Takziah daripada Mama Siti dan seluruh team KelabMama buat keluarga arwah adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin atas pemergian insan tersayang akibat kejadian tercekik gula-gula kenyal pada Selasa lalu.
Dalam fasa awal persekolahan ini, kita dikejutkan dengan kejadian tragis melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang tercekik gula-gula kenyal, atau lebih dikenali sebagai ‘gummy mata’.

Sebelum ini, arwah dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) dan malangnya, telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11 malam pada Khamis.
Ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, mengesahkan berita duka ini dan memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa pulang ke kampung neneknya di Permatang Binjai, Penaga, untuk urusan pengebumian.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Fahmi berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas rebah ketika berada di kelas Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira jam 2.30 petang, Selasa lalu.
Kejadian ini sememangnya menyayat hati dan menjadi peringatan kepada kita semua.
Mama Papa, Berhati-hatilah dengan Pemilihan Makanan Anak

Kejadian ini wajar dijadikan pengajaran buat semua Mama Papa agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan untuk anak-anak. Makanan yang bersifat kenyal dan melekit boleh meningkatkan risiko tercekik, lebih-lebih lagi jika dimakan tanpa pemantauan.
Mama Papa disarankan untuk:
- Mengelakkan memberi anak kecil makanan bersaiz besar atau kenyal seperti gula-gula jelly tanpa pengawasan.
- Mengajar anak untuk mengunyah makanan dengan betul sebelum menelan.
- Sentiasa berada berdekatan ketika anak makan, terutama jika mereka masih kecil.
- Ingatkan anak supaya tidak berlari, bercakap atau bermain ketika makan.
- Belajar teknik pertolongan cemas seperti Heimlich Maneuver untuk bertindak pantas jika berlaku kecemasan.
Selain itu, Mama Papa juga perlu menasihati anak-anak agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan, terutamanya makanan yang dijual secara bebas di luar sekolah atau di kedai-kedai runcit.
Ajarkan mereka untuk lebih memilih makanan yang sihat dan selamat serta sentiasa bertanya kepada Mama Papa sebelum membeli sesuatu yang baru.
Sekali lagi, Mama Siti ucapkan takziah buat seluruh keluarga arwah. Semoga mereka diberikan kekuatan menghadapi ujian ini, dan semoga roh adik Fahmi dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Dapatkan lebih banyak informasi terkini dan trending di SINI!