KelabMama

Vaksin Influenza Percuma untuk Warga Emas Bermula 18 Februari – Jangan Lepaskan Peluang!

vaksin influenza

Berita baik untuk warga emas! Bermula 18 Februari 2025, individu berusia 60 tahun ke atas boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma. Program vaksinasi sukarela ini merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi.

Untuk memudahkan urusan, janji temu untuk mendapatkan vaksin ini boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari (Jumaat). Namun, pemberian vaksin ini akan dilakukan secara berperingkat, bergantung kepada ketersediaan stok di seluruh negara.

Slot Temujanji Vaksin Influenza di Mysejahtera

Kredit Gambar: eCentral

Menurut KKM, langkah ini bertujuan melindungi golongan berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza, seperti pneumonia, radang jantung, dan sepsis yang boleh membawa kepada kemasukan ke hospital atau lebih buruk, kematian.

Walaupun terdapat kekurangan stok vaksin influenza buat masa ini, KKM memberi jaminan bahawa situasi ini hanyalah sementara.

Bekalan vaksin untuk jangka sederhana juga mencukupi, termasuk untuk jemaah haji dan umrah. Malah, pihak Perkhidmatan Farmasi KKM sedang berusaha memastikan bekalan vaksin di pasaran swasta kembali stabil secepat mungkin.

Dalam pada itu, peningkatan permintaan terhadap vaksin influenza turut dikaitkan dengan kematian mengejut pelakon Taiwan, Barbie Hsu, akibat pneumonia yang berpunca daripada influenza baru-baru ini selepas pulang bercuti di Jepun.

Kejadian ini telah menarik perhatian ramai di Asia Timur, sekali gus menyebabkan lonjakan permintaan vaksin influenza di pasaran tempatan.

Oleh itu, KKM menyarankan agar warga emas yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung, obesiti, hipertensi, penyakit buah pinggang kronik, atau masalah pernafasan untuk mendapatkan vaksin influenza setiap tahun.

Di Malaysia, waktu terbaik untuk mendapatkan vaksin ini adalah pada bulan April atau Oktober, bagi menghadapi gelombang musim sejuk hemisfera selatan (Mei–Julai) dan hemisfera utara (November–Januari).

Selain mengambil vaksin, kita juga perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti:

Jangan lepaskan peluang untuk lindungi diri dan orang tersayang! Pastikan warga emas dalam keluarga Mama mendaftar untuk vaksinasi influenza percuma ini!


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Banyak lagi info menarik tentang keibubapaan untuk Mama & Papa boleh didapati di SINI.