Umum mengetahui khasiat susu badan ibu. Menyusu juga kini sudah kembali sebagai trend, malah ramai ibu muda pada masa kini tanpa mengeluh tetap akan mencari sudut privasi bagi menyusukan anak walaupun di pusat beli-belah, kedai makan mahupun dalam majlis keramaian. Jika tidak diberi menyusu terus dari payu dara, lambakan jenama dan jenis pam susu badan manual mahupun elektrik menjadikan wanita yang berkerjaya juga mampu memberikan susu badan secara eksklusif kepada bayi mereka.
Menyusukan anak secara eksklusif bermakna bayi disusukan dengan susu ibu sahaja tanpa diberi air masak, susu formula atau makanan tambahan lain selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun. Justeru itu, pemilihan pam susu yang bersesuaian perlu dititikberatkan untuk mengelakkan proses mengeluaran susu tidak terganggu akibat kejutan terutama dari segi sedutan. Pemilihan pam yang bergred hospital amat penting kerana ia lebih selesa digunakan, mengikut sedutan seperti mulut bayi selain tidak menyakitkan.
MENYUSU BAGI IBU BEKERJAYA
Ibu-ibu yang bekerja dicadangkan membuat kaji selidik menerusi Internet, rakan-rakan yang berpengalaman ataupun berjumpa dengan pakar laktasi sebelum membeli gajet tersebut. Sekiranya tersilap memilih kerana mahu yang murah, mungkin pam tersebut tidak bergred hospital sekali gus membantutkan proses pemerahan susu apabila payu dara ibu berasa sakit dan tidak selesa. Pemilihan pam yang betul sangatlah penting kerana ciri-ciri pam yang sepatutnya dipilih adalah sedutan yang menyerupai hisapan mulut bayi. Bagi ibu yang bekerja, lebih mudah sekiranya mereka memilih pam berganda (double-pumping) kerana ia amat menjimatkan masa, iaitu mereka boleh memerah susu pada kedua-dua belah payu dara secara serentak untuk tempoh 20 hingga 30 minit.
KELENGKAPAN PAM
- Selain pemilihan pam susu, ibu juga sudah boleh mula mencari produk penyusuan susu ibu di pasaran seperti beg penyejuk, gel ais dan beg yang bersesuaian untuk memudahkan ibu semasa hendak mula bekerja nanti.
- Susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk dua pintu (pintu atas) selama tiga bulan, peti sejuk satu pintu selama dua minggu dan peti sejuk beku selama enam bulan.
TIP MENGEPAM SUSU
Bagi wanita yang bekerja, memang diakui, pada mulanya pasti ramai yang agak malu untuk melakukan proses mengepam di tempat kerja yang sudah tentu menarik mata nakal rakan lelaki yang memandang.
- Sebenarnya mudah sahaja untuk mengepam di pejabat, yang paling penting pemilihan baju serta pakaian dalam yang mudah untuk diselak untuk mencekup corong pam susu dengan mudah.
- Selain itu, pemilihan pam elektrik yang kurang mengeluarkan bunyi, malah boleh juga ditempatkan motor pam itu di dalam beg khas untuk mengurangkan gegaran dan juga bunyi pam.
KELEBIHAN SUSU BADAN
- Bagi ibu yang meninggalkan anak di rumah pengasuh, oleh kerana kebanyakan pengasuh sudah terbiasa memberikan susu formula kepada bayi di bawah jagaan mereka, ia menyebabkan kemungkinan bekalan susu perahan yang disediakan tidak mencukupi selama di rumah pengasuh.
- Ini kerana ramai yang keliru mengenai kuantiti susu diperlukan oleh bayi yang membesar dari bulan ke bulan. Ia menyebabkan ramai ibu berada dalam dilema sama ada terus memberi anak susu badan apabila si kecil di bawah jagaan pengasuh.
- Konsep permintaan dan pembekalan perlu difahami ibu supaya mereka tidak tersalah anggap dengan kebolehan badan menghasilkan susu untuk anak-anak.
- Sebenarnya ramai ibu yang tidak tahu bahawa pengambilan susu perahan oleh bayi dari umur satu bulan hingga 6 bulan adalah sama dan tidak berubah. Ia adalah lebih kurang tiga auns sekali minum dengan empat hingga lima kali dalam tempoh ibu bekerja.
- Diakui pada awalnya, bayi akan merengek dan memberi isyarat seperti mahu menghisap susu lagi, namun ibu boleh melatih pengasuh untuk mendukung, bermain dan memberi lebih perhatian kepada bayi. Ini kerana kebiasaannya ramai yang beranggapan susu badan harus ditambah untuk bayi seiring dengan peningkatan usia sehingga 6 bulan. Bagaimanapun, pendapat itu mungkin hanya sesuai untuk susu formula sebagaimana yang tercatat pada label pada tin.
- Keunikan susu ibu adalah khasiatnya mengikut keperluan umur.
Sumber: Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah Farhan Abdul Fattah