KelabMama

Jangan Abaikan Warga Emas! 10 Cara Tingkatkan Kesihatan Mak Ayah Kita

warga emas bersenam

Jika lihat usia ibu dan ayah kita yang semakin lanjut dan memasuki usia warga emas, kita sebagai anak-anak mesti ada perasaan bimbang dan risaukan mereka.

Kita lihat kudrat mereka sudah tak sama macam sebelumnya, kesihatan mereka pun ada turun naik. Mama Siti percaya mesti Mama dan Papa mahukan ibu bapa anda kekal sihat walaupun di usia senja.

Penuaan memang tidak dapat dielakkan, namun ada kaedah tertentu boleh membantu ibu kita untuk kekal sihat. Sebagai anak, tips yang Mama Siti kongsikan ini sangatlah sesuai untuk Mama dan Papa praktikkan pada ibu anda.

1. Jaga Makan Ibu Bapa

Menjaga pemakanan adalah suatu yang sangat penting buat kumpulan warga emas kerana perut mereka tidak sama dengan kita.

Sebagai contoh jika dahulu ibu sangat suka makanan pedas, namun mesti Mama dan Papa perasan sekarang ini kalau terlampau pedas, perut mereka jadi tak selesa.

Justeru, bagi memastikan ibu kita sentiasa sihat, peranan anak-anak untuk memastikan mereka makan tepat pada waktunya serta makanan yang sesuai dengan faktor kesihatan si ibu itu sangat penting.

Contoh lain kalau ada antara ibu kita mengidap diabetes, anak-anak perlu tahu nak control pengambilan gula si ibu. Begitu juga dengan ibu yang menghidap darah tinggi, apakah menu terbaik dan sebagainya.

Memastikan makanan yang diambil penuh nutrisi serta pastikan ibu makan pada waktu yang tepat. Elakkan makan pada masa yang salah contoh lambat sarapan atau skip makan malam. Pendek kata, kita sebagai anak-anak kena make sure amalan pemakanan mereka berada dalam keadaan baik.

2. Ajak Mereka Melakukan Aktiviti Sihat

Ini pasti menyeronokkan untuk si ibu kerana berpeluang beriadah dan ambil angin. Tak adalah duduk je di rumah, mesti ibu pun rasa boring kan.

Sebagai anak, kita encouraged mereka untuk bersantai di taman atau teman mereka window shopping. Yang penting aktiviti itu menyihatkan dan menggembirakan mereka.

Lagi pula bila dapat lakukan bersama-sama, ibu akan jadi lebih bersemangat. So, kalau boleh dalam dua ke tiga kali seminggu, ajaklah ibu beriadah.

Kalau tak nak ke mana-mana mungkin boleh berkebun di laman rumah. Apabila melakukan aktivti sihat seperti ini, tubuh berasa lebih segar sekaligus menceriakan mood ibu!

3. Menjaga Emosi Mereka

Selain daripada penjagaan tubuh badan, penjagaan emosi juga penting bagi memastikan ibu sentiasa sihat. Sebaiknya elakkan daripada membuat si ibu sedih atau susah hati.

Jangan bebankan mereka dengan masalah kita sebagai anak-anak sebab sifat seorang ibu, jika ada musibah menimpa anaknya, ibulah yang paling risau sampai tak lena tidur dan tak berselera makan. Jadi, cara terbaik adalah sebagai anak, elakkanlah daripada membuat perkara yang bukan-bukan. Sentiasa fikirkan perasaan ibu kita.

Lagi satu, cara nak pastikan emosi mereka terjaga adalah sentiasa dengar luahan hati mereka. Mungkin ada perkara yang membelenggu fikiran si ibu sampai ibu boleh rasa kusut.

Justeru, sebagai anak, jadilah pendengar yang setia untuk mereka kerana berkongsi masalah itu boleh melegakan semua orang.

4. Amalkan Rehat & Tidur Yang Cukup

Tidur yang cukup adalah penting dalam memastikan tubuh si ibu sentiasa sihat. Anak-anak cuba sebaik mungkin untuk menjaga waktu rehat dan tidur mereka sebab apabila kurang tidur, pasti keesokan harinya ibu akan berasa lesu dan mudah letih. Tidur ini amat penting untuk gaya hidup sihat.

Kalau ibu itu tidak cukup tidur, cubalah periksa tekanan darah mereka pada hari esok. Pasti bacaan darah ketika itu sedikit tinggi. Jadi kalau boleh, jagalah kualiti tidur mereka bagi menjamin kesihatan si ibu.

5. Pantau Pengambilan Ubat-Ubatan Ibu

Ya, ini penting untuk anak-anak memeriksa ubat yang dimakan oleh ibu. Sebab kebiasaannya, warga emas ini suka membeli produk seperti jamu, supplement, ubat sapu dan ubat makan yang ibu sendiri tak tahu kesahihannya.

Bukan apa, kita risau jika ibu makan supplement merbahaya yang tidak mendapat kelulusan KKM. Seller pula mudah memperdayakan si ibu sebab orang tua kita tak begitu terdedah dengan social media sekaligus menyebabkan ibu ini tiada pengetahuan untuk membuat research product tersebut.

Kasihan mereka jika ada penjual yang tak jujur. Justeru sebagai anak, penting untuk kita selidik produk yang dibeli mereka dan pastikan semuanya adalah legal di pasaran.

Selain itu, anak-anak harus pastikan ibu makan ubat yang diberikan doktor mengikut jadual. Bimbang jika ibu terlupa, maka sebagai anak-anak remind ibu setiap hari.

Jika kita sibuk bekerja, call ibu dan tanya dah makan ubat ke belum? Selain daripada memastikan mereka mengambil ubat secara berdisiplin, situsi ini juga menggembirakan hati ibu kerana melihat anaknya sangat mengambil berat tentang mereka. Bila ibu gembira, kesihatannya pun terjaga!

6. Bawa Ibu Untuk Melakukan Ujian Saringan Kesihatan Setiap 6 Bulan

Demi memastikan kesihatan ibu sentiasa terjamin, anak-anak bawalah ibu ke klinik untuk lakukan ujian saringan menyeluruh pada setiap tempoh enam bulan.

Tak kisah sama ada check-up di klinik swasta atau pun kerajaan, yang penting ajak ibu buat pemeriksaan seluruh tubuh termasuk x-ray, ujian darah dan sebagainya.

Ini bagi memastikan doktor dapat mengesan awal jika ada sebarang keputusan daripada blood test atau x-ray membimbangkan.

7. Alert Dengan Perubahan Kesihatan Mereka

Sebagai anak, kita kena sentiasa alert dengan perubahan kesihatan mak ayah kita yang sudah memasuki usia warga emas. Contoh jika perasan sejak kebelakangan ini ibu kurang selera makan, segeralah bawa mereka ke hospital.

Anak-anak perlu lebih tahu keadaan semasa mereka. Kalau selalu nampak aktif dan ceria, tiba-tiba ibu berubah asyik cepat lesu dan keletihan, bawa mereka cepat-cepat ke klinik atau hospital. Boleh jadi itu red flag untuk kesihatan mereka.

8. Belikan Minuman Atau Makanan Sihat

Selain menjaga jadual makan ibu, penting juga untuk anak-anak menambahkan koleksi makanan atau minuman tambahan kesihatan untuk ibu.

Tetapi pastikan ia menu tambahan yang betul-betul sihat dan selamat untuk mereka ya! Contohnya minyak zaitun atau habbatus sauda. Atau nak lebih mudah cari makanan dan minuman berasaskan natural seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Galakkan ibu untuk menjadikan buah-buahan sebagai snek harian mereka. Minum air kelapa setiap hari juga memberi banyak manfaat kepada tubuh semua orang, maka wajib kita jadikan ia sebagai minuman harian si ibu!

9. Bawa Ibu Bapa Bercuti

Sama seperti kita, warga emas pun sangat gembira sekiranya dibawa bercuti bersama-sama. Bagi menggalakkan kesihatan ibu sentiasa berada dalam keadaan baik, apa kata sesekali kita bawa mereka bercuti bagi menggembirakan hatinya.

Bukan sahaja ibu happy, namun ia turut membantu menstabilkan emosi si ibu lebih-lebih lagi kalau mereka dalam fasa cepat letih kebelakangan ini.

Ajak ibu bercuti boleh memberikan vibe baharu untuk mereka. Kesannya, mesti ibu rasa semangat dan bertenaga.

10. Menjaga Keperluan Warga Emas

Sebagai anak, kita perlu tahu apa keperluan asas ibu bapa kita. Contohnya kalau ibu atau ayah gemar sapu minyak angin di kepala sebelum tidur, anak-anak cubalah sehabis baik layan keperluan mereka, dengan menemani ibu atau ayah sebelum tidur dengan mengurut kepalanya, pasti emosi ibu lebih happy.

Kalau ibu kita sudah uzur dan perlu memakai pampers, adalah lebih baik kita yang menyediakan keperluan asas itu serta lakukannya sendiri. Mama Siti yakin, cara ini sedikit sebanyak membantu kesihatan si ibu agar terus berada dalam keadaan baik.

Yang penting, Mama dan Papa tetap cuba menjaga kesihatan dan kebajikan mak ayah kita yang sudah memasuki usia warga emas. Sentiasa cuba untuk menggembirakan dan membahagiakan mereka.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan info lanjut mengenai kesihatan Mama Papa sekeluarga di SINI.