Hubungan intim antara pasangan suami isteri bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan malah ia amat penting kerana mampu menjaga keharmonian, kerukunan serta kebahagiaan berpanjangan dalam kehidupan berumah tangga. Hubungan itu sebahagian daripada naluri asas manusia yang boleh mencetuskan perasaan positif seperti kegembiraan, ketenteraman, rasa disayangi serta dihargai pasangan. Bagi pasangan yang sudah berkahwin, hubungan kelamin mengeratkan lagi pertalian yang sudah terjalin sejak sekian lama, menambah rasa kasih dan memberi kesan positif kepada minda kerana memiliki teman rapat yang mampu berkongsi pelbagai kisah suka dan duka. Minda yang positif amat penting kepada tubuh dalam usaha melawan sebarang penyakit termasuk kanser kerana sekiranya minda bersedia berhadapan apa saja, tubuh akan lebih kuat dan kembali sihat dalam masa yang lebih cepat.
HUBUNGAN INTIM KETIKA MENGHIDAP KANSER
- Ada ketikanya hubungan intim antara pasangan boleh terjejas akibat beberapa faktor kesihatan atau perasaan berkecamuk apabila berhadapan sesuatu penyakit yang serius. Keadaan itu turut dialami wanita yang disahkan menghidap barah payudara di negara ini. Fikiran mereka terlalu dibelenggu oleh penyakit dihidapi hingga membuatkan ada antara mereka meletakkan kehendak hubungan intim ke tepi sedangkan ia adalah sebahagian daripada proses baik pulih pesakit.
- Selain itu, perasaan malu terhadap perubahan yang dialami tubuh sepanjang menjalani rawatan seperti parut, berat turun mendadak dan kehilangan rambut, membuatkan sebahagian pesakit hilang keyakinan untuk bersama suami. Mereka berasakan sudah hilang sifat kewanitaan dan rasa diri tidak cukup bagus untuk suami. Pada masa sama, rasa tidak selesa di bahagian rawatan menyebabkan ada yang enggan disentuh.
- Ada juga pesakit yang mendengar nasihat atau percaya kepada kepercayaan tertentu yang tidak benar atau mempunyai sebarang asas, misalnya mereka bimbang hubungan intim akan menyebabkan bahagian parut tercedera lalu kanser terus merebak serta menyangka penyakit itu boleh berjangkit. Hubungan intim juga boleh terjejas apabila ada suami yang terlalu sayangkan isteri mereka hingga sanggup mengetepikan keinginan untuk bersama kerana bimbang akan mencederakan atau membebankan pasangan membuatkan kedua-duanya sanggup melupakan sementara hubungan intim.
KUKUH IKATAN & PENGHARGAAN
- Rawatan kanser bermula daripada diagnosis hingga pembedahan, kemoterapi dan radiasi yang boleh mengambil masa lama iaitu antara enam bulan hingga setahun, malah pengambilan ubat boleh mengambil masa bertahun-tahun. Sedangkan hubungan kelamin antara suami isteri amat penting kerana ia mengukuhkan ikatan dan menunjukkan rasa sayang serta penghargaan, secara tidak langsung mewujudkan suasana positif dan meningkatkan keyakinan diri isteri untuk melawan kanser. Berfikiran positif serta persediaan mental dari awal terutama sokongan kuat pasangan amat penting untuk melawan kanser. Jika minda lebih bersedia, tubuh boleh berhadapan apa saja dan lebih cepat kuat dan sihat kembali.
- Masalah hubungan intim selalu tidak diberi perhatian kerana sukar dibangkitkan, sama ada disebabkan rasa malu bertanya atau tidak tahu hendak bertanya kepada individu tertentu, rasa sensitif, menganggap ia perkara peribadi atau remeh. Antara kebimbangan pesakit yang menyebabkan mereka tidak mahu melakukan hubungan intim apabila mereka takut mendapat jangkitan, takut sakit atau bimbang ubat kemoterapi akan berpindah kepada pasangannya.
- Biarpun pasangan digalakkan tidak mengetepikan hubungan intim, pesakit dinasihatkan tidak mengandung sepanjang rawatan atau enam bulan selepas rawatan kemoterapi tamat bagi mengelak masalah pada bayi. Bagi pesakit, persediaan mental dari awal selepas disahkan menghidap kanser amat penting dan mereka perlu faham tubuh akan mengalami beberapa perubahan ketara, bukan saja secara fizikal, tetapi mental.
KESAN RAWATAN
- Perubahan paling ketara adalah pada bahagian payudara kerana kesan parut atau tiada payudara selepas menjalani prosedur mastektomi. Ini secara tidak langsung mengundang perasaan rendah diri mengenai penampilan atau malu jika pasangan melihat tubuhnya. Perasaan kurang menarik dan terjejasnya keyakinan boleh menyebabkan dorongan keinginan kurang dalam diri untuk melakukan hubungan bersama pasangan. Rangsangan pada payudara baru selepas prosedur rekonstruktif berkurang kerana saraf terpotong dan tidak sama seperti dulu selain berasa sedikit kebas. Selepas pembedahan, ia akan bengkak sedikit, tetapi tidak sakit apabila sembuh, jadi tiada halangan untuk disentuh walaupun ia berparut.
- Ketika rawatan radiasi, bahagian payudara menjadi kemerahan, melecet atau mengelupas, tetapi ia hanya bersifat sementara. Bahagian bahu dan lengan pada sebelah payudara yang terjejas juga menjadi lemah, sakit atau bengkak sedikit. Oleh itu, ia memerlukan sokongan misalnya penggunaan bantal atau mengalih posisi tangan supaya pesakit berasa lebih selesa ketika hubungan intim. Rawatan kanser payudara tidak membabitkan perubahan rangsangan kelamin secara langsung untuk wanita menikmati hubungan intim.
- Bagaimanapun, kesan ubat-ubatan yang diambil boleh menyebabkan hormon terganggu dan kekeringan pada bahagian faraj yang boleh dibantu dengan penggunaan bahan pelincir dan dilakukan secara perlahan-lahan. Sokongan suami amat penting dan kesabaran mereka amat dihargai kerana pasangan akan menjadi lesu selain sering rasa mual.
- Pasangan juga digalakkan memberi sokongan padu termasuk mengikuti sesi perundingan diadakan doktor bagi mendengar dan memahami penyakit itu sekali gus membantu pasangan menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal dialami. Perubahan hormon ketika rawatan sememangnya memberi impak dan menjejaskan keinginan seksual tetapi ia bersifat sementara, malah ada pasangan yang merasakan hubungan intim mereka lebih bermakna.
- Pemberian susu ibu, sekurang-kurangnya selama enam bulan boleh mengurangkan risiko kanser berulang dan kadar kematian disebabkan kanser payu dara. Hasil kajian baru-baru ini yang diterbitkan di dalam Jurnal Institut Kanser Kebangsaan mendapati, dalam kalangan wanita yang mendapat kanser payu dara dan pernah menyusukan anaknya, pakar penyelidik mendapati risiko kanser berulang berkurang sebanyak 30 peratus malah kadar kematian juga berkurang sebanyak 28 peratus.
- Teknologi rawatan dan ubatan yang semakin canggih juga membantu merawat kanser dengan berjaya, namun kesedaran wanita untuk membuat pemeriksaan rutin dan mendapatkan rawatan pada peringkat awal amat penting. Waktu terbaik untuk membuat pemeriksaan sendiri bagi mengesan sebarang keadaan tidak normal pada payu dara adalah satu minggu selepas kedatangan haid kerana ketika itu payu dara berada dalam keadaan paling lembut.
Sumber: Perunding Pakar Onkologi Perubatan Hospital Beacon Dr Azura Rozila Ahmad & Harian Metro