KelabMama

Daripada Pemakanan Hingga Senaman, 5 Tips Berkesan Meredakan Senggugut Teruk

Proses biologi wanita kebiasaannya akan mengalami menstruasi atau haid pada setiap bulan. Kitaran ini boleh bermula seawal umur 8 tahun hinggalah 16 tahun. Lalu, ianya berlanjutan dan berhenti hinggalah pada satu masa tertentu yang dipanggil menopause atau putus haid.

Namun, tahukah anda? Kira-kira 10% wanita berisiko mendapatkan sakit senggugut yang teruk. 

Tapi Mama, senggugut kan normal? Semua orang akan rasa kan? Betul, tapi ada sebab kenapa ada yang rasa sakit melampau, dan antaranya adalah kerana rahim terbalik (retroverted uterus), berat badan berlebihan, tekanan emosi dan keturunan. 

Kalau anda salah seorang yang sering rasa ingin pitam, sakit kepala, muntah dan cirit-birit, Mama Siti syorkan anda buat pemeriksaan kesihatan. Bukan apa, takut kalau-kalau ada penyakit yang kita tak sedar.

Bagaimana senggugut berlaku? Senggugut berlaku disebabkan hormon Prostaglandin yang berlebihan. Hormon ini menyebabkan pengecutan rahim dan pembuluh darah dalam rahim.

Kesakitan semasa haid ini menyebabkan ‘Presenteeism’ iaitu kehilangan produktiviti ketika pekerja tidak berfungsi sepenuhnya di tempat kerja kerana sakit, kemalangan dan lain-lain. Kesannya, kualiti kerja semakin merudum dan ada yang sehingga terpaksa kehilangan pekerjaan.

Kali ini, Mama Siti ingin kongsikan cara mengurangkan sakit senggugut agar anda lebih selesa menjalani aktiviti seharian.

Untuk memudahkan anda membaca, Mama Siti bahagikan tips legakan senggugut ini kepada beberapa bahagian: 

SENAMAN RINGKAS

Trdapat lima cara mudah untuk mengurangkan rasa sakit ketika haid dengan cara duduk. Untuk lebih faham, Mama sertakan sekali gambar sebagai rujukan. Lima gerakan ringkas tersebut adalah:

  1. Pusingan tulang belakang 
  2. Duduk lipat ke hadapan
  3. Gaya kanak-kanak
  4. Gaya menunduk
  5. Gaya rama-rama berbaring
Kredit gambar: juju.com

Banyak kelebihan melakukan senaman ini termasuklah dapat menstabilkan mood, mengurangkan perut kembung dan membuatkan badan rasa lebih baik secara fizikal.

Pergerakan ini sangat mudah dan tidak memerlukan penggunaan tenaga yang banyak. Cukup hanya duduk ataupun baring, ia dapat melegakan kesakitan.

Sedikit sebanyak, ini membantu menyelesaikan aktiviti seharian seperti bekerja dan menguruskan hal rumah tangga dengan lebih efisien. 

TEKNIK PERNAFASAN

Biasanya kalau dah sakit, kita susah nak bertenang. Baru-baru ni, Mama Siti diserang senggugut sampai terpaksa menahan nafas kerana terlalu sakit. Nasib baik ada kawan Mama Siti kongsikan teknik yang berkesan untuk kita mendapatkan oksigen secukupnya walaupun ketika sakit.

  1. Duduk tegak dan letakkan kedua-dua tangan pada bahagian yang sakit.
  2. Tarik nafas perlahan-lahan dan tahan untuk beberapa saat.
  3. Hembus nafas secara perlahan-lahan.

Anda akan dapati abdomen bergerak ke hadapan ketika menarik nafas. Abdomen akan kembali kendur ketika nafas dihembuskan.

Ulang cara ini untuk 5 minit dan anda akan rasai perbezaannya. Sebenarnya ini yang berlaku – ketika anda fokus pada pernafasan, anda akan hilang perhatian terhadap rasa sakit. 

Dan setelah beberapa kali anda melakukannya, badan sudah faham dengan tindak balas yang sepatutnya. Setiap kali anda bernafas dengan teknik diatas, otak memberikan isyarat untuk rasa sakit itu hilang buat seketika. 

MAKANAN MODEN & TRADISIONAL

Selain daripada itu, ada sesetengah daripada kita akan menjadi tidak mempunyai selera untuk makan seperti hari biasa ketika senggugut. Mama Siti faham sangat akan keadaan ini, sehingga kita lemah tidak boleh buat apa-apa.

Tapi, Mama Siti risau kalau kita tak makan dan minum seharian, kita akan kekurangan tenaga nanti. Jadi Mama Siti ada senaraikan pilihan makanan yang mudah untuk disediakan, yang dapat memberikan tenaga dan mengatasi masalah senggugut.

  1. Sayur berdaun hijau. Contohnya bayam. Bayam mengandungi zat besi yang tinggi. Zat besi dapat membantu badan menghasilkan lebih banyak sel darah merah yang hilang ketika menstruasi.
  2. Buah-buahan: Pisang, kiwi, dan nenas merupakan antara buah-buahan yang disyorkan ketika senggugut. Ketiga-tiga buah ini kaya dengan vitamin B6, potassium, dan bromelain. Buah kiwi pula terdapat enzim actinidin yang membantu masalah kembung perut dan mencerna makanan yang kaya dengan protein. Serat kiwi pula membantu meningkatkan pergerakan usus yang membantu mengurangkan risiko sembelit. 
  3. Oat. Umum mengetahui bahawa oat mengandungi zink & magnesium. Jika anda mengambil oat ketika senggugut, kandungan magnesium di dalam oat dapat menenangkan saluran darah. Lagi menarik dan kalau Mama tambah buah-buahan ke dalam oat. Lebih berkhasiat dan menyelerakan!
  4. Halia. Masukkan bagus untuk mengurangkan atau menghilangkan lebihan angin dalam badan.
  5. Air asam jawa & teh herba. Bancuhkan asam jawa dengan air suam. Amalkan sepanjang hari haid anda. Manakala untuk teh herba, bancuhkan dengan air panas. Teh ini melancarkan darah dan merehatkan otot rahim. 

UBAT DAN PRODUK

Perlukan alternatif tambahan, ambillah ubat dan produk bantuan seperti di bawah. Mama hanya perlu beli dan simpan sebagia stok di rumah apabila diperlukan nanti.

  1. Preskripsi daripada doktor: Untuk mereka yang pernah menjalani pemeriksaan di klinik. Makan ubat tahan sakit sesuai dengan preskripsi doktor. Jangan ambil dalam kadar berlebihan. Ikut dos yang telah ditetapkan ahli farmasi.
  2. Panadol menstrual: Ubat yang terkenal dengan nama ‘ubat pink’ di Malaysia. Gabungan paracetamol dan pamabrom bantu mengurangkan sakit dan angin dalam badan. 
  3. Penggunaan haba: Tuamkan air panas atau suam di bahagian yang sakit. Mama boleh menggunakan botol yang diisi dengan air panas atau heating pad yang boleh didapatkan di farmasi berhampiran. Mandi air suam juga sangat membantu.
  4. Penggunaan minyak angin: Penggunaan minyak atau krim panas atau minyak aromaterapi juga sangat membantu mengurangkan rasa sakit senggugut dan melancarkan darah ketika haid.

URUTAN 

Oleskan minyak panas, aromaterapi dan krim panas di kawasan rahim dan urutkan untuk beberapa minit. Anda boleh melakukannya sendiri atau boleh juga minta pertolongan orang lain. 

Sehingga anda merasa sedikit lega, biarkan untuk seketika. Kesan panas dari sapuan tadi akan bertindak balas dengan badan anda. Apabila rasa sakit itu kembali lagi, maka lakukan semula urutan sama seperti tadi. 

Selain dari rahim, anda boleh urut di bahagian dada dan belakang badan. Berikan sedikit tekanan di bahagian rahim ketika mengurut. 

Sebagai seorang wanita, Mama Siti faham bagaimana sakitnya senggugut tersebut. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. Boleh cuba satu daripada senarai pilihan di atas. Boleh juga kalau nak cuba semuanya sekali.

Yang penting, banyakkan minum air suam sepanjang menstruasi dan banyakkan berehat.