KelabMama

Diari Hati Ibu: Suka Duka Perjalanan “Trying-to-Conceive” Saya dan Suami

Kami bertemu jodoh ketika suami hampir memasuki usia 30 tahun. Tak dinafikan juga lumrah pasangan baru berkahwin kebanyakannya sangat berhajat menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

Begitu juga kami, telah trying to conceive (TTC) seawal yang boleh. Apatah lagi waktu itu As menolak peluang menyambung sarjana bidang anatomi perubatan kerana tidak mahu berjauhan dengan suami. Jadi kehidupan telah didedikasikan untuk rumah tangga sepenuhnya dan bersedia untuk trying to conceive.

Langkah Pertama Trying to Conceive Kami

Masa berlalu tanpa berita kehamilan sehingga setahun tempoh perkahwinan. Rezeki latar belakang As sendiri di bidang Sains Kesihatan, As merasa terpanggil untuk membuat pemeriksaan dengan Pakar Sakit Puan terus ketika kami di fasa ini.

Memang dinasihatkan buat semua pasangan, jika sudah mencuba untuk hamil dalam tempoh setahun, boleh mula rujuk nasihat pakar untuk buat pemeriksaan just in case kita ada apa-apa isu yang boleh dibantu.

Kredit gambar: Utah Fertility

Antara tanda awal kita wanita ini mempunyai masalah perubatan melibatkan rahim adalah mengalami senggugut yang teruk, period yang tidak tetap atau cycle yang panjang, dan juga period flow yang terlalu heavy atau terlalu light.

Bagi lelaki pula, lebih sukar untuk diagak sama ada mempunyai masalah melibatkan kesuburan. Jadi, seeloknya, suami dan isteri sama-sama membuat pemeriksaan untuk melancarkan proses diagnosis dan seterusnya rawatan.

Bermulanya Pemeriksaan & Rawatan Kesuburan

Ia bermula dengan prosedur ringkas untuk kami monitor ovulasi di dalam rahim dengan ultrasound juga strip ujian ovulasi (OPK) dengan gigih.

Sehinggalah diikuti satu pembedahan yang bernama laparoscopy, kamera dan alatan untuk pembedahan dimasukkan ke dalam rahim dengan kaedah paling kurang invasif iaitu melalui tebukan beberapa lubang di abdomen.

Kredit gambar: Bupa UK

Rawatan ini termasuk juga dengan pelbagai suntikan hormon yang sangat mahal ketika dua kali prosedur intrauterine insemination (IUI) yang tidak berjaya.

Cabaran & Tekanan Sepanjang Proses TTC Kami

Proses rawatan perubatan yang kami pilih untuk dilakukan secara intensif ini juga memberi sedikit tekanan, yang tanpa kami sedar menjejaskan kelancaran rawatan. Begitu juga kos yang semakin meningkat.

Namun ada perkara yang sangat terkesan ketika ahli embriologi berpesan tentang menjaga kesihatan untuk cuba hamil melalui amalan pemakanan yang tidak mengganggu hormon seperti mengelak pengambilan soya. Disini baru As dan suami tersedar tentang kepentingan pemakanan untuk hormon dan sepanjang proses rawatan.

Sejak tu, As mula buat kajian sendiri dan juga bertemu pegawai perubatan yang mengamalkan rawatan secara lebih semula jadi. Ya lah, kita pun dah berhabis banyak dari segi kewangan, tertekan dan sebagainya.

As sangat bersyukur dengan titik mula masalah untuk hamil ini yang akhirnya kini telah merubah terlalu banyak gaya hidup kami terutama yang melibatkan kesihatan dan pemakanan sejak 9 tahun yang lalu hingga kini. Ia membuka dimensi baru dalam kehidupan untuk unlearn dan relearn segala ilmu tentang kesihatan.

Kredit gambar: Nutra Ingredients Asia

Alhamdulillah! Berjaya hamil secara semula jadi!

Masya Allah akhirnya setelah melalui banyak proses yang sukar bersama-sama, Allah beri hadiah kehamilan tanpa memerlukan sebarang ubatan.

Kami hanya monitor kondisi badan dengan OPK strip setiap hari, itulah asas yang semua TTCian boleh lakukan selain banyak mendedahkan diri kepada alam untuk mengurangkan stress, mengurangkan keradangan dalam badan dan membantu sistem tubuh untuk merawat dari dalam.

Ia bukan perjalanan yang mudah, banyak yang perlu dikorbankan. Namun perubahan yang baik adalah perubahan yang sustainable buat diri kita. Mampu diteruskan sepanjang zaman selagi usia dikandung badan kemudian disambung generasi anak-anak kita nanti. Moga Allah mengurniakan buat semua sahabat yang masih menanti.

Love, As.