Pernah dengar tentang vallecular cysts pada bayi?
Bunyi macam pelik, tapi ketulan kecil yang tersembunyi di bahagian tekak ini boleh buat bayi alami masalah bernafas, tersedak masa menyusu, atau susah nak makan.

Memang bukan sesuatu yang biasa kita dengar, tapi sebagai Mama Papa, penting untuk tahu sebab ia boleh ganggu keselesaan si manja kalau tak dikesan awal.
Untuk bantu Mama Papa lebih faham, bersama Dr Chan Pei Sing, Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Neonatologi dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) tentang apa sebenarnya yang berlaku bila bayi ada sista vallecula, dan apa tindakan yang Mama Papa boleh lakukan.
1. Boleh doktor kongsikan sejauh mana sista vallecula (vallecular cysts) sering berlaku dalam kalangan bayi di Malaysia? Adakah terdapat lingkungan umur tertentu yang lebih berisiko?
Sista vallecula ialah sejenis masalah perubatan yang jarang berlaku. Di peringkat global, ianya dianggarkan sekitar 1.87 hingga 3.49 bayi bagi setiap 100,000 kelahiran hidup menghidap keadaan ini.
Di Malaysia, kita tidak mempunyai data yang tepat, namun ia masih dianggap jarang berlaku. Sista vallecula boleh ditemui pada bayi sejak lahir hingga usia 13 tahun, tetapi selalunya dikesan dalam minggu pertama selepas kelahiran.
2. Apakah tanda-tanda awal yang Mama Papa perlu perhatikan untuk mengesan sista vallecula pada bayi?

Perhatikan tanda-tanda seperti nafas berbunyi (stridor) atau kesukaran menyusu dalam minggu pertama selepas kelahiran. Ini mungkin petunjuk bahawa bayi mengalami masalah untuk bernafas atau menelan.
3. Bolehkah vallecular cysts dikesan semasa kehamilan melalui imbasan ultrasound, atau hanya akan menunjukkan simptom selepas bayi dilahirkan?

Sista yang lebih besar mungkin dapat dilihat melalui imbasan ultrasound terperinci atau imbasan MRI janin semasa bayi masih dalam kandungan. Namun, sista yang lebih kecil sukar untuk dikesan sebelum kelahiran.
4. Apakah risiko jika vallecular cysts tidak didiagnosis atau dirawat dengan segera?
Jika sista bersaiz kecil, ia mungkin hanya menyebabkan kesukaran menyusu atau masalah pernafasan. Tetapi jika sista bersaiz besar, ia boleh menghalang saluran pernafasan bayi dan menyebabkan masalah pernafasan yang serius, yang boleh mengancam nyawa dalam kes jarang.
5. Adakah Malaysia mempunyai pakar dan kemudahan yang mencukupi untuk mendiagnosis serta merawat bayi yang mengalami vallecular cysts?

Ya, Malaysia mempunyai doktor yang boleh membantu. Pakar pediatrik, neonatologi (doktor pakar dalam penjagaan bayi baru lahir), dan pakar ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) boleh mendiagnosis dan merawat sista vallecula.
Cara terbaik untuk mengesahkan diagnosis adalah melalui prosedur laringoskopi fleksibel, di mana doktor akan melihat bahagian dalam tekak bayi.
6. Apakah pilihan rawatan yang tersedia di Malaysia bagi mereka yang menghidap penyakit ini?
Rawatan utama untuk sista vallecula adalah melalui pembedahan bagi membuang sista tersebut. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara, seperti menyalirkan kandungan sista, membuat bukaan untuk membolehkannya sembuh, atau membuangnya sepenuhnya. Hospital-hospital di Malaysia mempunyai kemudahan untuk menjalankan rawatan ini.
7. Adakah penyakit ini berkaitan dengan keturunan dan ada kemungkinan berlaku kepada adik-beradik yang seterusnya?
Tidak, sista vallecula bukan penyakit keturunan. Ia juga biasanya tidak berkait dengan sebarang masalah kesihatan lain atau sindrom genetik.
Sista ini terbentuk apabila berlaku penyumbatan pada kelenjar di bahagian tekak semasa perkembangan janin, yang menyebabkan mukus terkumpul dan membentuk sista.
8. Adakah pembedahan satu-satunya cara merawat vallecular cysts, atau terdapat alternatif lain yang boleh dipertimbangkan oleh Mama Papa di Malaysia?

Pembedahan biasanya diperlukan untuk membuang sista. Masa pembedahan bergantung kepada saiz sista tersebut. Dalam sesetengah kes, sista yang lebih kecil mungkin akan dipantau terlebih dahulu, tetapi pembedahan tetap merupakan rawatan yang paling biasa.
9. Bolehkah sista vallecula muncul semula selepas rawatan, dan bagaimana Mama Papa boleh memantau sebarang komplikasi yang mungkin berlaku?
Kebanyakan kes mempunyai kemungkinan yang rendah untuk sista berulang selepas pembedahan. Namun begitu, Mama Papa perlu sentiasa peka terhadap sebarang perubahan dalam pernafasan atau penyusuan bayi, dan membuat susulan secara berkala dengan doktor.
10. Apakah punca atau faktor risiko yang boleh menyumbang kepada perkembangan sista vallecula pada bayi?
Tiada faktor risiko yang diketahui untuk sista vallecula. Ia berlaku disebabkan oleh masalah yang timbul awal dalam perkembangan bayi, dan bukannya berpunca daripada apa-apa yang dilakukan oleh Mama Papa atau sesuatu yang boleh dicegah.
11. Apakah nasihat Doktor kepada Mama Papa di Malaysia yang bayinya telah didiagnosis dengan vallecular cysts, terutamanya dari segi pemakanan dan kesukaran bernafas?

Sekiranya bayi Mama Papa mengalami kesukaran untuk menyusu atau bernafas, ia amat penting untuk bekerjasama rapat dengan doktor atau pakar bagi menguruskan masalah tersebut.
Dalam masa yang sama, pastikan anda memantau corak penyusuan bayi dengan teliti dan perhatikan sebarang masalah pernafasan.
Jika bayi menunjukkan tanda-tanda sukar makan atau kelihatan tercungap-cungap semasa bernafas, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Untuk ketahui apa-apa lagi tentang masalah kesihatan, klik di SINI.