KelabMama

15 Tips Untuk Sediakan Dapur & Rumah Mama Sempena Ramadan

Tanggungjawab seorang Mama sangat besar. Apabila masuk bulan Ramadan, Mama akan bertambah sibuk dengan aktiviti harian. Dalam pada kita ingin memperbaiki ibadah kita, Mama juga pasti sibuk memikirkan menu untuk berbuka dan bersahur. Itu tak masuk persiapan untuk raya lagi! Jadi, untuk memudahkan aktiviti harian Mama bulan puasa ini, KelabMama kongsikan 15 tips Ramadan khas untuk Mama!

#1 Kemaskan dapur.

Antara perkara yang paling penting Mama harus buat menjelang puasa ialah, kemaskan dapur! Bersihkan dan kemaskan dapur dan juga peti sejuk Mama sebersih-bersihnya. Buang semua bahan-bahan yang sudah tidak boleh digunakan lagi, dan bersihkan bekas-bekas simpanan. Jadi bolehlah Mama masukkan stok keperluan memasak yang baru. Sayur-sayur dan bahan-bahan yang baru juga akan jadi lebih segar, dan peti sejuk akan nampak lebih kemas.

#2 Sediakan senarai barang untuk membeli-belah.

Sediakan senarai barang-barang yang diperlukan untuk masa sebulan – barang memasak, membuat kuih, air, dan juga keperluan untuk memasak semasa Hari Raya nanti. Beli barang yang memang diperlukan sahaja. Ingat, jangan membazir!

#3 Beli semua barang sekaligus.

Setelah selesai buat senarai barang-barang yang diperlukan, Mama boleh ajak encik Suami pergi membeli-belah semua barang-barang tersebut. Adalah disarankan untuk Mama beli barang tersebut pada waktu yang sama supaya masa Mama lebih jimat.

Walau bagaimanapun, jangan berlebihan ketika berbelanja! Beli barang kering yang memang diperlukan seperti beras, gula, garam, minyak dan sebagainya. Untuk barang basah pula, pastikan barang-barang tersebut sesuai untuk disimpan dalam jangka waktu yang lama.

#4 Label bahan-bahan yang ingin dimasak.

Setelah selesai cuci semua barangan basah seperti daging, ayam, udang dan sebagainya, Mama boleh simpan dalam bekas mengikut kadar yang diinginkan untuk satu hidangan dan kemudian, labelkan. Ini akan lebih memudahkan Mama apabila tiba waktu untuk masak!

#5 Tetapkan perkara yang lebih penting.

Tentukan perkara atau menu yang lebih penting untuk dilakukan terlebih dahulu. Kemudian baru fokus perkara yang tidak terlalu penting.

#6 Buat checklist atau reminder.

Checklist atau reminder ni khas untuk segala persiapan yang Mama harus lakukan ketika Ramadan serta menjelang Syawal. Mama akan lebih teratur dalam melakukan segala aktiviti yang ingin dilakukan.

#7 Tentukan menu yang ingin dimasak.

Dalam masa yang sama, Mama dinasihatkan untuk fikirkan menu yang ingin dimasak. Lebih baik untuk Mama fikirkan menu ketika membeli barang. Tetapkan menu yang ingin dimasak mengikut hari, dan sediakan bahan-bahan untuk memasak di ruang yang mudah untuk dicapai.

Sekiranya Mama sekeluarga tidak kisah dengan lauk ‘frozen’, Mama boleh sediakan beberapa lauk pada satu masa dan letakkannya di ruang sejuk beku. Mama hanya perlu ambil dan panaskan lauk tersebut apabila tibanya waktu untuk masak.

#8 Ringkas seringkasnya.

Untuk sahur, Mama boleh sediakan menu yang ringkas tetapi berkhasiat. Tak perlu meriah seperti waktu iftar, asalkan cukup khasiat dan untuk memberikan tenaga sepanjang waktu berpuasa.

#9 Lebihan makanan.

Sekiranya terdapat lebihan makanan selepas berbuka, jangan terus buang tau! Terutamanya untuk lebihan makanan yang masih belum disentuh. Mama boleh sedekahkan pada mereka yang memerlukan atau berikan kepada jiran-jiran.

#10 Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Apa kata untuk Ramadan kali ini, Mama kurangkan makan makanan yang berminyak dan manis? Sebaliknya, lebihkan makanan yang penuh nutrisi seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan sebagai pencuci mulut dan banyakkan air putih untuk kembalikan tenaga selepas berpuasa.

#11 Memasak sambil membersih.

Selepas berbuka, Mama pasti ingin ikut ahli keluarga berterawih bukan? Untuk memudahkan dan menjimatkan masa berkemas Mama, apa kata sambil Mama masak tu, Mama terus bersihkan dapur. Simpan dan cuci mana yang patut. Jadi Mama tak perlu ambil banyak masa untuk mengemas selepas berbuka.

#12 Sediakan jadual untuk sebarang janji temu.

Antara perkara yang paling dinantikan bulan Ramadan ialah iftar bersama. Dalam pada kita sibuk ingin berbuka bersama keluarga, kita juga menerima jemputan daripada ahli keluarga lain dan juga rakan-rakan.

Dalam pada itu, elakkan daripada menerima jemputan yang tidak memberi manfaat. Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat baik untuk kita lebih fokus dalam beribadah. Jadi adalah lebih baik untuk Mama sekeluarga hanya hadiri jemputan yang memberikan faedah.

#13 Sediakan menu Iftar yang ringkas.

Menjemput ahli keluarga yang lain untuk beriftar bersama merupakan antara saat-saat yang dinantikan apabila berpuasa. Malah, menjadi tuan rumah untuk iftar atau menyediakan makanan untuk berbuka beramai-ramai merupakan amalan yang baik. Walau bagaimanapun, ianya memerlukan tenaga dan masa yang banyak.

Apa yang Mama boleh lakukan ialah dengan merancang dan menyediakan menu iftar yang ringkas, mudah tetapi sedap! Sediakan bahan-bahan memasak sehari sebelum hari iftar dan dapatkan pertolongan suami atau anak-anak ketika memasak.

#14 Makan makanan yang sihat.

Makan makanan yang sihat dan berkhasiat semasa berbuka dan sahur dapat memberikan tenaga yang berpanjangan untuk bekerja dan beribadah. Berbuka puasa dengan 3 biji kurma, dan Mama boleh sediakan susu kurma untuk sahur. Anak-anak akan lebih bertenaga ketika berpuasa esoknya.

Elakkan makan makanan segera, makanan berminyak dan makanan berlemak kerana ianya boleh membuatkan anda lebih mengantuk dan berasa malas.

#15 Rehat!

Rehat dan tidur yang cukup amat penting untuk Mama kekal bertenaga sepanjang bulan puasa. Walaupun Mama mungkin sibuk menguruskan hal rumah dan kerja, Mama harus cuba untuk mendapatkan rehat yang cukup.

Ini merupakan antara 15 tips sempena bulan Ramadan yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi. Selain rumah akan nampak lebih cantik, kemas, dan teratur, persediaan Raya Mama juga akan jadi lebih sistematik. Selamat menyambut Ramadan dan semoga Ramadan kali ini lebih diberkatiNya berbanding tahun-tahun yang lepas!