KelabMama

Wanita Galas Tugas Suami Bila Bayi Derita Sindrom ‘Vacterl’

Ibu Kuat Walau Bayi Derita 7 Penyakit Hidap 'Sindrom Vacterl'

Hati ibu mana yang tak luluh bila mana anak kecilnya yang baru saja mencecah dua tahun menderita tujuh penyakit akibat daripada sindrom ‘vacterl’.

Siti Nurjannah Umaira Ahmad Zainuddin terpaksa melalui pelbagai penderitaan setelah disahkan mengalami masalah buah pinggang, jantung, paru-paru kecil, tulang tidak sempurna, sumbing lelangit, sukar menelan makanan dan bercakap akibat daripada sindrom ‘vacterl’ yang mana ia hanya terjadi satu dalam 4,000 kelahiran.

Sindrom ‘Vacterl’ Hadir Sejak Lahir

Anak pasangan Ahmad Zainuddin Abdul Rahman, 45, dan Siti Norzurain Fatima Ab Razak, 31, disahkan pakar menghidap sindrom ‘vacterl’ itu sejak lahir. Menurut Puan Norzurain, dia tak mengetahui tentang keadaan anaknya itu setelah dilahirkan di sebuah hospital di Temerloh.

“Saya tidak tahu anak mengalami pelbagai masalah kerana ketika dalam kandungan tiada tanda dan selepas dilahirkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, (HOSHAS) Temerloh, barulah doktor mengesahkan dia menghidap sindrom itu.

Selepas Siti Nurjannah dilahirkan, doktor terus menempatkannya ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama empat bulan dan selepas itu dua bulan lagi di wad biasa sebelum boleh dibawa pulang.

Siti Norzurain Fatima menambah bahawa anak bongsunya itu akan menjalani rawatan jantung dan buah pinggang di HOSHAS serta akan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiga bulan sekali untuk merawat tulang.

“Kini, anak saya tidak mampu berjalan dan duduk. Saya perlu mendukungnya. Dia juga tidak boleh makan makanan keras kecuali susu yang perlu dimasukkan melalui hidungnya.

Siti Norzurain Fatima memangku Siti Nurjannah Umaira di rumahnya di Perumahan Banjir Kuala Teh, Jerantut, Pahang.

Hanya Minum Susu, Tak Benar Makan Makanan Keras

Ibu itu meluahkan bahawa Siti Nurjannah hanya mampu baring dan golekkan dirinya untuk bergerak dalam rumah. Dia juga tak dibenarkan untuk makan sebarang makanan keras kecuali susu yang dimasukkan ke dalam hidungnya menggunakan tiub.

“Dia memerlukan sekurang-kurangnya tiga tin susu khas. Kami bernasib baik Klinik Desa Kuala Teh menyumbang dua tin susu sebulan,” katanya.

Menambah ujian keluarga itu apabila abang Nurjannah, Adi Putra, 10, turut mempunyai masalah jantung berlubang. Tapi, anaknya itu semakin pulih selepas dua kali menjalani pembedahan. Perkara ini sekali gus menambah beban kewangan kepada pasangan berkenaan.

Galas Tanggungjawab Sebagai Ketua Keluarga

Kini, wanita itu menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga suaminya pula tak lagi mampu untuk melakukan kerja berat kerana menghidapi sakit saraf sejak lima tahun lalu menyebabkan beliau terpaksa berhenti kerja.

Sesungguhnya wanita Puan Norzurain Fatima redha dengan dugaan yang dihadapinya dan kuat demi keluarganya.

Beliau berusaha untuk menampung perbelanjaan keluarga dengan mencari pendapatan lain seperti menjual nasi lemak setiap hari selain mengharapkan suaminya bekerja dalam mana-mana pekerjaan yang ringan seperti jaga.

Namun begitu, akibat daripada anak bongsunya yang kerap meragam, perniagaan nasi lemaknya juga kadang-kadang terganggu kerana terpaksa melayan Siti Nurjannah.

Beliau kini hanya memasak di rumah dan menghantar makanan siap ke gerai orang lain bagi menampung kos rawatan dan keperluan harian.

Kuatnya hati wanita ini Ya Allah. Sebak hati Mama Siti bila mengetahui kisah Puan Norzurain dan keluarga. Marilah kita sama-sama doakan kesihatan Siti Nurjannah semakin baik agar bayi kecil molek ini dapat menjalani kehidupan seperti bayi yang lain.

Sumber: Berita Harian

BACA JUGA RAWATAN SUMBING BIBIR DAN SUMBING LELANGIT

Pesan Mama Siti:

Tabahnya hati seorang ibu ini! Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, beliau masih lagi tersenyum katanya, “Kalau kita sedih, anak kita pun ikut sedih.” Semoga Puan Nurzurain dan keluarga diberi kesenangan oleh Allah SWT. Buat mama dengan papa di luar sana yang nak bantu Siti Nurjannah Umaira, kat sini Mama Siti letak nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)- 0605502 0344689 atas nama Siti Norzurain Fatima Ab Razak. Sama-sama kita boleh salurkan sumbangan buat wanita ini.