasi para ibu ini dalam mewujudkan impak yang bermakna dalam kalangan komuniti mereka.
Untuk ketahui apa lagi acara yang terkini sekarang, klik di SINI.