Banyak perkara yang dibimbangkan selepas bergelar ibu. Pertanyaan demi pertanyaan terlintas di fikiran mengenai kesihatan dan tumbesaran bayi. Menjadi ibu saat paling membanggakan bagi seorang wanita, tetapi ia juga boleh membuatkan mereka berasa bimbang apatah lagi jika ia pengalaman pertama. Setiap ibu pasti memiliki naluri semula jadi untuk menjaga dan melindungi bayi mereka sebaiknya. Justeru, kita sering memikirkan perkara buruk yang mungkin boleh terjadi kepada anak. Situasi berkenaan adalah normal bagi semua ibu khususnya yang pertama kali menimang cahaya mata.
Di sebalik saat manis mendakap si comel kesayangan, pasti ada situasi pahit dan kelat yang mencabar emosi serta fizikal mereka. Ada masa, kita berasa sangat gembira melihat bayi yang comel. Namun, ada masa juga kita berasa begitu letih dan bimbang mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul. Perkara berkenaan berlaku disebabkan hormon dan tubuh si ibu sedang mengalami perubahan mendadak, tidak mendapat tidur secukupnya serta semua perkara mengenai penjagaan bayi adalah baru dan asing. Oleh itu ingat ini mama:
- Ambil masa untuk menikmati detik indah walaupun ia hanya perkara kecil mengenai bayi. Dakap, rasa dan hidu badannya, pelajari riak wajahnya, tangan dan kakinya, bercakap serta menyanyi untuk si anak.
- Jangan lupa untuk menjaga diri kita juga. Pastikan makan dan rehat secukupnya, mendengar muzik, pergi beriadah dan bersembang bersama rakan.
- Tidak salah untuk mendapatkan pertolongan yang diperlukan daripada suami atau ahli keluarga lain. Biarkan suami mengambil giliran menjaga bayi agar kita dapat berehat.
- Minta pertolongan ibu, adik ataupun rakan perempuan sekiranya perlu. Baca dan pelajari sebanyak mungkin tanggungjawab dan peranan untuk menjadi ibu bapa yang baik, tapi jangan lupa kadangkala kita perlu mengikut naluri sendiri.
- Bincanglah bersama ibu bapa yang lain. Ramai ibu bapa berkongsi kebimbangan yang sama dan berbincang sesama mereka kerana cara berkenaan boleh menjadi sumber ketenangan serta sokongan kepada diri sendiri.
- Kita akan sedar bahawa diri tidak bersendirian dan mungkin dapat mempelajari beberapa panduan berguna yang akan memudahkan kerja anda.
- Perlu diingat, melahirkan bayi ke dunia adalah satu kejayaan yang menakjubkan, jadi jangan ragui diri sendiri atau memberi tekanan yang tidak diperlukan.
- Terimalah hakikat kita tidak akan menjadi seorang ibu yang sempurna. Berikan ruang untuk membuat kesilapan dan peluang untuk berkembang sebagai ibu yang terbaik.
- Yakin pada naluri sendiri dan nikmati perjalanan istimewa sebagai seorang ibu.
TIDUR LENA
Bagi kebanyakan individu yang baru bergelar ibu dan bapa, tidur menjadi satu keistimewaan yang sukar diperoleh dengan kehadiran bayi dalam kehidupan mereka. Dalam tempoh beberapa bulan pertama, bayi perlu diberi makan selang beberapa jam, termasuk pada waktu malam. Bukan mudah bagi ibu bapa untuk menenangkan bayi yang menangis lewat malam sambil mendapat tidur yang cukup untuk bekerja keesokan harinya. Ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan mengenai kepentingan tidur yang berkualiti bagi seorang bayi. Tidur sangat penting untuk perkembangan otak yang akan membentuk asas kemahiran fizikal, kognitif dan sosial serta emosi kanak-kanak. Justeru, penting bagi ibu bapa memastikan bayi mendapat tidur yang lena. Ini kerana tidur tanpa gangguan akan membantu mereka berkembang dengan sempurna dan pada masa sama, ibu bapa turut mendapat tidur yang lebih tenteram.
- Didik bayi mengenai waktu siang adalah masa untuk berjaga dan malam untuk tidur. Pada waktu siang, gendong bayi, bermain atau bacakan buku dan bawa si kecil ke luar rumah.
- Hadkan waktu tidur tengah hari kepada maksimum tiga jam saja. Ini akan menjadikan waktu tidur bayi pada waktu malam lebih panjang.
- Letakkan bayi apabila dia hampir tertidur. Bukan apabila bayi sudah tidur nyenyak baru hendak diletakkan di atas tilam. Ini kaedah yang baik untuk mengajar anak supaya tidur apabila berada di atas tempat tidurnya.
- Pastikan bayi sudah minum susu pada waktu siang dan sebelum tidur agar si kecil tidak perlu bangun akibat kelaparan pada waktu malam.
- Mewujudkan amalan seperti mandi, membaca buku, menyanyi dan ciuman sebelum memadamkan lampu. Cuba berikan bayi anda teman waktu malam seperti Sooth & Glow Seahorse, yang akan bersinar dan mengalunkan dendangan lagu yang dapat membantu bayi tertidur dengan lena.
PENCAPAIAN PERTAMA BAYI
- Ada ibu bapa yang risau apabila bayi rakan mula berguling atau menuturkan perkataan pertama sedangkan anak mereka belum menunjukkan perkembangan sedemikian. Jangan risau dan usah buat perbandingan.
- Anda perlu tahu bayi berkembang mengikut kadar mereka sendiri dan menunjukkan kemajuan pada peringkat yang berbeza. Justeru, tidak perlu membuat perbandingan.
- Kajian menunjukkan bahawa bayi belajar dengan baik melalui bermain. Apabila bayi bermain, mereka mengembangkan kecerdasan otak (IQ).
- Mereka belajar mengenai dunia sekeliling dan mengembangkan pelbagai jenis kemahiran penting seperti perkembangan fizikal, kognitif serta sosial dan emosi.
- Pastinya kita amat teruja dan tidak sabar untuk menanti pencapaian bayi. Adalah penting untuk mengenali dan mengesan kadar perkembangan bayi pada pelbagai peringkat pertumbuhan dan membantu mereka mencapai potensi sepenuhnya.
- Kaedah terbaik untuk merangsang pembelajaran anak ialah dengan memberikan mereka alat mainan yang betul mengikut tahap pertumbuhan.
- Apabila memilih alat mainan untuk anak, pastikan kita melihat cadangan umur yang tertera pada permainan. Cari alat mainan yang bersesuaian dengan minat anak dan tahap perkembangan mereka.
- Mainan yang betul dan diberikan pada masa sesuai akan membantu menambah pengalaman bermain anak di samping memberikan mereka asas pembelajaran. Misalnya, tingkatkan pembangunan fizikal bayi dengan memberikan mainan yang mampu merangsang si kecil untuk mencapai, memegang, bangun dan bergerak.
- Bagi perkembangan kognitif pula, biarkan bayi bermain dengan mainan yang mampu meningkatkan sifat ingat tahu, memupuk minat belajar, kecerdikan dan kreativiti.
- Bagi menjana kemahiran sosial dan emosi bayi pula, berikan mainan yang akan merangsang si kecil untuk berkongsi, mendengar, memimpin dan bermain dengan kanak-kanak lain.
- Paling penting, gunakan masa bermain sebagai peluang untuk ibu bapa menjalin hubungan erat dengan anak. Bermain dengan anak akan membantu mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan mencipta kenangan indah bersama. Ia adalah peluang keemasan yang ibu bapa tidak mahu ketinggalan dalam kehidupan si kecil.
Sumber: Pakar Pediatrik Dan Perkembangan Kanak-Kanak Fisher-Price, Karen Sokal-Gutierrez & Harian Metro