KelabMama

URUTAN MAMPU SINGKIRKAN ANGIN PADA PERUT BAYI

Keberkesanan urutan tradisional sudah diketahui dan diwarisi daripada nenek moyang kita sejak sekian lama. Kuasa sentuhan manusia ini diteruskan dengan tujuan memulihkan kelesuan dan kesakitan otot atau beristirehat selepas penat bekerja. Teknik ini bertahan sejak berzaman dan kekal popular sehingga sekarang dalam kalangan masyarakat moden yang setia berpegang kepada kaedah rawatan tradisional. Bagi orang dewasa, mereka mempunyai inisiatif untuk pergi ke spa mendapatkan rawatan urutan tradisional, tetapi bagaimana pula untuk bayi, adakah fungsinya sama seperti orang dewasa dan bagaimana untuk melakukannya? Tidak ramai sebenarnya dalam kalangan ibu bapa yang mengamalkan mengurut bayi. Amalan ini sepatutnya menjadi perkara utama yang perlu dilakukan untuk merangsang otot si kecil, di samping memanfaatkan ikatan yang terjalin antara ibu bapa dan bayi.

 

LEGAKAN KEMBUNG PERUT & SEMBELIT

Secara umumnya, urutan pada perut bayi membantu menyingkirkan angin jika bayi menghidap kembung perut dan melegakan sembelit. Ramuan herba pada minyak sapuan seperti serai, halia kering, minyak kelapa sawit, dan kulit kayu gaharu membaiki peredaran darah, melegakan keradangan sendi, merangsang peredaran qi, dan melegakan kesakitan pada mana-mana bahagian yang diurut. Namun, harus diingatkan minyak sapuan yang digunakan tidak boleh terlalu panas agar bayi kekal selesa dan menikmati urutan yang dilakukan. Urutan pula tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana akan menyakitkan bayi.

 

REDAKAN TANGISAN BAYI

Ibu bapa sering berhadapan bayi terjaga dan menangis pada waktu malam. Bagi meredakan tangisan, mereka hanya bertindak memangku dan cuba menenangkan bayi dengan berjalan-jalan. Sebenarnya, ketika itu ibu bapa boleh mencuba untuk melakukan urutan kepada bayi mereka secara lembut. Kadang kala bayi berasa tidak selesa pada perut menyebabkan mereka menangis. Tidak terhad kepada kawasan abdomen sahaja, mereka juga boleh membantu bayi bernafas dengan lebih selesa ketika selesema dengan mengurut di bahagian dada dan atas hidung, selain urutan kaki untuk membuatkan mereka merasa lebih santai.

 

TEKNIK URUTAN BAYI

Sebelum memulakan urutan, pastikan bayi diletakkan di bawah cahaya yang suram dengan suhu yang tidak terlalu sejuk. Anda perlu menghangatkan minyak dengan menggosokkan kedua-dua belah tapak tangan anda agar suhunya sama seperti suhu badan, dan letakkan tangan pada bayi secara perlahan-lahan supaya bayi tidak terkejut dan menolak urutan anda.

Teknik ini memerlukan anda meletakkan ibu jari tangan di bawah sangkar rusuk bayi dan disekliling pusat. Tekan lembut ke bahagian tepi. Kaedah ini boleh melepaskan qi atau rasa kurang selesa dari bahagian tengah perut bayi. Jangan sesekali melepaskan tangan anda dari badan bayi secara tiba-tiba walaupun untuk menukar teknik urutan kepada yang lain kerana bayi mungkin sudah selesa dengan urutan yang dinikmati ketika itu.

Letakkan kedua-dua tangan pada perut bayi dengan lembut. Tekan ke bawah dengan sedikit tekanan untuk membantu menghilangkan angin di dalam perut menerusi saluran usus bayi. Anda juga boleh melakukan dengan cara mengangkat kaki bayi dengan sebelah tangan untuk menyingkirkan angin dengan lebih cepat. Pastikan punggung bayi tidak terangkat dan masih terletak pada pelapik.

Letakkan tiga jari pada bahagian kiri perut bayi dan gerakkan ke arah kanan jika anda seorang yang cenderung menggunakan tangan kanan, atau sebaliknya jika anda seorang kidal. Ini dilakukan bagi mengesan kekerasan pada abdomen bayi untuk mengetahui sama ada bayi mengalami masalah sembelit.

Teknik ini memerlukan anda mengurut bahagian bawah abdomen bayi dalam pergerakan arah jam menggunakan kedua-dua tangan. Letakkan kedua-dua tangan anda pada perut bayi dengan tangan kanan bergerak ke arah kanan, tangan kiri pula bergerak ke arah kiri dan buat putaran lengkap. Urutan dilakukan mengikut arah jam kerana susunan struktur fizikal usus adalah mengikut arah jam dan dengan sedikit tekanan, kaedah ini membantu bayi membuang air besar dengan mudah.

Langkah pertama, ‘I’ mewakili tapak tangan anda pada bahagian kanan abdomen bayi dengan menggerakkan ke bawah sebanyak sekali dalam pergerakan huruf ‘I’. Kemudian disusuli dengan huruf ‘L’ , iaitu tapak tangan diletakkan pada perut bayi dan digerakkan dengan lembut melintang ke kanan dan menegak ke bawah dalam pergerakan ke dalam dan keluar membentuk seakan-akan huruf ‘L’. Untuk ‘U’pula, pergerakan seperti huruf ‘U’ terbalik, bermula dari usus kecil dalam arah keluar. Pergerakan ‘I’, L’ hingga ke ‘U’ membantu menghasilkan pergerakan yang membantu bayi membuang air besar.

 

 

 

 

 

 

Sumber: Internet & Pertubuhan Antarabangsa Urutan Bayi (IAIM), Australia