Lampin basah tidak mengganggu kebanyakan bayi, oleh itu jangan fikirkan yang bayi akan menangis atau menunjukkan ketidakselesaannya setiap kali lampinnya basah. Lampin pakai buang menyerap lembapan dengan baik, jadi anda mungkin tidak menyedari yang lampin bayi sudah basah lencun. Untuk mengelakkan masalah ini, periksa sama ada lampin itu basah dua jam sekali dengan meraba-raba dengan jari yang bersih.
APAKAH YANG SAYA PERLU SEDIAKAN SETIAP KALI SAYA MENUKAR LAMPIN?
Sebelum anda menukar lampin bayi anda, pastikan anda mempunyai semua yang diperlukan berdekatan anda:
- Ruang yang selamat dengan permukaan yang bersih, dan boleh dicuci.
- Lampin bersih.
- Tong atau beg untuk membuang lampin yang kotor.
- Tisu basah untuk lap atau kapas dan air suam.
- Krim lampin jika bayi anda mempunyai ruam lampin.
- Sesalinan pakaian untuk masa-masa lampin yang kotor itu telah bocor.
- Alihkan perhatian bayi. Contohnya, anda boleh menukar lampin bayi di bawah mainan bergantung atau berikan dia anak patung lembut supaya dia asyik dan tidak sedar akan apa yang anda lakukan terhadapnya di bahagian bawah pinggangnya.
BAGAIMANAKAH CARA BETUL MELAKUKANNYA?
Setelah anda dapat menguasai cara menukar lampin, ia menjadi sesuatu yang dibuat secara otomatik, dan sesungguhnya anda mempunyai banyak peluang untuk belajar membiasakan diri, sebab di peringkat awal, bayi memerlukan pertukaran lampin lapan hingga 10 kali dalam sehari. Namun begitu, menukar lampin pada kali-kali pertama boleh merupakan pengalaman yang mencabar. Untuk memastikan anda bersedia, kami telah menyediakan panduan secara langkah demi langkah.
- Menukar lampin bayi anda boleh jadi sesuatu yang mencabar pada mulanya. Kadangkala tangan anda mungkin menjadi mangsa proses perkumuhan si manja. Tetapi lama-kelamaan, anda akan mendapati ia merupakan salah satu detik yang anda hargai dalam hari anda. Ia akan menjadi satu lagi peluang untuk mengeratkan ikatan dengan si manja, merangsang derianya dan menggalakkan tumbesaran yang ceria dan sihat.
- Kadang kala, memilih saiz lampin yang tepat juga memberikan masalah kepada kaum ibu kerana tidak mahukan sebarang pembaziran berlaku jika tersalah saiz lampin yang dibeli berlainan dengan saiz sepatutnya. Jika boleh ditukar kepada saiz lain, ia tidak akan menjadi masalah.
- Tambahan pula, ada sesetengah jenama lampin, yang saiz dan ukuran standardnya berbeza dengan jenama yang lain. Namun bagi yang masih keliru dan masih belum tahu, panduan di bawah boleh diguna pakai bagi memilih saiz yang tepat untuk bayi anda.
1) Saiz S – Untuk bayi yang mempunyai berat 3-7kg
2) Saiz M – Untuk bayi yang mempunyai berat 6-11kg
3) Saiz L – Untuk bayi yang mempunyai berat 9-14kg
4) Saiz XL – Untuk bayi yang mempunyai berat 13-19kg
5) Saiz XXL – Untuk bayi yang mempunyai berat 18kg dan ke atas
Walau bagaimanapun, ini hanyalah sekadar anggaran sahaja. Semuanya bergantung kepada keselesaan dan keadaan bayi anda.
- Penentuan saiz lampin tidak bergantung pada umur kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak tersebut berusia 1 tahun dengan berat 9kg, dia perlu dipakaikan dengan saiz L. Jika kanak-kanak tersebut berusia 1 tahun dengan berat hanya 7kg, saiz lampin yang sesuai untuknya adalah saiz M. Timbanglah berat anak anda dan dapatkan saiz lampin yang bersesuaian demi keselesaannya.
- Bagi kanak-kanak dengan berat melebihi 15kg, saiz lampin yang bersesuaian adalah XL. Walau bagaimanapun, kebanyakan kanak-kanak Malaysia (dengan berat 15kg ke atas) telah boleh dilatih untuk ke bilik air dan ia amat digalakkan memandangkan pemakaian diapers yang terlalu lama adalah tidak efektif untuk perkembangan dan pembesaran kanak-kanak.
Menukar lampin bayi merupakan kemahiran penting yang akan anda kuasai selepas beberapa hari mengurus bayi anda. Ini kerana, anda perlu menukar lampin si manja dengan sangat kerap. Di bawah ini ialah panduan ringkas untuk membantu anda belajar cara memakaikan lampin bayi.
BERSIAP SEDIA
Anda boleh menukar lampin bayi di atas meja khas atau di atas sebarang permukaan yang dialas dengan lapik menukar lampin atau tuala. Sebelum bermula, sila pastikan semua keperluan diletakkan di atas meja tempat anda akan menukar lampin bayi anda. Keperluan ini termasuk:
- Lampin yang bersih
- Tisu basah untuk bayi
- Beg plastik untuk lampin kotor
- Krim lampin
- Untuk kanak-kanak lelaki, kain tambahan untuk menahan pancutan
- Pakaian tukar untuk bayi anda
LANGKAH-LANGKAH MENUKAR LAMPIN BAYI
- Baringkan bayi anda di atas permukaan yang rata, lembut dan selamat.
- Tanggalkan lampin yang sedang dipakai dengan menarik tab pelekat, kemudian lipat dua pelekat itu supaya ia tidak melekat ke badan bayi anda.
- Dengan menggunakan tisu basah atau bebola kapas yang dibasahkan dengan air, bersihkan kawasan kemaluan dengan mengelap dari bahagian depan ke belakang.
- Letakkan lampin yang bersih di bawah bayi anda dan lap bayi anda dengan kain yang bersih hingga kering.
- Lekatkan jalur pelekat lampin yang bersih itu dari bahagian belakang lampin ke bahagian depan. Pemakaian lampin yang baik sepatutnya sendat, tapi tidak ketat.
- Akhir sekali, letakkan bayi anda di tempat yang selamat supaya anda boleh pergi membuang lampin yang kotor dan membasuh tangan.
NOTA PENTING!
- Jangan sekali-kali membiarkan bayi anda sendirian di atas meja atau permukaan menukar lampin, walaupun sesaat.
- Mereka yang baru menjadi ibu bapa sering terkejut dengan jumlah lampin yang mereka tukar dalam sehari. Oleh itu, sila pastikan anda sentiasa mempunyai stok lampin yang banyak.
- Sebelum dan selepas menukar lampin bayi, pastikan anda mencuci tangan anda.
Sumber: babycenter.com.my / johnsonsbaby.com.my