Sudah pasti ada perempuan di luar sana yang mempunyai impian untuk hanya sekadar menjadi suri rumah sepenuh masa terutama selepas menukar status mereka kepada seorang isteri. Belajar lah setinggi mana pun, sampai masa, pasti mereka mahu meluangkan masa hanya di rumah sahaja.
Tetapi, janganlah bila dah baru sahaja kahwin, terus nak resign dah. Jangan! Dengan ekonomi pada zaman sekarang yang tidak menentu ini, keputusan terburu-buru itu mampu membawa kepada penyesalan. Namun, sekiranya sudah ditakdirkan anda mendapat suami yang sudah mampu menanggung anda hingga ke anak cucu, maka ianya tidak menjadi masalah untuk anda menjadi seorang suri rumah sepenuh masa.
Ianya seakan-akan menjadi satu dilema buat si perempuan, sama ada mahu teruskan komitmen sebagai seorang isteri dan ibu atau mahu teruskan kerjaya yang selama ini dihabiskan bertahun-tahun sebelum dapat mengenggam segulung ijazah seperti yang diimpikan. Antara dilema yang mereka hadapi adalah:
- Ada kerjaya tetap yang mereka impikan
- Memenuhi harapan ibu bapa
- Mempunyai tanggungan hutang
- Suami yang berpendapatan rendah
- Tanggungan yang ramai
- Bukan mudah untuk seorang perempuan melepaskan kerjaya untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Ada kalanya, para suri tersepit antara tanggungjawab dan keperluan. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
LANGKAH PERTAMA
Senaraikan keperluan dan hutang. Senaraikan segala tanggungan keperluan yang perlu dibayar seperti:
- Keperluan isi rumah
- Keperluan perubatan
- Tanggungan terhadap ibu bapa atau lain-lain
- Insurans dan lain-lain
Senaraikan juga tanggungan hutang yang perlu dilangsaikan:
- Hutang rumah
- Hutang kereta
- Hutang peribadi
- Hutang bersama suami atau lain-lain
- Kad kredit
- Setelah disenaraikan, kita perlu menilai tanggungan dan hutang tersebut, kemudian membuat jangkaan pembayaran seperti jumlah nilai keseluruhan dan jangkaan tempoh pembayaran bagi melangsaikannya. Selepas itu kita boleh menetapkan matlamat bila kita dapat berhenti kerja.
LANGKAH KEDUA
Bincang dengan suami dan keluarga. Kita perlu memberitahu hasrat kita itu kepada suami dan buat perbincangan supaya tidak menimbulkan tekanan kepada suami dan keluarga. Bincang dengan suami mengenai pengurusan kewangan keluarga dan buat penilaian kemampuan suami bagi menyara kos sara hidup keluarga. Antara perkara yang perlu dibincangkan:
- Kos sara hidup semasa keluarga
- Pendapatan suami
- Tanggungan bersama
- Pelan pengurusan kewangan selepas kita berhenti kerja
LANGKAH KETIGA
Pelan pengurusan kewangan. Pelan pengurusan kewangan untuk sesebuah keluarga amat penting bagi menjamin kestabilan rumah tangga. Apabila kita berhenti kerja, banyak kos yang perlu dikurangkan supaya suami tidak terbeban dan tertekan. Antara kos yang dapat dikurangkan adalah:
- Kos keperluan asas seperti makanan dan utiliti (bil elektrik, air, internet, telefon, dan sebagainya)
- Kos untuk kehendak sosial seperti percutian dan hiburan keluarga
- Batalkan kad kredit yang dilanggan
LANGKAH KEEMPAT
Buat Tabungan
- Sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja, selain melangsaikan hutang, kita juga perlu membuat tabungan sendiri untuk keperluan kemudian hari. Tabungan ini mungkin dapat membantu untuk dijadikan modal membuat kerja sambilan dari rumah seperti perniagaan online. Disamping itu, kita juga boleh membuat tabungan untuk pelaburan-pelaburan yang menepati syariah. Tabungan adalah penting supaya kita mempunyai sandaran sekiranya berada dalam kecemasan atau keperluan yang mendesak.
LANGKAH KELIMA
- Kita mestilah bersiap sedia dari pelbagai aspek;
- Siap sedia dari segi mental, kerana banyak dugaan yang akan dilalui
- Kita juga perlu bersedia untuk menerima seadanya pemberian suami dan bersyukur
- Rancang tugas harian sebagai seorang suri rumah supaya kita tidak terkial-kial dan berasa bosan duduk di rumah sahaja
- Sentiasa berfikiran positif dan penuhi masa dengan berbakti demi menjalankan tanggungjawab
- Bagi mereka yang masih lagi mempunyai keraguan dalam mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, mohon panduan dan petunjuk daripada Allah SWT. Lakukan solat istikharah dan solat hajat. Semoga keputusan yang diambil dipermudahkan oleh Nya.
SEBAB TAK PERLU MENYESAL BERHENTI KERJA DAN JADI SURI RUMAH
Sekiranya anda bertekad untuk meletak jawatan dan menjadi suri rumah, usah ragu dengan keputusan anda. Walaupun anda memegang jawatan yang tinggi dalam kerjaya anda, berikut merupakan sebab anda tidak perlu menyesal untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
- Usah khuatir dengan rezeki yang akan Tuhan kurniakan kelak apabila anda telah menjadi seorang suri rumah. Rezeki bukanlah dilihat pada wang ringgit semata-mata. Kebahagiaan bersama keluarga juga merupakan rezeki yang sangat bernilai daripada Allah.
- Sewaktu bekerja, mungkin pelbagai persiapan menuju akhirat sering terpinggir dek kesibukan dunia yang kita lalui. Percayalah, dengan menjadi seorang suri rumah kelak, anda akan punya lebih waktu untuk beribadah kepada Allah.
- Perkasakan diri dan luangkan masa untuk lebih dekat dengan Allah. Dengan solat, membaca Al-Quran, berzikir, berselawat, memperbanyakkan doa, mendengar nasyid, dan menonton ceramah agama di rumah, In Sha Allah anda akan berasa lebih tenang berbanding sewaktu anda bekerja dahulu.
- Jika sebelum ini, anda sebagai wanita berkerjaya mungkin tidak pernah terfikir untuk berhenti kerja kerana ingin memberikan khidmat menerusi bidang kerjaya anda. Tetapi kini, tiba masanya untuk anda ‘move on’ daripada alam pekerjaan tersebut demi berkhidmat untuk keluarga tersayang.
- Lakukan yang terbaik dalam segala urusan dan tugasan harian di rumah. Gunakan kemahiran serta ilmu pengetahuan yang anda miliki untuk mendidik dan mengasuh anak-anak di rumah agar mereka menjadi anak yang soleh dan solehah kelak.
- Apabila semua perkara dalam keadaan teratur dan anda dapat melihat perkembangan anak dari semasa ke semasa hasil didikan anda di rumah, anda pasti dapat merasakan bahawa usaha anda itu sangat berbaloi. Anda juga tidak akan pernah menyesal berhenti kerja untuk menjaga anak dan menguruskan keluarga.
Sumber: baitulmuslim.com