Secara umumnya amalan berpantang sebenarnya tidak hanya menumpukan kepada sajian makanan serta minuman. Malahan amalan ini turut merangkumi hubungan seks, aktiviti harian seperti amalan mandi dan berurut. Pada kebiasaannya, hubungan seks tidak digalakkan dalam tempoh tersebut. Dari segi perubatan pula, tempoh berpantang ini sebenarnya adalah tempoh rehat serta satu proses baik pulih tubuh badan seorang wanita bagi memastikan luka jahitan episiotomi atau jahitan pembedahan caesarean (pembedahan semasa melahirkan anak) yang telah dijalani akan sembuh sepenuhnya.
Apabila darah nifas telah kering dan tubuh badan kembali sihat, pada ketika inilah mereka lebih bersedia dari segi fizikal dan mental untuk membahagikan masa bersama bayi dan suami. Selain itu, sesetengah wanita akan mengalami trauma semasa kelahiran bayinya. Jadi mereka memerlukan masa bagi memulihkan tenaga dan kebiasaannya agak lama bagi mengatasi trauma tersebut. Bagaimana pula dengan mereka yang harus berpantang sendiri? Tak semua wanita gemar berpantang sendiri, tambah-tambah untuk mereka yang baru melahirkan anak pertama. Tapi, mungkin atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan yang membuatkan anda terpaksa berpantang sendiri.
- Dari segi kesihatan, darah nifas sebenarnya mengandungi bakteria (kuman) dan lendiran daripada lapisan dinding rahim. Keadaan anatomi salur kencing (uretra) dan salur dubur yang terletak berdekatan dengan salur faraj menyebabkan kemungkinan mudah dijangkiti kuman. Luka jahitan episiotomi juga mugkin boleh terbuka atau terkoyak jika berlaku hubungan seks pada peringkat awal. Pada kebiasaannya, luka episiotomi sembuh dalam masa dua hingga empat minggu selepas kelahiran. Ada juga beberapa kes yang mengalami masalah semasa proses penyembuhannya dan mengambil masa yang lama untuk sembuh.
- Pemakanan: Jika dilihat dari segi aspek pemakanan pula, mengikut kepercayaan senarai makanan yang tidak digalakkan termasuk sayur-sayuran yang diklasifikasikan sebagai sayuran ‘sejuk’ seperti kangkung, bayam, pucuk paku serta jenis ikan yang boleh menyebabkan masalah ‘gatal’ seperti ikan kembung, ikan tongkol dan ikan cencaru. Ibu yang sedang berpantang juga tidak digalakkan mengambil makanan atau sajian yang pedas kerana dikhuatiri akan ‘disalurkan’ melalui susu ibu kepada bayi.
- Kebanyakan wanita, khususnya orang Melayu juga kurang meminum air walaupun dari segi perubatan amalan ini ada kesan negatifnya. Komplikasi yang sering terjadi akibat amalan ini adalah masalah sembelit serta dehidrasi (kekurangan air). Penghasilan susu badan juga akan terjejas akibat kekurangan air dalam badan. Sebenarnya dari sudut perubatan moden, ibu-ibu yang berpantang adalah sangat-sangat digalakkan untuk meminum air masak atau air suam antara lapan hingga 12 cawan sehari berikutan kehilangan banyak bendalir dalam badan semasa proses kelahiran bayi, pengeluaran darah nifas dan juga penyediaan bagi penyusuan. Namun begitu, minuman berais atau bergas adalah tidak digalakkan dan perlu dielakkan.
PERUBAHAN MENTAL
- Selain perubahan fizikal atau jasmani yang berlaku pada wanita, perubahan mental dan emosi juga berlaku. Wanita yang sedang hamil dan melahirkan anak mengalami tekanan jiwa yang berat kerana kedua-dua proses kehamilan dan kelahiran ini dianggap sebagai faktor yang menekan. Ada sesetengah wanita mengalami tekanan jiwa yang begitu kuat sehingga mereka mengalami kemurungan. Malah sesetengahnya pula mengalami jiwa yang terganggu (psychosis) selepas melahirkan anak.
- Kehamilan dan kelahiran juga akan mengganggu hubungan seks. Perubahan fizikal isteri mungkin menyulitkan hubungan seks ataupun mengurangkan kelesaan. Selepas melahirkan anak pula, hubungan seks tidak digalakkan untuk sementara waktu.
- Waktu puerperium atau waktu pantang yang biasanya selama 42 hari dianggap sebagai tempoh pemulihan daripada semua gejala kecederaan, tekanan jiwa dan mental serta pemulihan fungsi kewanitaan. Pada ketika ini juga rahim menguncup kepada saiz yang kecil seperti keadaan sediakala. Proses ini digelar involution.
- Proses pemulihan boleh dipercepatkan dengan beberapa cara yang diamalkan oleh wanita sendiri dan kadang-kala ini boleh dipendekkan sehingga jangka waktu empat minggu, manakala sesetengahnya pula mengambil masa yang lebih lama sedikit iaitu lapan minggu.
BERPANTANG SENDIRI
Jika anda memilih untuk berpantang sendiri di rumah, pastikan penglibatan suami dalam memberikan bantuan. Suami perlu menjadi orang kuat yang membantu isteri sepanjang tempoh berpantang.
Tips sekiranya Mama Berpantang Sendiri di Rumah
#1 PERSIAPAN MAKANAN
Salah satu faktor penting dalam penjagaan ibu berpantang adalah pemakanan. Ibu lepas bersalin mesti makan makanan yang berkhasiat dan tidak boleh terlepas waktu makan. Tetapi ibu tidak boleh makan sembarangan jenis makanan. Jadi, pastikan beberapa minggu sebelum bersalin, anda sudah buat persiapan menu makanan berpantang dan bahan-bahan yang diperlukan serta cara memasaknya. Ini bagi memudahkan suami membantu menyediakan masakan tersebut. Maklumlah pada minggu-minggu awal, ibu tidak boleh bergerak banyak. Menu orang berpantang mudah disediakan dan ringkas sahaja. Barang basah yang sudah dibeli, simpan di dalam peti sejuk. Pastikan sudah siap dipotong dan dibersihkan untuk satu kali masak. Pada minggu pertama, ibu digalakkan makan makanan kering bagi mempercepatkan pengecutan rahim. Pastikan juga waktu makan tepat untuk mengelakkan perut masuk angin. Makan nasi ketika panas dalam kadar sederhana.Tetapi ibu perlu makan dengan kerap apatah lagi sedang menyusukan bayi, maka ibu cepat berasa lapar.
#2 PERANAN SUAMI SANGAT PENTING
Suami adalah orang yang paling rapat dengan anda. Sokongan dan bantuan suami sangat penting bagi membolehkan ibu menjalani tempoh berpantang dengan sempurna tanpa tekanan. Berbincanglah dan terangkan kepada suami bagaimana dia boleh membantu anda semasa berpantang. Suami mesti membantu menguruskan kerja-kerja rumah seperti membasuh, menjemur dan melipat pakaian, menjaga anak, memasak makanan berpantang isteri dan menguruskan keperluan isteri berpantang. Oleh itu sebaiknya, suami mengambil cuti yang panjang lebih kurang seminggu atau dua minggu untuk menguruskan isteri dan anak yang baru lahir. Bantuan amat diperlukan terutama jika ibu bersalin secara pembedahan
- Sediakan Mandian Untuk Isteri- Suami perlu bangun lebih awal untuk merebus daun-daun herba sebagai penambah rasa dalam mandian isteri. Digalakkan pada minggu pertama bagi mengembalikan kesegaran badan. Sekarang sudah ada mandian herba segera untuk ibu lepas bersalin, hanya perlu rendam uncang dalam mandian. Minggu seterusnya, boleh sediakan air suam sahaja dan lebih baik jika di rumah ada water heater.
- Sediakan sarapan – Selepas bersalin, ibu kehilangan darah yang banyak dan penyusuan susu ibu menjadikan ibu sentiasa lapar. Oleh itu, sediakanlah sarapan lebih awal untuk isteri anda. Selepas solat subuh, bersenam sikit di dapur. Tak dapat sediakan sarapan berat, cukuplah sekadar milo atau horlick suam dengan roti bakar atau biskut kering. Pasti isteri anda rasa amat dihargai dan disayangi. Haaa, Nampak tak cirri suami mithali, mudah kan?
- Mandikan Bayi – Selepas bersalin biasanya ibu masih lemah terutamanya yang bersalin secara pembedahan dan tidak kurang juga yang menjalani episiotomi. Untuk bergerak juga agak sukar bagi mereka, apatah lagi untuk melakukan kerja-kerja di rumah. Badan bayi baru lahir masih lembut, jika suami tiada kemahiran atau tidak berbakat langsung, sekurang-kurangnya anda boleh membantu isteri, ibu atau mertua menyediakan mandian bayi. Biasanya bayi dimandikan dengan air suam bagi mengelakkan hypothermia kerana pada peringkat awal, suhu badan bayi masih lemah.
- Menjaga Anak-Anak Yang Lain -Bagi yang menyambut kelahran anak kedua atau lebih (maksudnya sudah ada 1-2 anak sebelumnya), pastikan segala urusan anak diuruskan merangkumi makan, minum, pakai, mandi dan menidurkan anak. Janganlah mengharapkan isteri yang baru melahirkan untuk menjaga anak-anak yang lain. Biarkan isteri berehat sepenuhnya bersama bayi yang baru dilahirkan. Bagaimana merasai kepenatan isteri melahirkan, suami boleh cuba menemani isteri semasa bersalin. InsyaAllah akan terasa pengorbanan isteri.
- Sediakan Keperluan-Keperluan Isteri – Untuk memudahkan kerja, anda boleh sediakan barang-barang keperluan yang diperlukan terlebih dahulu seperti sebotol air minuman, flask air panas, minuman 3 in 1, biskut, roti, bakul pakaian kotor, sediakan breaaspump dan majalah kegemaran bagi mengelakkan ibu kebosanan. Nampak remeh tetapi amat membantu terutamanya jika anda sedang menguruskan anak yang lain.
- Sentiasa Berada Di Sisi Isteri – Berkepit je ke? Maksudnya, sentiasalah berada bersama isteri untuk menghulurkan apa-apa bantuan yang diperlukan. Janganlah sehingga isteri terjerit-jerit memanggil anda untuk mendapatkan bantuan sedangkan anda tertidur di ruang tamu.
- Pastikan persekitaran isteri dan bayi sentiasa bersih dan kemas – Bantu isteri mengumpulkan pakaian kotor dan basuhlah pakaian-pakaian itu. Tidak susah sekiranya anda menggunakan mesin basuh. Jangan harapkan isteri untuk bangun berjalan untuk membasuh dan menyidai pakaian. Dalam tempoh berpantang, yakinkan isteri tugasan membasuh, menjemur dan mengangkat pakaian boleh dilakukan oleh anda. Setakat melipat tu, tak apalah dilakukan oleh isteri sebab ia termasuk dalam kategori kerja ringan.
- Sentiasa positif – Sungguhpun anda letih, janganlah ditunjukkan depan isteri. Isteri perlukan semangat untuk pulih selepas melahirkan bayi. Jika suami tiada semangat, sentiasa lesu dan lemah, isteri akan rasa sedih dan mungkin menggalakkan terjadinya kemurungan atau post-partum depression.
#3 SEDIAKAN JADUAL BERPANTANG
Rutin harian semasa berpantang amat penting supaya ibu dapat rehat yang cukup. Sediakan jadual rutin waktu mandi, bertungku, bertangas, berpilis, memakai bengkuk, berurut, mengepam susu (untuk stok jika anda bekerja) dan menguruskan bayi. Dengan adanya jadual, anda akan berdisiplin mengikut rutin berpantang supaya cepat kembali cergas.
#4 HANTAR ANAK DI TASKA
Sekiranya anda mempunyai anak, pastikan mereka juga mempunyai jadual aktiviti harian supaya mereka tidak membuat ‘perangai’ dan boleh mengganggu emosi ibu. Jika mereka memang anda tinggalkan di taska atau pengasuh ketika bekerja, maka sepanjang berpantang anda perlu tetap menghantar mereka. Ini kerana agak sukar untuk anda menjalani tempoh berpantang sendirian tanpa bantuan orang lain dan dalam masa yang sama perlu menjaga anak-anak lain terutama jika mereka berusia di bawah enam tahun.
#5 MENCARI BIDAN/TUKANG URUT
Keperluan ini sangat penting untuk memastikan rutin berpantang dapat dilaksanakan dengan lancar.Oleh itu pastikan anda sudah membuat tempahan awal bidan atau tukang urut untuk mengurut anda semasa berpantang. Sekarang bukan sahaja ada khidmat tukang urut, kalau ada bajet lebih anda juga boleh mengupah confinement lady yang akan membantu menguruskan penjagaan ibu dalam berpantang. Menariknya, anda boleh pilih pelbagai pakej yang ditawarkan mengikut bajet anda. Pakej yang ditawarkan termasuk mengurut, memakaian bengkuk, memasak makanan berpantang dan memandikan bayi. Ia lebih mudah dan banyak membantu ibu berpantang.
#6 KELENGKAPAN IBU BERSALIN DAN BAYI
Pastikan kesemua kelengkapan untuk anda dan bayi sudah tersedia. Antara kelengkapan ibu yang mesti ada adalah stoking, baju sejuk, kain batik, bengkung, tungku, herba berpantang, pam payu dara, keperluan menyimpan susu ibu perahan, tuala wanita dan coli penyusuan. Sementara keperluan bayi pula termasuk pakaian, lampin pakai buang, tisu basah, sarung kaki dan tangan, set tilam, minyak telon, bedung dan lain-lain yang penting. Bagaimanapun jika kehabisan stok barangan keperluan tersebut dan tiada sesiap boleh membantu membelikan, anda boleh beli sahaja secar online. Kini ada bermacam kedai barangan ibu dan bayi yang menawarkan khidmat jualan secara online.
#7 PERSEDIAAN MENTAL, FIZIKAL DAN EMOSI
Anda mungkin fikir anda kuat dan boleh menguruskannya sendirian tetapi selepas melalui tempoh berpantang sendiri, ternyata ia tidak semudah yang disangka. Oleh itu pastikan anda sudah membuat persiapan mental, fizikal dan emosi. Banyakan mencari maklumat dan info daripada pengalaman ibu-ibu lain yang pernah melaluinya. Berpantang seorang diri memang berisiko. Anda mungkin akan bersedih dan tertekan apabila semuanya perlu dilakukan sendiri kerana biasanya ibu berpantang dilayan seperti ‘permaisuri’ oleh orang yang menjaganya. Oleh itu pastikan anda sudah menjangkakan cabaran yang akan dilalui sepanjang tempoh berpantang terutama dalam bab menjaga bayi baru lahir. Elakkan daripada rasa tertekan kerana jika emosi tidak stabil,anda mungkin berasa sedih atau meroyan.
Sumber: healthyvitagarden.com / pa&ma / internet