Jika Mama merancang untuk bercuti di dalam kawasan Selangor, bolehlah cuba melawat kawasan Sekinchan. Ia terletak di Sabak Bernam, Selangor dan dekat dengan pantai. Kali ini, Mama Siti nak kongsikan 10 tempat yang memang menarik di Sekinchan.
Selain dikenali sebagai kampung nelayan yang menjadi tempat santapan makanan laut segar, Sekinchan juga terkenal sebagai kawasan penanaman padi dan menjadi antara tempat pengeluar padi yang besar di Malaysia.
10 Tempat Menarik di Sekinchan
Sekinchan adalah lokasi yang bagus bagi pengembaraan satu hari ataupun menginap bersama rakan, keluarga atau melakukan aktiviti bersama anak-anak. Padi ditanam dua kali setahun iaitu awal Mac dan September. Ini bermakna Mama dapat saksikan kehijauan padi pada bulan Mac hingga Mei dan juga September ke November.
Jika Mama ingin melihat padi yang keemasan bolehlah singgah pada pertengahan Mei atau pertengahan November iaitu ketika musim menuai. Okay mari kita lihat apa yang menarik di sini.
1. Rabitah Catering
Sangat sesuai singgah di sini jika Mama memulakan perjalanan di pagi hari. Seawal jam 9 pagi dah banyak lauk dan sarapan pagi yang berat disediakan. Jangan risau, kudapan ringan juga ada. Cuma seronoklah meriah bersarapan pagi.
2. Galeri Padi Sekinchan
Bangunan galeri padi ini dimiliki oleh Kilang Beras Rakyat Sekinchan Sdn. Bhd. dan ia juga dikenali sebagai Muzium Padi. Galeri padi ini bolehlah dilawati sebelah pagi. Di sini kita boleh belajar proses menghasilkan padi daripada awal hingga akhir.
Bayaran Masuk: RM5 seorang (kanak-kanak bawah ketinggian 95cm boleh masuk secara percuma)
Waktu Operasi: 9 pagi – 5.30 petang setiap hari (kecuali waktu rehat iaitu pada pukul 12.30 – 1.45)
3. Menginap di Padi Box
Padi Box adalah rumah penginapan kontena di tengah sawah padi yang dicat warna pastel. Kita boleh alami pemandangan sawah padi daripada tingkap bilik. Terdapat ruang santai dengan beberapa fasiliti di tingkat atas Padi Box ini. Tempat ini tidak jauh dari Stesen Minyak Petron Sekinchan.
Harga: Daripada bilik untuk dua orang hingga bilik untuk 6 pelawat, harga bermula daripada RM128 hingga RM240.
4. Berbasikal melihat kehijauan padi
Mama boleh menyewa basikal daripada rumah penginapan Padi Box dengan kadar yang berbeza bagi tetamu dan bukan tetamu Padi Box.
Harga tetamu Padi Box:
Basikal single – RM10/ dua jam
Basikal tandem – RM15/ dua jam
Harga bukan tetamu
Basikal single – RM10/ sejam
Basikal tandem – RM15/ sejam
5. Galeri Seni 3D Sekinchan
Bangunan yang asalnya merupakan bangunan untuk sarang burung walit di tengah kawasan sawah padi telah ditukar menjadi galeri seni 3D untuk pameran. Jika nak bawa baby pastikan bawa carrier ya.
Jangan lupa naik ke tingkat atas bumbung untuk bergambar dengan pelbagai rekaan menarik. Anak-anak tak dibenarkan naik ke bumbung tetapi ada tempat jagaan anak-anak percuma di tingkat 3.
Bayaran masuk:
7 tahun ke bawah, percuma.
Kanak-kanak: RM12
Dewasa: RM15
6. Pantai Redang
Pantai Redang adalah tempat beriadah yang menarik di Sekinchan. Mama boleh menyaksikan keindahan matahari terbenam dan juga bermain layang-layang kerana anginnya yang kuat. Namun tidak dibenarkan untuk bermandi-manda di sini.
7. Sekinchan Sky Mirror
Ingin mengambil gambar Mama yang terbit refleksi cantik seperti cermin di permukaan tanah? Boleh lah Mama mengambil tour guide yang boleh membawa Mama ke Jeti Lama Kuala Selangor tepat pada waktunya iaitu ketika air surut dan juga untuk keselamatan. Bayaran masuk bermula RM80 termasuk perjalanan bot ke kawasan tersebut.
8. Ah Ma’s house
Rumah kampung kecil yang dibina dengan perabot lama yang memberi suasana kampung lama sekitar tahun 60 dan 70-an.
Untuk perkenalkan kepada anak Mama atau merasai sendiri suasana dalam rumah ketika zaman tersebut dengan pelbagai barangan nostalgia, Mama bolehlah melawat Ah Ma’s house ini.
Mama boleh juga membeli makanan tradisional di sini seperti kuih kapit dan makanan nostalgia lain.
Alamat: Lot 10376, Jalan Tali Air 5, Pekan Sekinchan, 45400 Sekinchan, Selangor
Bayaran Masuk: Percuma
Waktu Operasi: 10.00am – 6.00pm
9. Abah ikan bakar
Di petang hari, Mama bolehlah bersantai dan bersantap di kedai Abah Ikan Bakar untuk merasai makanan laut segar. Istimewanya di sini adalah udang gergasi dan sotong bersaiz XXL. Bertempat di Jalan Kuala Selangor – Teluk Intan.
Waktu operasi : 10.00am – 10.00pm (Selasa tutup)
10. Sekinchan coconut farm
Mama juga boleh duduk bersantap di sini bersama keluarga menikmati pelbagai rangkaian makanan berasaskan kelapa seperti coconut shake, jeli dan sebagainya. Suasana kebun kelapa ini sangat cantik dan tak jemu mata memandang. Jangan risau, jika inginkan menu makanan berat yang lain, ia turut disediakan di sini.
Banyak lagi tempat menarik di Sekinchan!
Sambil-sambil Mama menyelusuri perkampungan sawah padi ini, boleh juga merancang untuk datang melawat pelbagai tempat menarik yang lain di sini. Kalau sekadar untuk duduk saja melihat kawasan sawah terbentang hijau pun sudah cukup menenangkan.
Seolahnya Mama dapat menikmati suasana kampung namun tak jauh daripada bandar jika Mama menetap di Kuala Lumpur mahupun bandar di Selangor. Nampaknya dah boleh merancang aktiviti di sini pada setiap hujung minggu kan?
Jangan lupa untuk semak waktu datang ke sini ketika sawah menghijau pada bulan Mac hingga Mei dan juga September ke November. Selamat bercuti Mama!