Bukan lagi sesuatu yang luar biasa apabila semakin ramai wanita memilih untuk menangguhkan perkahwinan mereka dan mendapat cahaya mata pertama pada usia pertengahan 30-an atau awal 40-an, berbanding zaman nenek moyang kita dahulu. Hasil kajian antarabangsa mendapati, kelahiran pertama di kalangan wanita berumur 30 hingga 39 tahun meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh lebih kurang 15 tahun lalu manakala bagi mereka yang berusia 40 tahun pula, naik 50 peratus. Ada di antaranya disebabkan oleh melanjutkan pelajaran, membina kerjaya, mengukuhkan kedudukan ekonomi dan faktor jodoh – masing-masing punya alasan yang unik dan tersendiri mengapa lambat berkahwin.
RISIKO HAMIL JIKA BERUMUR
Telah dibuktikan yang fertiliti/kesuburan merudum dengan peningkatan umur. Harus diingati, perubahan umur tidak boleh diubahkan. Dari segi biologi evolusi manusia, tidak diketahui mengapa pengusiaan sistem pembiakan wanita cepat mengalami komplikasi kematangan usia berbanding dengan organ-organ di sistem lain di badan. Lampu amaran dinyalakan sebaik sahaja mencapai umur 35 tahun. Jam biologikal ini satu hakikat hidup. Pada waktu ini ibu-ibu mengambil masa dua kali usaha lebih lama untuk mengandung berbanding 10 tahun yang lampau.
- Tidak diketahui setakat mana keupayaan reproduksi lelaki dan juga corak kekerapan persetubuhan mempengaruhi fertiliti seorang wanita. Kesuburan reproduksi lelaki dan kekerapan persetubuhan juga, tambah beliau, berkait rapat dengan umur. Kematangan umur wanita turut mempengaruhi.
- Seandainya faktor lelaki disingkirkan, kejayaan untuk mengandung setelah setahun perawatan kemandulan bagi mereka berumur kurang 25 tahun adalah 73 peratus manakala 26 hingga 30 (74 peratus), 31 hingga 35 (61.5 peratus) dan usia selanjutnya (3.6 peratus).
- Kurangnya keupayaan kesuburan selepas umur 30 tahun mungkin berkait rapat dengan adanya penyakit-penyakit sakit puan, kesan umur terhadap fungsi silia di tiub fallopio serta bertambahnya insiden kitaran bulanan yang tidak menghasilkan telur untuk disenyawakan.
- Satu penilaian dimulakan setelah pasangan gagal mendapat anak setelah tempoh percubaan 12 bulan. Untuk mereka yang berumur menghampiri 35 tahun, mempunyai sejarah ketidakhadiran atau haid yang tidak menentu, sejarah sakit puan endometriosis atau penyakit tiub fallopia, penyiasatan dilakukan lebih awal tanpa menunggu tempoh percubaan 12 bulan.”
- Faktor-faktor lain yang mempengaruhi kesuburan adalah berat badan terlampau, penyakit tularan seksual, radang di kawasan pembiakan, tabiat merokok, apendiks yang pecah dan beguk orkitis – beguk yang memberikan kesan terhadap organ pembiakan lelaki.
- Penyakit tularan seks ini perlu dirawat supaya tidak berlakunya keradangan dan kemusnahan organ pembiakan wanita dan seterusnya kemandulan.
- Sementara itu, mereka yang mempunyai permasalahan dari segi haid seperti sakit semasa haid dan juga sakit pada bahagian pelvis (tempat letaknya organ pembiakan), perlulah mendapatkan rawatan lanjut untuk mengesan penyakit endometriosis.
MULAKAN BERKELUARGA LEBIH AWAL
- Kalau boleh, pasangan dinasihatkan supaya memulakan keluarga sebelum si isteri mencapai umur pertengahan 30-an. Masa yang ideal kekal 20 hingga 35 tahun.
- Faktor gaya hidup sihat juga, perlu ditekankan. Hindarkan daripada merokok dan juga penyalahgunaan dadah rekreasi. Kurangkan minuman berkafein dan beralkohol.
- Berat badan perlu dikurangkan dan dikekalkan pada berat badan ideal, terlalu kurus atau terlalu gemuk akan mempengaruhi kitaran haid bulanan.
FAKTOR USIA LELAKI JUGA MEMAINKAN PERANAN UNTUK KEHAMILAN WANITA
Faktor lelaki juga terlibat dalam 35 hingga 45 peratus kes-kes kemandulan. Sistem pembiakan suami lebih sensitif terhadap faktor persekitaran seperti memakai seluar dalam yang ketat, terdedah pada suhu luaran yang tinggi seperti mandi sauna dan tab mandi. Penyalahgunaan dadah steroid anabolik juga menyebabkan kemandulan. Cecair lubrikasi yang digunakan semasa persetubuhan juga dikaitkan dengan kemandulan. Jadi gunakan lubrikasi yang berasaskan air ataupun minyak sayuran, jika perlu. Sekiranya pasangan gagal memperoleh cahaya mata melalui prosedur biasa hubungan kelamin, terdapat teknik-teknik bantuan kehamilan yang boleh dilakukan. Teknologi bantuan reproduksi (ART) memungkinkannya. Tetapi harus diingat, umur merupakan satu rintangan utama kejayaan. Semua perawatan menjadi kurang berjaya apabila telur wanita bertambah usianya. Usia juga memungkinkan kehadiran elemen genetik yang boleh memudaratkan. Terlebih dahulu, doktor akan menjalankan ujian lanjutan untuk menentukan kesuburan seperti menganalisis air mani suami.
Ujian lanjutan untuk Wanita pula termasuklah:
- Penentuan keluarnya telur (ovulasi). Sekiranya kitaran haid kurang dari 35 hari, satu jangka suhu khas digunakan bagi mengukur kenaikan suhu badan yang berkait rapat dengan pengeluaran telur
- Ujian ramalan ovulasi yang boleh dibeli di kedai farmasi. Ia mengesan kenaikan mendadak hormon peluteinan yang bermula 36 jam sebelum keluarnya telur. Ujian ini bagus untuk mereka yang mempunyai atur cara kehidupan yang sibuk dan jarang melakukan hubungan kelamin
- Ujian darah untuk menentukan paras hormon progesteron, lazimnya pada hari ke-21 haid
- Ujian khas untuk menentukan fungsi ovari
- Histerosalpingografi, membantu untuk menilai ruang dalam rahim dan juga ketelusan kedua-dua tiub fallopia
- Laparoskopi, menilai persekitaran organ-organ pembiakan dan ketelusan tiub fallopio
- Penggunaan ubat-ubat kesuburan seperti Clomiphene Citrate dan hormon perangsang folikel
- Ultrasound Transvaginal – satu alat khas yang digunakan untuk menilai organ-organ pembiakan wanita seperti kedua-dua telur, rahim dan juga persekitaran. Alat ini juga digunakan untuk meramalkan bila telur mencapai saiz kematangan dan seterusnya persenyawaan.
Kaedah-kaedah lain bergantung kepada faktor-faktor lain yang memerlukan ujian lanjutan. Untuk pasangan lelaki yang bermasalah, sebaik-baiknya jumlah sperma melebihi empat juta, permanian berhadas boleh dicuba.Kaedah-kaedah lain yang lebih khusus seperti IVF, GIFT, ZIFT dan sebagainya memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
KOMPLIKASI-KOMPLIKASI KEHAMILAN PADA USIA LEWAT
- Berisiko tinggi untuk bersalin melalui pembedahan Caesarean dan juga penggunaan perkakas khas untuk membantu kelahiran seperti forseps dan vakum
- Bayi kurang berat badan
- Penyakit-penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi juga memudaratkan kehamilan
- Pendarahan yang banyak selepas bersalin
- Kelahiran sebelum masanya
- Kemungkinan janin meninggal. Ini mungkin disebabkan oleh faktor aneuplodi dan genetik lain yang berkait rapat dengan kelanjutan umur.
- Bakal-bakal ibu yang lebih tua juga berisiko mengalami insiden kelahiran sindrom down, keabnormalan janin yang bercorak genetik, keguguran secara spontan dan kematian perinatal.
RAWATAN AWAL UNTUK KEHAMILAN IBU BERUSIA
Walau bagaimanapun, permasalahan tersebut tidak perlu ditakuti sekiranya ibu-ibu mendapat perawatan awal daripada doktor-doktor. Dengan kaedah perawatan moden obstetrik di hospital-hospital di Malaysia, ibu-ibu boleh diyakinkan bahawa bayi mereka akan selamat, kecuali yang berkait rapat dengan faktor genetik.
- Pengambilan vitamin tertentu seperti asid folat, dua tiga bulan sebelum mengandung untuk menghindari pembentukan janin yang tidak sempurna.
- Capai berat badan ideal dan tinggalkan tabiat buruk. Apabila haid tidak datang, buatlah ujian mengandung dan seterusnya menerima perawatan antenatal daripada doktor yang prihatin dan fokus terhadap permasalahan semasa kesihatan.
- Ujian diagnostik ultrasound pada kandungan berusia 18 hingga 20 minggu perlu bagi menentukan kenormalan janin.
- Ujian biokimia lain juga boleh dilakukan untuk mengenal pasti sindrom down.
- Terdapat juga doktor-doktor yang memberikan perkhidmatan diagnostik antenatal seperti ujian Chorionic Villous Sampling dan Amniosentesis.
Sumber: Utusan & Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor