KelabMama

Warna Najis Bayi (dan Bila Mama Perlu Risau)

Buat kaum ibu yang baru bergelar Mama pasti mahu membesarkan si manja dengan cara yang terbaik. Pasti ramai yang mencari rujukan manual keibubapaan. Antara perkara yang sering Mama terlepas pandang ialah tentang jenis warna najis bayi.

Najis bayi berbeza mengikut umur dan cara pemakanan bayi itu sendiri. Secara amnya ada beberapa kategori warna najis bayi yang boleh dijadikan panduan. Dalam perkongsian ini, Mama dapatlah pantau tahap kesihatan si manja sama ada memerlukan perhatian dan rawatan pakar atau sebaliknya. 

Foto kredit: Daddy Library

Warna najis bayi berbeza-beza mengikut tona tertentu. Malah perubahan yang lebih ketara dalam najis bayi berlaku di tiga bulan pertama kelahiran. Mama Siti cuba senaraikan warna-warna najis bayi yang berbeza untuk panduan Mama supaya Mama tak panik atau tak terlalu mengambil mudah. 

Jenis Warna Najis Bayi Yang Mama Perlu Tahu

Warna Hitam-kehitaman

Walaupun kebiasaan warna hitam menandakan sesuatu yang kritikal, najis bayi yang berwarna hitam bukanlah sesuatu yang membimbangkan. Ianya adalah sesuatu yang normal, terutamanya bagi bayi yang baru lahir beberapa hari. Nama saintifik untuk jenis najis ini ialah ‘meconium’. Ia kelihatan seakan-akan minyak hitam kereta. Ia terhasil daripada mukus, cecair amniotik dan sel lain yang masuk ke dalam usus untuk dibuang.

Namun demikian, kalau bayi Mama masih lagi mengeluarkan najis hitam-kehitaman dan jika ia berlarutan sehingga berhari-hari atau bayi sudah berumur hampir sebulan, ia berkemungkinan disebabkan pemakanan berwarna hitam seperti jus anggur atau ubat batuk, dan boleh juga disebabkan tersedut asap rokok yang bertar dari persekitaran.   

Jika keadaan ini melarat sehingga tiga bulan, mungkin bayi Mama menghadapi melena di mana ada masalah pendarahan pada bahagian pencernaan atau perut bayi. Sebaiknya, jika Mama melihat najis bayi berwarna hitam-kehitaman selama sebulan dua, Mama mungkin perlu mendapatkan nasihat doktor pakar. Kalau najis itu berketul-ketul kehitaman juga perlu dapatkan rawatan segera.   

Warna Hijau-kehijauan

Najis bayi yang berwarna hijau juga bukanlah sesuatu yang membimbangkan dan kebiasaannya adalah disebabkan oleh diet bayi. Di bawah sinar lampu yang kurang cerah, mungkin ada Mama yang akan keliru antara najis berwarna hitam atau kehijauan. Untuk kepastian, Mama boleh cuba mencalitkan kertas putih pada najis supaya lebih jelas.

Warna najis bayi bertukar kehijauan jika diberi zat besi tambahan atau diberi makanan pejal. Najis hijau adalah disebabkan rembesan jus hempedu atau pemakanan sayur hijau seperti bayam. 

Bayi yang cirit-birit juga akan menghasilkan najis berwarna hijau kerana waktu pencernaan yang singkat. Mama mungkin ingin mendapatkan rawatan lanjut dari pakar jika ini berlaku.

Warna Merah-kemerahan

Bila najis bayi bertukar menjadi merah pasti akan membuat hati Mama tak tenteram. Najis berwarna merah sering dikaitkan dengan darah. 

Sama seperti najis berwarna hijau, najis merah-kemerahan juga terjadi akibat faktor pemakanan. Makanan berwarna merah seperti tomato, agar-agar merah dan beetroots boleh menyebabkan najis si manja bertukar kemerahan. Malah 90% kes yang dirujuk kepada pakar kesihatan terbukti yang najis berwarna merah bukanlah disebabkan oleh darah. 

Namun begitu ada juga najis yang memang bercampur dengan darah. Ini mungkin disebabkan bayi mempunyai alahan terhadap susu yang diminum atau dijangkiti bakteria.

Warna Jingga-kecoklatan

Apabila umur bayi mencecah 6 bulan dan sudah boleh diberi makanan pepejal, najis bayi yang normal akan bertukar menjadi warna jingga coklat. Di samping itu, baunya juga bertambah kuat berbanding bayi ketika masih menyusu badan. Jika warnanya ada gelap atau cerah, kebiasaannya adalah kerana warna pigmen yang dihasilkan semasa pencernaan. Warna najis sebegini adalah normal dan tanda bayi sihat. 

Warna Kuning 

Bayi yang menyusu badan sepenuhnya akan menghasilkan warna najis kekuningan. Kebiasaannya, najis bayi baru lahir yang berwarna hitam akan perlahan-lahan bertukar menjadi kekuningan. Ini adalah transisi sebelum makanan pepejal diberi kepada si manja.

Najis bayi yang diberi susu formula juga kebanyakannya berwarna kuning, tetapi lebih pekat seperti kuning mustard dan berbiji-biji kecil. 

Warna Putih Cerah

Mama jangan terkejut jika ada najis bayi yang bertukar putih cerah seperti warna kapur. Ini kerana lebihan rembesan jus hempedu yang terhasil dalam badan bayi. Jika ianya hanya berlaku sekali dua, Mama cuma perlu memantau corak najis bayi. Jika ianya berlanjutan, segeralah bawa si manja berjumpa pakar kesihatan. Takut bayi mungkin mengalami masalah pencernaan dan penghadaman.

Jenis-jenis Warna Najis Yang Lain 

Selain daripada warna-warna najis yang berbeza, tekstur najis bayi juga memainkan peranan dalam menilai tahap kesihatan bayi. Najis bayi yang terlalu berair menandakan alahan terhadap pemakanan atau dijangkiti kuman. Jika dibiarkan berterusan, bayi boleh mengalami dehidrasi. Najis yang keras juga tak baik untuk bayi. Najis yang keras selalunya disebabkan ketidaksesuaian pada susu dan diet bayi itu. Ada juga najis bayi yang bermukus. Ini adalah tanda jangkitan kuman atau bakteria dan Mama haruslah mendapatkan nasihat pakar untuk rawatan.

Foto Kredit: Ninja Housewife

Apa pun sebagai seorang ibu, Mama kena sentiasa pantau keadaan si manja. Kadang-kadang kita mungkin terlepas pandang berkaitan najis anak kerana kita lihat anak kita aktif macam biasa tanpa kita sedar perubahan najis anak. Kita juga kena berikan pemakanan yang seimbang kepada si manja supaya si manja mendapat khasiat yang secukupnya dan sistem pencernaannya berfungsi dengan baik.

Semoga bermanfaat!

BACA JUGA BAYI TIDAK BERAK. MAMA JANGAN TERUS PANIK!

Pesan Mama Siti

Menjadi seorang ibu adalah satu kerja mulia yang ditanggungjawabkan kepada insan-insan teristimewa. Mama Siti berharap Mama semua tabah menjaga anugerah terbesar ini dengan ikhlas.