KelabMama

“Unsung Heroes” Yang Turut Menyumbang Kepada Kemerdekaan Malaysia 1957

Tatkala menjelangnya bulan Ogos, laungan ‘MERDEKA!’ oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mulai bergema di setiap corong radio dan kaca televisyen. Meskipun tidak berada di sana, namun ia pastinya menyentuh hati kita apabila mengenangkan susah payah beliau memerdekakan tanah air melalui proses rundingan dengan pihak British.

Namun, disebalik kejayaan Malaysia menakluk kembali takhta negara, pastinya Perdana Menteri pertama itu tidak keseorangan sekiranya tiada bantuan dan sokongan daripada tokoh-tokoh terkemuka.

Beberapa nama besar selain Almarhum Perdana Menteri itu terus dikenang sehingga ke hari ini. Ia termasuklah barisan prajurit negara yang mempunyai semangat juang tinggi sehingga ada terkorban di medan perang.

Bagaimanapun, disebalik nama-nama besar diabadikan dalam kebanyakkan kisah kemerdekaan, terdapat juga usaha dan keringat daripada rakyat biasa yang bersama-sama menghulurkan bantuan bagi mencapai kemakmuran negara. Siapakah mereka?

Mari kita kenali tiga “unsung heroes” atau wirawati negara kemerdekaan yang namanya mungkin kurang didengari, namun memiliki jasa cukup besar kepada tanah air.

1. Datuk Siti Rahmah Kassim

Kredit gambar: Berita Harian

Tidak keterlaluan rasanya jika menggelar Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim sebagai dermawan kemerdekaan. Wanita yang dilahirkan pada 30 November 1926 ini wajar dijadikan contoh dan teladan apabila nekad menyumbangkan barang berharga milik beliau lantaran perasaan cintanya terhadap negara.

Pada tahun 1957, Datuk Siti Rahmah merupakan individu yang bersusah payah membantu mencukupkan dana bagi membiayai penerbangan Tunku Abdul Rahman ke Britain untuk rundingan kemerdekaan.

Beliau ketika itu tersentuh hati melihat Perdana Menteri mengalirkan air mata ekoran jumlah wang yang dikumpulkan masih tidak mencukupi untuk menampung penerbangan baginda ke sana.

Tanpa berfikir panjang, Datuk Siti Rahmah lantas menghulurkan gelang tangan emas kepada Tunku Abdul Rahman bagi sumbangan beliau terhadap misi kemerdekaan itu.

Tidak cukup dengan itu, wanita berjiwa patriotik ini turut menuju keluar dari Dewan UMNO dan mengelilingi orang ramai di situ untuk mengajak bersama-sama mendermakan barang perhiasan mereka yang bernilai.

Usaha Datuk Siti Rahmah pada hari itu membuahkan hasil apabila hadirin di dewan berkenaan berasa tersentuh hati dengan kata-kata semangat beliau dan sekaligus ikut sama menyumbangkan barang perhiasan mereka.

Dek kerana semangat perjuangan tinggi Datuk Siti Rahmah yang membuka mata ramai individu, Tunku Abdul Rahman berjaya berlepas ke Britain dan memetrai perjanjian kemerdekaan untuk Malaysia.

Datuk Siti Rahmah memberitahu bahawa gelang emas yang disumbangkannya itu cukup bermakna bagi dirinya kerana ia merupakan hadiah perkahwinan daripada bapanya.

Namun tindakan nekad beliau itu didorong atas faktor perjuangan yang tinggi untuk membantu negara mencapai Merdeka.

Pada asalnya, sumbangan beliau dirahsiakan daripada hali keluarga, namun ibunya kemudian mengetahui tentang hal tersebut daripada penduduk sekitar.

Datuk Siti Rahmah menceritakan bagaimana ibunya memukul beliau sehingga berdarah kerana terkilan dengan hadiah yang disumbangkannya itu. Namun, Datuk Siti Rahmah tetap cekal dan menyimpan pakaian berlumuran darah itu sebagai kenangan. Beliau menganggap peristiwa itu sebagai bukti bagi Darah Kemerdekaannya.

Wirawati berjasa ini akhirnya meninggal dunia pada 24 Mac 2017.

2. Datuk Rasammah Bhupalan

Kredit gambar: Focus Week

Beliau lahir pada 1 Mei 1927 di Ipoh, Perak dan mendapat pendidikan awalnya di Anglo Chinese Girl’s School Ipoh sebelum melanjutkan pengajian lebih tinggi ke Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1955.

Semasa berusia 16 tahun, beliau menyertai regimen Jhansi Rani iaitu sebuah sayap wanita dalam pergerakan menentang British di bawah angkatan tentera India semasa Perang Dunia Kedua di Burma. Ketika itu, matlamatnya adalah untuk membebaskan India daripada cengkaman penjajahan British dan menuntut kemerdekaan.

Hasil menyertai perjuangan di sana, perasaan patriotik dalam dirinya mula menebal sehingga mendorong beliau menyebarkan semangat itu kepada anak muridnya pula sewaktu bergelar seorang guru.

Datuk Rasammah bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Lelaki Methodist sejak tahun 1959 sehingga 1964. Kemudiannya menjadi pengetua di Sekolah Perempuan Methodist dari tahun 1970 sehingga 1982.

Pada tahun 1960, beliau yang merupakan pengasas Persatuan Guru Kaum Wanita (WTU) telah berjuang untuk memberi hak sama rata terutamanya kadar upah kepada kaum wanita.

Pada masa itu, bayaran guru adalah berbeza bagi setiap jantina. Bagaimanapun, Datuk Rasammah tidak berputus asa dengan berusaha menegakkan hak guru wanita sehinggalah pada tahun 1964, kerajaan akhirnya bersetuju dengan pendapat beliau untuk memberikan gaji sama rata.

Tidak hanya memfokuskan tentang gaji, sebagai seorang guru beliau juga turut bertegas kepada golongan murid perempuan untuk sentiasa bijak memperjuangkan hak wanita, menolak aktiviti seksual, menjaga kehormatan seorang wanita dan pelbagai lagi.

Beliau juga pernah mewakili negara dan merupakan wanita pertama dari Asia dalam Jawatankuasa Eksklusif World Conference of the Teaching Profession (WCOTP) pada tahun 1964 untuk dua penggal iaitu bagi sesi 1964-1966 dan sesi 1966-1968.

Selain itu beliau banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan khasnya Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (PEMADAM) dab Pertubuhan Majlis Kebangsaam Wanita (NCWO).

Pada tahun 2006 biografi beliau bertajuk “Footprints on sands of time, Rasammah Bhupalan: A Life of Purpose” telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. 

3. Sybil Medan Kathigasu

Kredit gambar: Facebook orangperak

Antara wanita berani dan cekal ketika zaman peperangan Jepun, Sybil Medan Kathigasu telah dilahirkan di Medan, Indonesia pada September 1899. Bagaimanapun, beliau yang berasal daripada bangsa Serani telah menetap dan membesar di Perak.

Salah seorang penduduk asal di Ipoh, Perak yang mahu dikenali sebagai Haji Johari memberitahu Kelab Mama bahawa sejarah dan jasa disumbangkan oleh Sybil sangat dikagumi dan terus dikenang masyarakat di situ.

Ujarnya, Sybil pernah mendapat kursus sebagai jururawat di Singapura dan telah berkhidmat di sebuah klinik milik suaminya yang merupakan seorang doktor. Klinik itu ditubuhkan di Brewster Road (sekarang dikenali dengan nama Jalan Sultan Idris Shah) yang terletak di Ipoh, Perak selama 15 tahun.

Pengorbanan Sybil dan suaminya, Dr. Abdon Clement Kathigasu bermula apabila mereka lari bersembunyi di Pekan Papan, Perak yang mana lokasi itu menjadi antara serangan tentera Jepun.

Bagaimanapun, kawasan itu dikawal hebat oleh kumpulan Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) bagi menentang kemasukan penjajah. Justeru, ramai pejuang MPAJA yang cedera akibat serangan di situ.

Sybil dan suaminya bertungkus lumus memberikan rawatan kepada pejuang MPAJA di situ sehingga satu tahap, beliau dan suaminya sanggup membuka klinik secara rahsia di bawah tanah melalui rumah kedai mereka.

Klinik milik Dr. Abdon Clement yang pernah beroperasi secara rahsia bersama isterinya, Sybil di Papan, Perak kini tinggal kenangan. (Kredit gambar: malaymail.com)

Mengetahui hal itu, kedua pasangan ini ditangkap dan diugut agar memberikan segala maklumat berkaitan MPAJA. Namun, Sybil berterusan menutup mulutnya sehingga diseksa dengan begitu teruk.

Diceritakan bahawa seksaan yang dialami antaranya dicabut kuku daripada kulit, ditusuk jarum sehingga menembusi di atas kulit yang dicabut kuku tadi.

Namun, Sybil tetap dengan pendiriannya untuk berdiam diri meskipun banyak mengetahui maklumat tentang pejuang MPAJA.

Tidak cukup dengan itu, kakinya dilecurkan dengan besi panas, badannya dipukul dengan batang buluh serta diseksa lemas dengan air separuh mati.

Akibat daripada seksaan oleh tentera Jepun, Sybil alami rosak tulang belakang, patah tulang belulang anggota badan dan patah rahang mukanya.

Beliau kemudian diletakkan ke penjara Batu Gajah pada tahun 1943 sebelum diselamatkan pada Ogos 1945 lantaran perang Jepun yang telah berakhir.

Sybil dibebaskan dibawah pemerintahan British ketika itu dan dibawa pulang ke Papan. Bagaimanapun, kecederaan akibat diseksa sangat krtikal menyebabkan beliau terus dihantar segera ke England dengan kapal terbang bagi menerima rawatan lanjut.

Tiga tahun dirawat, Sybil akhirnya meninggal dunia di usia 49 tahun pada Jun 1948 di Hospital Lanark, Scotland. Glasgow City Medical Center telah melakukan bedah siasat terhadap mayat Sybil Kathigasu dan didapati bahawa organ-organ dalamannya rosak teruk akibat kesan diseksa ketika dahulu.

Kredit gambar: orangperak.com

Jenazah Sybil Kathigasu dibawa kembali ke Ipoh dan beliau akhirnya telah disemadikan di tanah perkuburan Roman Katolik.

Justeru, sebagai mengenang jasa dan pengorbanan wanita berani ini, sebuah jalan di Ipoh kemudian dinamakan sempena nama beliau iaitu Jalan Sybil Kathigasu.

Besar pengorbanan ketiga-tiga “unsung heroes” kita ni. Semoga menjadi pengajaran buat Mama Papa semua.


Sayangi Malaysia dengan melawati pelbagai tempat menarik di negara kita dengan rujuk SINI.