Mengapakah perlu kita menjadi isteri penyayang dan bagaimanakah hendak menjadi isteri penyayang? Apabila jiwa kita penuh dengan kasih sayang, wajah akan sentiasa tersenyum, dan orang sekeliling akan bahagia. Isteri penyayang itu mestilah seorang yang mampu menyejukkan mata suami memandang, dan menyejukkan hati suami mengenang. Isteri penyayang kunci nombor satu kebahagiaan rumah tangga. Sebab isteri yang penyayang akan membahagiakan suami, akan membahagiakan anak-anak, mentua, dan ipar-duai. Jadi, kalau suami kita tidak seperti yang diharapkan, kita hendaklah terlebih dahulu melakukan perubahan. Sebab isteri penyayang, tentulah ibu yang penyayang, dan isteri/ibu penyayang akan mewujudkan suasana keluarga penyayang. Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu yang penyayang akan bijak dan sihat.
CIRI-CIRI WANITA PENYAYANG
- Memek muka senyum.
- Lembut bicara dan bahasanya.
- Bahasa badannya nampak tidak sombong dan bongkak serta sangat lemah lembut perilakunya.
- Intonasi percakapannya sangat menghormati orang dan menyenangkan hati orang.
ISTERI DAMBAAN SUAMI
- Buang jauh keinginan untuk membuatkan suami cemburu – Memang, cemburu itu tanda sayang. Namun, jangan salah sangka hingga membuatkan suami berasa cemburu dengan cara berjumpa lelaki lain yang tidak disukai kerana ia hanya menyebabkannya jauh hati atau lebih teruk jika hilang kepercayaan.
- Lemah lembut – Wanita ialah simbol kelembutan, kebaikan, cinta dan kasih sayang. Bersikaplah lembut kepada suami walaupun isteri menyandang jawatan setinggi mana sekali pun. Ubah sikap kasar dan suka menyakiti hati orang lain terutama suami serta anak.
- Bersikap baik kepada kedua-dua keluarga dan orang sekeliling – Sabar dan menyayangi antara satu sama lain terutama kepada ahli keluarga adalah perubahan yang sangat baik. Jangan dengki dengan adik-beradik jika mereka lebih berjaya daripada anda. Berbanggalah dengan mereka kerana kita mempunyai adik-beradik kandung atau ipar yang berjaya, bahagia dan memiliki anugerah anak. Jika berasa tertekan dengan desakan dan pertanyaan daripada mereka kerana belum mempunyai cahaya mata, bersabarlah serta jangan berhenti untuk berusaha. Tekanan yang dihadapi hanya akan mengganggu hormon kesuburan.
- Sentiasa menyokong suami – Wanita menyukai lelaki yang kuat bekerja dan mampu menjaga keluarga kerana ia membuatkan kita berasa tenang serta yakin untuk berharap kepada kehebatannya itu. Sama juga seperti lelaki, mereka turut mahukan wanita yang kuat secara fizikal, moral dan sosial. Kuat bukan bererti mudah marah dan memiliki sikap kasar tetapi sebagai isteri kita perlu menunjukkan kekuatan dalaman kepada suami terutama ketika dilanda masalah besar. Dalam keadaan susah, isteri juga boleh menjalankan tanggungjawab mereka mendidik anak dan menjaga keperluan suami. Lebih penting, apabila isteri dapat menyokong dan membela suami di depan orang ramai.
- Mencintai suami – Semua orang suka apabila dicintai dan disayangi oleh insan tersayang. Tidak kira suami atau isteri, kedua-duanya perlu saling mencintai antara satu sama lain. Tunjukkan rasa cinta dan sayang anda kepada pasangan dengan mengingati tarikh penting atau membelikan hadiah, memuji dan sebagainya.
- Percaya dengan suami – Ada pelbagai jenis atau sikap suami. Ada yang romantik dan tidak kurang juga yang jarang menunjukkan atau mengungkapkan perkataan cinta. Justeru, jangan uji suami semata-mata mahukan bukti yang mereka mencintai anda secara keterlaluan.
- Jadi sumber inspirasi -Suami sangat menghargai wanita jika mereka mampu menjadi sumber inspirasi untuk berjaya. Mungkin melalui kata semangat, sokongan, idea dan contoh yang baik boleh menjadi inspirasi untuk mengubah suami ke arah yang lebih baik.
- Setia – Wanita lebih mudah memaafkan lelaki biarpun pasangan mereka curang dan ia sangat berbeza dengan lelaki disebabkan perasaan ego serta harga diri hingga menjadikan hubungan sukar untuk diperbaiki. Cubalah untuk menjadi suami dan isteri yang setia demi kehidupan bahagia bersama anak. Jangan mulakan atau berniat untuk curang dengan pasangan semata-mata disebabkan dendam kerana ia hanya membuatkan anda menyesal.
- Menjadi orang kepercayaannya – Lelaki tidak suka dipandang lemah dan disebabkan itu mereka mahukan pasangan yang boleh memahami dan mempercayai kebolehannya menguruskan kehidupan keluarga serta dirinya sendiri. Isteri perlu menjadi orang yang paling dipercayai suami agar mudah untuk membincangkan setiap kelemahan, kegagalan atau ketidakmampuan yang dialami bagi menyelesaikan masalah secara baik.
KENAL HATI BUDI
Sebelum menjadi isteri, berkenalanlah dengan bakal suami dan keluarganya. Layanan kita sebagai bakal isteri, iaitu dari segi pertuturan, budi bahasa, adab perilaku kita dengan pasangan kita perlu dijaga dengan baik. Pastikan apa-apa yang kita buat kebaikan sebelum kita berkahwin itu berkekalan, malah menjadi semakin baik setelah kita berkahwin. Sebab apabila berkahwin, sebenarnya kita berkahwin dengan tiga orang. Pertama, kita berkahwin dengan orang yang kita sangka siapa dia. Kedua, selepas kita kahwin baru kita kenal siapa sebenar dia (negatif/positif). Ketiga, siapa dia jadi selepas berkahwin dengan kita. Sebelum kita berkahwin memang kita kena bersedia, mantapkan akidah, ibadah dan akhlak serta ekonomi kita.
- SEMAK DIRI – Banyak rumah tangga yang mengalami masalah dan keruntuhan, walaupun sudah mempunyai anak yang ramai. Keruntuhan rumah tangga berlaku kerana salah satu sebabnya, isteri suka menyalahkan suami atau orang lain (faktor yang luar daripada dirinya). Jika berlaku sesuatu dalam hidup kita yang tidak seperti kita harapkan, kita mesti lihat diri sendiri dahulu. Sebab apabila kita berubah barulah orang lain akan berubah. Jika isteri kata suaminya kasar, suaminya ada perempuan lain, kita lihat kembali diri kita yang dahulu, ketika kita mula berkenalan dengan suami kita. Mengapakah dalam beribu orang manusia ini (ketika baru berkenalan dahulu/sebelum berkahwin dahulu), mengapa mata suami kita hanya nampak kita? Kita dipilih oleh suami kerana maknanya, kita ialah wanita istimewa dan terpilih di hatinya. Tetapi, mengapa selepas berkahwin keadaan dan perasaan suami berubah, kita tidak lagi menjadi pilihannya? Audit diri kita dahulu, baru kita tunjukkan punca kesalahan itu datang daripada suami.
- KOMUNIKASI BERKESAN – Dalam perhubungan sosial manusia, komunikasi amat penting serta memberikan kesan dan impak yang besar. Komunikasi ada tiga situasi. Pertama, perkataannya atau ayatnya cuma 7 peratus. Cara kita bercakap 38 peratus. Tetapi, cara dan intonasi kita bercakap (fisiologi) 55 peratus. Sebab itu jika fisiologi kita penyayang, 55 peratus kita sudah menang, jika intonasi kita positif. Kalau suami asyik tengok isteri tidak memberangsangkannya; lemah, tidak bermaya dan tidak bersemangat dari segi fisiologinya, maka isteri akan terus lemah/negatif. Cara kita melihat dan emosi yang kita bawa ketika melihat seseorang akan menentukan tenaga seseorang. Tetapi, kalau suami memandang isteri penuh dengan inspirasi, pandangan positif suami terhadap isteri itu sahaja sudah mampu memberikan tenaga positif kepada isteri.
- Pernahkah para suami berhadapan dengan situasi apabila di pejabat suami berasa ceria, bertenaga dan bersemangat. Tetapi, apabila balik dari kerja sampai di rumah, berasa lemah. Sebab situasi ini berlaku adalah kerana, pandangan isteri kepada suami yang tidak bermaya dan ceria, tidak merangsang semangat dan tenaga suami. Bayangkan jika suami balik, isteri menyambut suami dengan kasih sayang dan penuh keceriaan, suami juga akan berasa seronok untuk berada di rumah. Hal ini adalah kerana suami tahu ada orang yang menanti kepulangannya dan berasa kehadirannya sebagai suami, melengkapkan hidup isterinya dan membahagiakan isterinya.
- SALING MEMPERCAYAI DAN MENGHARGAI – Saling percaya mempercayai menjadi kunci utama dalam hubungan suami isteri. Usah percaya bulat-bulat atau mudah melenting contohnya sekiranya anda mendengar pasangan anda berdampingan dengan individu lain di tempat kerja. Sekiranya masih meragui, tanya sendiri kepada pasangan, usah cemburu buta tanpa bukti yang nyata. Sekiranya dia berkata benar, belajarlah untuk mempercayai kata-katanya. Namun, jangan terus percaya tanpa usul periksa dan perhatikan gerak-gerinya. Sekiranya suami anda kelihatan berubah seolah-olah kemaruk cinta seperti sentiasa kelihatan berseri-seri, suka berbohong dan menelefon secara sembunyi-sembunyi, mungkin ada sesuatu, tetapi jika tidak, anda tidak perlu risau mengenainya. Suami dan isteri sebenarnya harus selalu saling menghargai, memberi keyakinan dan memberi galakan kepada pasangan. Usah jadikan segala perbezaan antara anda berdua penyebab kepada masalah rumah tangga. Apa yang penting, selalu memaafkan setiap kesalahan antara satu dengan lain.
- BELAJAR MEMAAFKAN DAN BERKONGSI KEADAAN – Saling belajar untuk memaafkan pasangan dan berjanji untuk tidak mengulanginya ternyata penting untuk mengekalkan hubungan. Usah simpan dendam. Sekiranya ada perkara yang berlaku, jangan sesekali mengungkit kesalahan lalu yang menyakitkan hati. Ini kerana manusia itu tidak sempurna dan sentiasa melakukan kesalahan. Kemampuan untuk saling berkongsi perkara dengan pasangan anda sama ada suka dan duka meningkatkan lagi kerukunan rumah tangga. Jangan biarkan pasangan anda menghadapi kehidupannya yang bermasalah seorang diri tanpa anda mengetahuinya sedikit pun. Di sinilah peranan anda sebagai seorang suami atau isteri untuk memberi semangat, menjadi penyelamat dan sentiasa ada dengannya pada saat suka dan duka.
- BELAJAR TERIMA KEKURANGAN – Anda perlu belajar menerima kekurangan pasangan kerana dia juga perlu melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, sekiranya pasangan anda memperoleh pendapatan yang tinggi daripada anda, seharusnya perkara ini tidak membataskan hubungan dan seharusnya tidak memandang rendah antara satu sama lain kerana semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
- JANGAN TERLALU MENGONGKONG DAN BERFIKIRAN POSITIF – Usah terlalu cerewet dan jangan mengatur hidup pasangan anda sehinggkan dia rasa terkongkong. Cuba bersikap terbuka dengan pandangan anda sekiranya ada perkara yang perlu diberitahu, usah dipendam. Luahkan sekiranya anda tidak menggemari sikapnya. Cuba berfikiran positif mengenai apa yang pasangan anda lakukan dan jangan asyik mengesyakinya dengan fikiran yang bukan-bukan atau ada rasa tidak jujur terhadap pasangan.
- SEMAKIN LAMA SEMAKIN MESRA – Biarpun usia perkahwinan sudah semakin matang, kemesraan anda dengan pasangan perlu dipelihara. Mencium pipi pasangan ketika pulang ke rumah di depan anak-anak menunjukkan kemesraan ibu dan bapa mereka tidak pernah padam. Pendek kata biarpun masa berlalu kemesraan antara pasangan itu tidak terlerai. Apabila dikatakan selalu tampil cantik untuk suami anda, ini bukan bermaksud anda tidak boleh melawa lagi sekiranya bentuk badan anda sudah berubah. Anda hanya perlu tampil dengan kelihatan lebih harum, kemas dan bersih.
Sumber: Internet & Prof. Dr. Muhaya Muhamad / Utusan / Harian Metro