KelabMama

Tips-Tips Untuk Mama Yang Berpantang Sendiri Selepas Bersalin

Secara umumnya amalan berpantang sebenarnya tidak hanya menumpukan kepada sajian makanan serta minuman. Malahan amalan ini turut merangkumi hubungan seks, aktiviti harian seperti amalan mandi dan berurut. Pada kebiasaannya, hubungan seks tidak digalakkan dalam tempoh tersebut. Dari segi perubatan pula, tempoh berpantang ini sebenarnya adalah tempoh rehat serta satu proses baik pulih tubuh badan seorang wanita bagi memastikan luka jahitan episiotomi atau jahitan pembedahan caesarean (pembedahan semasa melahirkan anak) yang telah dijalani akan sembuh sepenuhnya.

Apabila darah nifas telah kering dan tubuh badan kembali sihat, pada ketika inilah mereka lebih bersedia dari segi fizikal dan mental untuk membahagikan masa bersama bayi dan suami. Selain itu, sesetengah wanita akan mengalami trauma semasa kelahiran bayinya. Jadi mereka memerlukan masa bagi memulihkan tenaga dan kebiasaannya agak lama bagi mengatasi trauma tersebut. Bagaimana pula dengan mereka yang harus berpantang sendiri? Tak semua wanita gemar berpantang sendiri, tambah-tambah untuk mereka yang baru melahirkan anak pertama. Tapi, mungkin atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan yang membuatkan anda terpaksa berpantang sendiri.

PERUBAHAN MENTAL

BERPANTANG SENDIRI

Jika anda memilih untuk berpantang sendiri di rumah, pastikan penglibatan suami dalam memberikan bantuan. Suami perlu menjadi orang kuat yang membantu isteri sepanjang tempoh berpantang.

Tips sekiranya Mama Berpantang Sendiri di Rumah

#1 PERSIAPAN MAKANAN

Salah satu faktor penting dalam penjagaan ibu berpantang adalah pemakanan. Ibu lepas bersalin mesti makan makanan yang berkhasiat dan tidak boleh terlepas waktu makan. Tetapi ibu tidak boleh makan sembarangan jenis makanan. Jadi, pastikan beberapa minggu sebelum bersalin, anda sudah buat persiapan menu makanan berpantang dan bahan-bahan yang diperlukan serta cara memasaknya. Ini bagi memudahkan suami membantu menyediakan masakan tersebut. Maklumlah pada minggu-minggu awal, ibu tidak boleh bergerak banyak. Menu orang berpantang mudah disediakan dan ringkas sahaja. Barang basah yang sudah dibeli, simpan di dalam peti sejuk. Pastikan sudah siap dipotong dan dibersihkan untuk satu kali masak. Pada minggu pertama, ibu digalakkan makan makanan kering bagi mempercepatkan pengecutan rahim. Pastikan juga waktu makan tepat untuk mengelakkan perut masuk angin. Makan nasi ketika panas dalam kadar sederhana.Tetapi ibu perlu makan dengan kerap apatah lagi sedang menyusukan bayi, maka ibu cepat berasa lapar.

#2 PERANAN SUAMI SANGAT PENTING

Suami adalah orang yang paling rapat dengan anda. Sokongan dan bantuan suami sangat penting bagi membolehkan ibu menjalani tempoh berpantang dengan sempurna tanpa tekanan. Berbincanglah dan terangkan kepada suami bagaimana dia boleh membantu anda semasa berpantang. Suami mesti membantu menguruskan kerja-kerja rumah seperti membasuh, menjemur dan melipat pakaian, menjaga anak, memasak makanan berpantang isteri dan menguruskan keperluan isteri berpantang. Oleh itu sebaiknya, suami mengambil cuti yang panjang lebih kurang seminggu atau dua minggu untuk menguruskan isteri dan anak yang baru lahir. Bantuan amat diperlukan terutama jika ibu bersalin secara pembedahan

#3 SEDIAKAN JADUAL BERPANTANG

Rutin harian semasa berpantang amat penting supaya ibu dapat rehat yang cukup. Sediakan jadual rutin waktu mandi, bertungku, bertangas, berpilis, memakai bengkuk, berurut, mengepam susu (untuk stok jika anda bekerja) dan menguruskan bayi. Dengan adanya jadual, anda akan berdisiplin mengikut rutin berpantang supaya cepat kembali cergas.

#4 HANTAR ANAK DI TASKA

Sekiranya anda mempunyai anak, pastikan mereka juga mempunyai jadual aktiviti harian supaya mereka tidak membuat ‘perangai’ dan boleh mengganggu emosi ibu. Jika mereka memang anda tinggalkan di taska atau pengasuh ketika bekerja, maka sepanjang berpantang anda perlu tetap menghantar mereka. Ini kerana agak sukar untuk anda menjalani tempoh berpantang sendirian tanpa bantuan orang lain dan dalam masa yang sama perlu menjaga anak-anak lain terutama jika mereka berusia di bawah enam tahun.

#5 MENCARI BIDAN/TUKANG URUT

Keperluan ini sangat penting untuk memastikan rutin berpantang dapat dilaksanakan dengan lancar.Oleh itu pastikan anda sudah membuat tempahan awal bidan atau tukang urut untuk mengurut anda semasa berpantang. Sekarang bukan sahaja ada khidmat tukang urut, kalau ada bajet lebih anda juga boleh mengupah confinement lady yang akan membantu menguruskan penjagaan ibu dalam berpantang. Menariknya, anda boleh pilih pelbagai pakej yang ditawarkan mengikut bajet anda. Pakej yang ditawarkan termasuk mengurut, memakaian bengkuk, memasak makanan berpantang dan memandikan bayi. Ia lebih mudah dan banyak membantu ibu berpantang.

#6 KELENGKAPAN IBU BERSALIN DAN BAYI

Pastikan kesemua kelengkapan untuk anda dan bayi sudah tersedia. Antara kelengkapan ibu yang mesti ada adalah stoking, baju sejuk, kain batik, bengkung, tungku, herba berpantang, pam payu dara, keperluan menyimpan susu ibu perahan, tuala wanita dan coli penyusuan. Sementara keperluan bayi pula termasuk pakaian, lampin pakai buang, tisu basah, sarung kaki dan tangan, set tilam, minyak telon, bedung dan lain-lain yang penting. Bagaimanapun jika kehabisan stok barangan keperluan tersebut dan tiada sesiap boleh membantu membelikan, anda boleh beli sahaja secar online. Kini ada bermacam kedai barangan ibu dan bayi yang menawarkan khidmat jualan secara online.

#7 PERSEDIAAN MENTAL, FIZIKAL DAN EMOSI

Anda mungkin fikir anda kuat dan boleh menguruskannya sendirian tetapi selepas melalui tempoh berpantang sendiri, ternyata ia tidak semudah yang disangka. Oleh itu pastikan anda sudah membuat persiapan mental, fizikal dan emosi. Banyakan mencari maklumat dan info daripada pengalaman ibu-ibu lain yang pernah melaluinya. Berpantang seorang diri memang berisiko. Anda mungkin akan bersedih dan tertekan apabila semuanya perlu dilakukan sendiri kerana biasanya ibu berpantang dilayan seperti ‘permaisuri’ oleh orang yang menjaganya. Oleh itu pastikan anda sudah menjangkakan cabaran yang akan dilalui sepanjang tempoh berpantang terutama dalam bab menjaga bayi baru lahir. Elakkan daripada rasa tertekan kerana jika emosi tidak stabil,anda mungkin berasa sedih atau meroyan.

Sumber:  healthyvitagarden.com / pa&ma / internet