Seorang remaja berusia 13 tahun hampir maut selepas termakan makanan beracun iaitu biskut yang dipercayai dicampur racun dalam kejadian di Kampung Dadong, Kemaman pada Jumaat lalu.
“Mangsa dikatakan telah menemui dan memakan sekeping biskut yang telah dicampur racun oleh pemilik kebun bagi tujuan membunuh kera. Biskut itu diikat pada sebatang kayu di kebun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes ini juga sedang disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001. Sementara itu, bapa mangsa, Alias Saras, 57, ketika dihubungi berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya selepas dimaklumkan oleh isterinya, Roslina Ahmad, 52.
Menurut Alias, selepas memakan biskut yang diambil dari kebun itu, anaknya tiba-tiba pengsan dan mulutnya berbuih.
“Melihat kejadian itu, bapa kepada rakan anak saya membawa Mohd Daynail ke klinik kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan. Saya bersyukur kerana anak saya sudah mulai pulih selepas menerima rawatan di hospital,” katanya.
Sebelum ini, dua beradik berusia tiga dan dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai makan keropok beracun di kawasan kebun berhampiran rumah mereka di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim.
Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, termakan keropok itu pada Ahad sebelum dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Muhammad Akil Syauqi menghembuskan nafas terakhir pada pagi Rabu, disusuli Muhammad Luth Syauqi pada tengah hari semalam.
Mama Papa! Sentiasa Awasi Pergerakan Anak-Anak
1. Kawasan Selamat untuk Bermain
Pastikan kawasan bermain anak-anak bebas dari bahan-bahan berbahaya. Bersihkan kawasan tersebut secara berkala dan pastikan tiada objek atau bahan yang boleh membahayakan mereka.
Sentiasa awasi anak-anak, terutama ketika mereka bermain di luar rumah atau di kawasan kebun. Pastikan mereka tidak berkeliaran di kawasan yang tidak selamat tanpa pengawasan orang dewasa.
2. Melarang Makan Makanan Merata-rata
Mama Papa perlu ajar dan sentiasa ingatkan anak-anak untuk tidak memakan makanan yang mereka jumpai di luar rumah atau yang tidak diberikan oleh anda atau penjaga yang dipercayai.
Larangan ini Mama Papa boleh selitkan dengan menjelaskan akibat yang boleh timbul dari memakan makanan yang tidak diketahui asal usulnya. Dan menolak makanan sekiranya diberikan oleh orang yang tidak dikenali.
3. Tindakan Kecemasan
Ini paling penting! Mama Papa dan penjaga perlu tahu langkah-langkah kecemasan yang perlu diambil jika berlaku situasi seperti termakan racun.
Simpan nombor telefon kecemasan di tempat yang mudah diakses dan ajar anak-anak apa yang perlu dilakukan jika mereka merasa tidak sihat selepas memakan sesuatu.
Sekurangnya Mama Papa dan penjaga tahu apa tindakan yang perlu dilakukan sekiranya mereka termakan apa-apa racun.
Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama, sentiasa mengutamakan keselamatan dan pastikan kanak-kanak bermain dalam persekitaran yang selamat. Jadikan ia sebagai pengajaran supaya kejadian tragis termakan makanan beracun ini dapat dielakkan.
Mari kita sama-sama sedekah al-Fatihah kepada kedua-dua arwah, dan semoga Mama dan keluarga arwah tabah menghadapi dugaan pemergian ini.
Mama Papa dapatkan lebih tips dan nasihat keibubapaan di SINI.