Ada keadaan dimana kemalangan boleh berlaku ketika kanak-kanak berenang di kolam renang. Keseronokan sebagai ibu bapa dan kanak-kanak kadang-kala membuatkan kita terlupa tentang aspek keselamatan di kolam renang.
Tanggungjawab memastikan anak sentiasa selamat tergantung kepada ibu dan bapanya serta ahli keluarga yang sudah dewasa. Inilah cara yang boleh kita lakukan untuk mencegah risiko lemas dan cedera.
7 Langkah Keselamatan di Kolam Renang untuk Anak-Anak
#1 Lantik Lifeguard
Ada satu nasihat baik yang Mama Siti terima iaitu ‘when everybody’s watching, nobody’s watching’.
Bila kita tak lantik orang tertentu pada waktu tertentu untuk mengawasi kanak-kanak berenang, berkemungkinan besar tiada siapa yang betul-betul perhatikan mereka dalam kolam renang.
Sebaiknya, ibu bapa dan ahli keluarga yang sudah dewasa perlu dilantik secara lisan dan jelas untuk mengawasi kanak-kanak semasa berenang.
#2 Jangan Harapkan Alat Renang
Alat renang ialah alat bantu dan bukan sepenuhnya menjamin keselamatan kanak-kanak di dalam kolam renang.
“Alah, anak saya dah belajar berenang dari umur tiga tahun lagi”
Itu antara kenyataan dalam mod selesa seorang penjaga. Ingat! Pelampung memang boleh menampung keseimbangan tubuh badan tetapi ia masih terbuka kepada risiko jika dibiarkan anak-anak berenang sendirian.
#3 Gunakan Tangga
Keterujaan kanak-kanak terhadap air memang tidak disangkal lagi. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, ajarkan anak supaya sentiasa menggunakan tangga untuk turun ke kolam renang.
Jangan biarkan anak melompat dari tebing kolam ke dalam air kerana ia boleh mengundang kecederaan fizikal disebabkan mereka belum pandai menganggar kedalaman kolam itu.
#4 ‘Sudah Terhantuk Baru Terngadah’
Telefon pintar dibenarkan dibawa ke dalam kolam renang namun begitu Mama dan Papa hendaklah sentiasa beringat dan tidak leka dengan telefon pintar itu.
Sedarkan Mama dan Papa, kedalaman kolam renang antara dua hujung mungkin berbeza. Oleh itu, pastikan Mama selalu peka dengan suara dan pergerakan anak walaupun dalam masa yang sama merakamkan gambar dan video mereka.
#5 Belajar Teknik Menyelamat
Jika anak-anak Mama berenang di taman teman, mungkin ada pegawai yang boleh segera membantu.
Tetapi bagaimana pula jika anak-anak berenang di rumah sedangkan Mama tiada kemahiran cardiopulmonary resuscitation (CPR). Jadi, penting untuk kita sebagai ibu bapa mempunyai pengalaman melakukan CPR.
Tidak lupa juga agar Mama gantungkan alamat rumah di tempat berhampiran kolam renang untuk memudahkan panggilan kecemasan dibuat.
#6 Pakaian Renang Yang Sesuai
Ciri-ciri baju renang kanak-kanak hendaklah diperbuat dari bahan yang mudah diregangkan (stretchable). Contoh bahan pakaian renang terbaik ialah nylon dan polyester kerana ianya ringan dan elastik.
Elakkan pakaian renang warna biru kerana ianya mengelirukan penglihatan penjaga kolam renang (lifeguard). Sebaliknya, gunakan warna-warna cadangan yang lebih cerah seperti neon, oren, kuning dan hijau sebagai pakaian renang anak-anak.
#7 Jangan Berenang Terlalu Lama
Sebenarnya berenang ialah salah satu jenis sukan dan aktiviti ini juga menyebabkan kita berpeluh dan penat.
Oleh itu, Mama perlu pastikan anak-anak tidak berenang terlalu lama dalam satu tempoh masa. Jika mereka mengalami keletihan melampau, risiko kekejangan otot boleh berlaku di dalam air.
Sebagai cadangan, ajak anak berehat 15 minit di luar kolam renang selepas 30 minit berenang.
Kehadiran orang dewasa sahaja tidak cukup jika mereka tidak tahu tentang keselamatan kanak-kanak di kolam renang.
Patuhi tujuh tips keselamatan yang Mama Siti kongsikan tadi supaya anak-anak kita dapat menikmati waktu bermain dengan selamat.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang sah.
Dapatkan lebih banyak panduan keibubapaan yang menarik dan terkini di SINI.