Memasuki alam persekolahan adalah detik yang mendebarkan bagi kebanyakan kanak-kanak kerana ia merupakan pengalaman pertama untuk belajar sekali gus ‘bertemu’ dengan guru dan rakan-rakan baru. Keadaan itu menyebabkan mereka berasa seolah-olah berada di dunia baru. Sebab itu kata-kata semangat dan dorongan terutama daripada ibu bapa dan adik beradik yang lain mampu menjadi azimat kepada mereka. Dalam mempersiapkan diri untuk menempuh alam baru, ibu bapa harus mengambil peranan utama untuk terus memberi kekuatan kepada anak-anak.
Sokongan penting tidak kira dari sudut rohani dan jasmani, fizikal dan emosi mahupun intelek, semuanya perlu diberi perhatian. Keadaan ini penting memandangkan anak-anak tersebut sedang melangkah dari peralihan zon selesa kepada dunia asing. Pengalaman berada di tadika amat berbeza dengan suasana di sekolah kebangsaan, keadaan itu menjadikan mereka lebih ‘takut’. Sebab itu perlu ada pendorong di kalangan yang terdekat untuk memberi jaminan kepada anak. Keadaan itu penting bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran institusi baru yang lebih besar dan bersifat impersonal agar tidak timbul rasa bimbang dan terasing.
Di sinilah peranan ibu bapa diperlukan bagi memastikan mereka lebih mempunyai kekuatan, saat itu timbul pelbagai persoalan di benak fikiran anak-anak menyebabkan anak tidak berminat untuk ke sekolah. Ini kerana permulaan yang baik pada hari pertama bukan sahaja asas bagi alam persekolahan, malah pendidikan keseluruhan. Malah lebih penting dalam situasi sedemikian, komunikasi dua hala turut memainkan peranan.
- Hari pertama ke sekolah, ibu bapa digalakkan bercerita, keadaan ini seolah-olah memberi sokongan kepada untuk terus minat ke sekolah. Ia boleh jadi faktor tarikan kepada anak-anak untuk terus ke sekolah.
- Dalam masa sama, cuba ceritakan keseronokan yang terdapat di sekolah tersebut, malah penerangan yang baik juga mampu memberikan persepsi yang positif di minda kanak-kanak tentang alam persekolahan.
- Apa yang lebih penting, terangkan juga bersama mereka bahawa sekolah juga adalah tempat untuk bersosial dan bermain di samping belajar perkara baru. Dorongan ini akan meningkatkan minat dan semangat murid untuk datang ke sekolah dengan gembira dan tanpa banyak masalah.
- Amalkan setiap hari dengan kata-kata perangsang dan pujian bagi memberi keyakinan kepada mereka. Malah kajian juga membuktikan pelukan juga mampu memberikan keyakinan kepada anak-anak. Pelukan itu sebenarnya boleh menjadikan mereka berasa lebih selamat dan terlindung dan menyebabkan mereka yakin dengan setiap perbuatan mereka.
Sumber: Utusan