“Kamu ni, bila waktu makan saja selalu macam tu. Susah betul nak makan. Makan la cepat. Nak balik pulak ni. Kedai nak tutup dah. “ tinggi suara si ibu berkata.
Anak di sebelah, terkejip-kejip menahan airmata dari tumpah akibat dimarahi.
“ Dahla. Takmau makan sudah. Suruh makan ja nangis. Suruh makan ja nangis. Nanti lapar baru tahu. Jangan sibuk nak minta makan pulak nanti. Dekat rumah takde makanan. Biar lapar. Pergi basuh tangan” kata si ibu tinggi.
Tidak sedar mata-mata sekeliling memerhati anaknya yang sedang tersedu-sedu menangis. Waktu makan kadangkala waktu yang stres pada ibu bapa. Anak tidak mahu makan, anak main-main waktu makan, anak meragam dan menangis. Semuanya seperti tidak kena.Kerana itu kadangkala lebih mudah makan di rumah berbanding makan di luar jika difikirkan kerenah anak. Ibubapa stress, anak juga stress. Waktu yang sepatutnya menjadi waktu berkongsi cerita dan mendidik anak, menjadi waktu yang dibenci anak. Pemakanan anak yang tidak teratur juga kadangkala akan menyebabkan anak tidak ambil makanan mencukupi keperluannya seharian. Di sini saya kongsikan tips agar keperluan anak dapat dicapai dengan baik.
- Sediakan hidangan secara kerap. Iaitu 5-6 hidangan sehari. Berikan tiga hidangan utama iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Tambahkan snek antara waktu makan 2-3 hidangan sehari bagi memastikan anak sentiasa kenyang. Jarak antara setiap waktu makan adalah antara 2-3jam. Elakkan jarak masa yang terlampau lama antara satu waktu makan.
- Ketahui bila waktu tidur anak. Rancang masa pemberian makanan sebelum waktu tidur atau selepas waktu tidur anak. Elakkan memberikan waktu makan ketika anak sudah terlampau letih dan mengantuk. Sebagai contoh : Waktu tidur Zariff di taska adalah jam 12.30 tengahari sehingga jam 2 petang. Maka, berikan waktu makan tengahari seawal jam 11.30 pagi dan snek pada jam 3 petang apabila dia bangun dari tidur.
- Berikan makanan yang berkhasiat. Rancang menu dan snek yang mahu diberikan kepada anak. Elakkan anak-anak anda kerap makan makanan kurang bernutrisi seperti keropok, kerepek , gula-gula dan sebagainya. Elakkan juga pemberian snek atau minuman atau makanan manis sebelum waktu makan. Ini akan menyebabkan anak cepat kenyang dan tidak makan dengan baik semasa waktu makan utama.
- Jadikan waktu makan, waktu yang selesa. Elakkan anak-anak stress, takut, sedih atau risau kerana ini akan menghalang anak makan dengan baik. Elakkan mengugut anak untuk makan dengan habis atau menghukum anak untuk menarik balik perkara yang disukainya.“ Makan sayur tu bagi habis. Jika tidak, kamu jangan bangun selagi belum habis makan.“ kalau makan tak habis, ayah buang game dalam ipad kamu” Kedengaran agak kejam kan… tetapi ini yang biasa kedengaran. Waktu makan yang stress menyebabkan anak tidak suka makan kerana dia sering dimarahi dan didenda. Ini menyebabkan mereka akan tidak mengambil makanan yang seimbang dan sihat. Jadikan waktu makan yang menyeronokkan. Untuk menggalakkan anak makan sesuatu makanan yang tidak disukainya, ibu dan ayah terlebih dahulu harus berusaha makan dan menunjukkan makanan itu sedap. Ceritakan khasiat makanan. Jadikan waktu makan dipenuhi gelak tawa dan cerita oleh ibu dan ayah. Puji anak apabila anak berusaha untuk makan makanan yang tidak disukainya atau ditolaknya. Beri masa untuk anak menghabiskan makanannya. Waktu makan haruslah tidak melebihi 30minit. Waktu makan yang panjang akan menyebabkan anak mulai tidak selesa, meragam dan sukar menghabiskan makanannya.
- Elakkan gangguan semasa waktu makan. Tutupkan televisyen sekurangnya 30minit sebelum waktu makan, untuk memastikan anak lebih tenang ketika waktu makan. Elakkan telefon bimbit, ipad, tablet di atas meja makan atau semasa waktu makan kerana ini akan menggangu fokus anak untuk makan.
- Sediakan peralatan atau perabot yang sesuai untuk anak. Gunakan kerusi yang bersesuaian dengan anak seperti ‘ high-chair, atau ‘booster seat” bagi memastikan anak dapat makan bersama ahli keluarga di meja makan. Sediakan pinggan, manggkuk , cawan , sudu dan garfu yang bersesuaian dengan anak. Mangkuk yang lebih kecil mudah untuk anak menceduk makanannya berbanding mangkuk besar. Jika, makanan tumpah, elakkan memarahi anak. Waktu makan seharusnya dijadikan waktu untuk anak belajar kemahiran untuk makan dengan baik. Sediakan kain yang lembap atau tisu untuk mengelap makanan dan minuman yang tumpah. Jadikan waktu makan waktu untuk anak belajar menguruskan dirinya juga. Beri peluang kepada anak untuk belajar mengelap dan mengutip makanan yang tumpah.
- Berikan peluang kepada anak untuk menyatakan mereka sudah kenyang. jika Tuan/ Puan lihat anak sudah makan dengan jumlah sepatutnyam elakkan memaksa anak makan dengan lebih banyak. Maka, amaun di awal sebelum makan juga haruslah berpadanan dengan yang boleh diambil olehnya. perut kita manakan sama dengan saiz perut anak. Usah anggap anak sama dengan anak orang lain. perhatikan keperluan dan pengambilannya. Beri makanan mengikut jumlah yang boleh diambil. Bukan ikut apa yang kita mahu dia makan.
Sumber: FB RuQayyah Muhd ( https://www.facebook.com/ladyqay/posts/10153401878609211 )