Ingat ni ya mama. Kadangkala ketika hari perayaan, masa itu la anak diserang demam dan sebagainya. Buat persediaan dengan lebih awal. Bukan baju raya, kuih raya dan duit raya sahaja yang perlu anda siapkan. Bekalkan sekali ubat-ubatan untuk keperluan anak anda jika beraya jauh di kampung halaman.
- Mencari penyebab demam dan perhatikan perilaku anak. Jika perilaku anak hampir sama seperti biasa, maka anda tidak perlu risau kerana demam biasa adalah tidak berbahaya.
- Cegah dehidrasi kekeringan cecair dalam badan. Bayi dan kanak-kanak berisiko mengalami dehidrasi. Berikan anak lebih banyak cecair seperti air, kuah sup, jus buah segar yang dicampur air dan sebagainya.
- Jika anak muntah atau cirit-birit, berikan minuman garam oral bagi menggantikan cecair yang telah keluar daripada badan.
- Pastikan bilik atau kenderaan anak tidak panas. Pasang kipas atau pendingin hawa dan pakaikan anak baju nipis.
- Beri anak makan apa yang diingininya. Jangan dipaksa. Elakkan makanan berlemak seperti rendah, ketupat kerana makanan ini sukar dihadamkan oleh tubuh.
- Walaupun sebaiknya anak tidak ke mana-mana kerana bimbang berjangkit dengan kanak-kanak lain, namun ini bukan bermakna anak harus berada di tempat tidur seharian. Ajak anak bergerak sedikit seperti menonton tv agar anak kelihatan sedikit aktif.
- Beri anak anda makan coklat atau manisan kegemarannya jika anak tidak mahu makan atau menjamah makanan. Pemberian gula, dapat memberikan anak sedikit tenaga.
- Ibu bapa harus berjumpa doktor apabila bayi mereka yang berusia tiga bulan mempunyai suhu melebihi 38 darjah Celsius, tiga hingga enam bulan dengan suhu lebih 38.3 darjah Celsius, lebih enam bulan dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
- Berbincang dengan doktor jika terdapat tanda-tanda tidak mahu minum atau terdapat tanda dehidrasi, gelisah, muntah atau cirit-birit. Anak nampak tidak selesa, gelisah atau asyik menangis. Asyik tidur dan sukar dikejutkan. Sering kejang, kaku atau sakit kepala yang teruk.
- Pastikan anda simpan nombor klinik berdekatan. Ketika musim perayaan mungkin banyak klinik yang tutup, jangan risau anda boleh terus mendapatkan rawatan di hospital terdekat jika keadaan anak anda membahayakan.