KelabMama

25+ Tempat Menarik di Putrajaya Yang Wajib Ada Dalam ‘Bucket List’

senarai tempat menarik di putrajaya

Sejak awal lagi tempat ini telah mempunyai idea pembangunan yang serba moden dan canggih. Lokasi yang terletaknya pusat pentadbiran negara ini turut sama-sama dilengkapi dengan keindahan flora dan fauna yang hidup di persekitaran semulajadi.

Putrajaya turut menawarkan aktiviti luncur ais, basikal bukit (mountain bike), belon udara panas dan aktiviti berkayak di sekitar tasik. Tak percaya ke Mama?

Sebenarnya, terdapat banyak tempat menarik di Putrajaya ni. Cuma, kita kena pandai ‘selok belok’ tempat ni dengan meluangkan lebih banyak masa di sini. Nak tau apa yang best? Berikut merupakan 30 tempat menarik di Putrajaya yang boleh dilawati bersama seisi keluarga.

Koleksi Tempat Menarik di Putrajaya Untuk Seisi Keluarga

#1 Dataran Putrajaya

Kredit gambar: dapnyaTV

Ia ialah hamparan dataran di dalam bulatan yang menghubungkan Perdana Putera, Masjid Putrajaya, Seri perdana dan lain-lain bangunan kerajaan. Dataran Putrajaya terletak berhampiran dengan tasik Putrajaya. Dari pandagan atas, ia seolah-olah berada di sebuah pulau.

#2 Putrajaya Secret Garden

Kredit gambar: maisinggah.com

Mama pernah lihat taman Pandora dalam filem Avatar sebelum ini? Bagaimana kalau sebenarnya Mama boleh rasai sendiri pengalaman yang seakan serupa. 

Di Putrajaya Secret Garden terdapat lampu yang berjuraian dari dahan-dahan pokok yang indah menghiasi taman di waktu malam. Tambahan pula, ia dilengkapi dengan skulptur 3D berbentuk dinosaur yang diperbuat dari lampu LED.

#3 Glamping@Wetland Putrajaya

Sebagai salah satu tarikan terbaru di Putrajaya, Glamping@Wetland Putrajaya merupakan tempat yang sesuai untuk staycation atau beriadah bersama ahli keluarga.

Mama tak payah risau sangat tentang makanan di sini kerana, selain dapat bermalam, mereka turut menawarkan harga pakej termasuk buffet 4 kali sehari (hi-tea, makan malam, sarapan & makan tengah hari).

Tandas yang selesa juga disediakan hanya 60-90 meter dari khemah. Bagi mereka yang tidak biasa tinggal di dalam bilik tanpa aircond, khemah di GLOW Putrajaya ni turut lengkap aircond dan tilam yang selesa. Pasti seronok!

Alamat: Glamping Wetland Putrajaya, Persiaran Persekutuan, Presint 13, 62300 Putrajaya, Malaysia

Harga pakej: Bergantung kepada jenis Khemah; bermula dari RM258

Facebook: @GLOWPutrajaya

#4 Taman Cabaran Putrajaya (Putrajaya Challenge Park)

Sesuai dengan namanya, lokasi yang seterusnya ini dikhaskan untuk aktiviti sukan lasak seperti rock climbing, papan luncur dan basikal gunung (mountain bike). 

Tahap kesukaran yang berbeza sesuai untuk golongan yang baru ingin bermula melakukan aktiviti yang mencetuskan adrenalin ini. Taman Cabaran Putrajaya dibuka hampir setiap hari tetapi waktu operasi dan kadar bayarannya berbeza berdasarkan pakej yang dipilih. 

#5 My Balloon Adventure

Kredit gambar: myballoonadventure.com

Kini, tak perlu lagi berangan-angan ingin ke Cappadocia, Turkiye untuk menaiki belon panas. Mama Siti menjemput Mama untuk datang ke Putrajaya dan rasai sendiri pengalaman berada di udara sama seperti melawat negara-negara Eropah. 

#6 Taman Saujana Hijau Putrajaya

Indah nian bila berada di taman-taman bunga kan, Mama? 

Di Taman Saujana Hijau pengunjung bakal menikmati kecantikan panorama flora dan fauna dengan menampilkan tiga konsep taman berbeza iaitu European Garden, Oriental Garden dan English Garden.

#7 Alamanda Putrajaya

Kredit gambar: Alamanda Shopping Centre

Lengkapkan percutian Mama ke Putrajaya dengan singgah sebentar di sebuah pusat beli-belah premium dan menawarkan pelbagai pilihan jenama terkenal, premis hiburan serta menikmati hidangan di Esplanade yang menawarkan restoran popular tempatan dan luar negara. 

#8 Flyboard

Kredit gambar: Flyboard Malaysia

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2011, Flyboard semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Inilah masanya Mama nak mencuba bagaimana rasanya menjadi superhero iron man yang terbang di udara.

Oh ya, Mama perlu tempah tiket lebih awal di laman sesawang kerana slot yang dibuka adalah terhad setiap hari. 

#9 Cruise Tasik Putrajaya

Kredit gambar: tripadvisor

Kalau di Melaka ada ‘river cruise’, di Putrajaya pula Mama berpeluang menjelajah di segenap tasik Putrajaya sambil melihat keindahan flora dan fauna dan keunikkan bangunan sekitarnya. 

Uniknya, perahu yang digunakan ditempah khas dari Kampung Duyung, Terengganu. Naik sahaja di atas perahu ini, mengimbau cara hidup orang dahulu kala yang menggunakan perahu sebagai alat pengangkutan.

Alamat: Jeti Putra, Jambatan PutraPresint 1, 62000, Putrajaya, Malaysia

Harga tiket: Mengikut pakej yang diambil – Sightseeing, Dining, School Packages, dan lain-lain

Website: https://www.cruisetasikputrajaya.com/

#10 Jambatan Seri Wawasan

Kredit gambar: live.staticflickr.com

Terokai keindahan malam bandar Putrajaya dengan melawat jambatan yang berkepanjangan 430 meter. Lokasinya yang terletak di Presint 2 telah menarik minat banyak produksi filem merakamkan babak di jambatan ini. 

#11 Pantai Floria

Kredit gambar: cutiviral

Pantai buatan sepanjang 100 meter ini boleh dikunjungi setiap hari bermula jam 9am hingga 6.30pm. Selain bersantai bersama-sama keluarga, Pantai Floria di Presint 4 Putrajaya menawarkan aktiviti lain yang menyeronokkan seperti memancing, berkayak dan bermain bot kawalan jauh (remote controlled boat).

#12 Anjung Floria

Kredit gambar: Petit Go

Taman-taman di Anjung Floria dibahagiakan kepada beberapa zon seperti Royal Floria Putrajaya dan Taman Persahabatan China-Malaysia. 

Anjung Floria dibuka kepada orang ramai setiap hari pada jam 7am hingga 7pm.

#13 IOI City Mall Putrajaya

Kredit gambar: live.staticflickr.com

Pusat beli-belah yang satu ini merupakan salah satu ‘one stop center’ di Malaysia yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjungnya di samping membeli-belah jenama kesukaan Mama di bawah satu bumbung. 

Mama boleh cuba aktiviti lasak di District 21, bermain luncur ais dan memanah, atau, Mama juga boleh membawa anak-anak ke Mini Zoo indoor yang berada di bahagian ke-dua IOI City Mall ini.

Alamat: IOI City Mall, Lebuh IRC, IOI Resort City, 62502 Putrajaya, Sepang, Selangor.

#14 Goat 2 Go (G2G) Animal Garden

Terletak di Sri Kembangan, iaitu kira-kira 4km sahaja dari IOI City Mall terdapat sebuah tempat yang dikenali sebagai Goat 2 Go (G2G) Animal Garden, yang menawarkan peluang untuk para pengunjung berinteraksi secara langsung dengan haiwan-haiwan yang terdapat di dalam petting zoo ini. 

Selain membelai dan memberi makan, anak-anak Mama juga berpeluang untuk menunggang kuda padi mengelilingi taman haiwan tersebut. 

Alamat: Jalan MAEPS 4/1, Fasa 3 Presint 9, 43400 Serdang, Selangor

Harga tiket:
Dewasa: RM 20
Kanak-kanak: RM 15

Facebook: @G2G Animal Garden – MAEPS

#15 Taman Ekuestrian

Kredit gambar: Facebook @PutrajayaEquestrianPark

Taman ini menawarkan peluang untuk para pengunjung menunggang kuda dengan kadar bayaran yang berpatutuan. Jika Mama ingin mempelajari cara menunggang kuda dengan lebih intensif, sertai pakej-pakej yang tersedia mengikut tahap kemahirannya. 

Alamat: Jalan Kandang Kuda, Precinct 5, 62200 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Harga tiket:
Joy Ride: Dewasa RM15 | Kanak-Kanak RM10
Stable Tour: Hari Bekerja RM20 | Hujung Minggu RM25

Facebook: @PutrajayaEquestrianPark

#16 Icescape Ice Rink

Kredit gambar: Gear Up Outdoor

Lokasi buat Mama melakukan aktiviti meluncur di dalam premis tertutup. Lokasi Icescape Ice Rink terletak di tingkat satu IOI City Mall Putrajaya. Kemudahan tempat duduk, locker dan tandas ada disediakan di tempat ini.

Harga tiket:
Isnin – Jumaat: RM25 
Sabtu, Ahad, Cuti Umum, Cuti Sekolah: RM30 

#17 Kompleks Sukan Air Putrajaya

Kredit gambar: Facebook

Kolam renang dalam kompleks ini bersaiz olimpik dan pernah menjadi lokasi acara Sukan SEA. Mama boleh membawa anak-anak kecil ke sini kerana kolam mandian kanak-kanak tersedian disini. 

Bayaran masuk yang dikenakan sangat berpatutan hanya RM 3 untuk orang dewasa dan RM 2 untuk kanak-kanak. 

#18 Taman Putra Perdana Putrajaya

Kredit gambar: Flickr

Sebuah mercu tanda Putrajaya ada di dalam taman ini. Dahulunya, ia dibina untuk merasmikan bandaraya Putrajaya pada tahun 1995. 

Terokai landskap sekeliling Putrajaya dengan menggunakan teropong yang disediakan di kawasan ini. Masuk percuma dan mula dibuka seawal jam 7 pagi.

#19 Dataran Gemilang

Kredit gambar: central.menarikdi.com

Ia ialah sebuah plaza yang terletak di bahagian hujung Persiaran Perdana. Menariknya terdapat satu kolam renang di Dataran Gemilang yang boleh diakses oleh orang dewasa dan kanak-kanak tanpa sebarang bayaran dikenakan. Ya, kolam renang ini percuma saja. 

Alamat: Dataran Gemilang, Presint 4, Putrajaya

#20 Monumen Millennium

Kredit gambar: Wikipedia

Mercu tanda Putrajaya yang seterusnya berada dalam taman di Presint 2. Sekilas pandang, jelas benar rupa bentuk peluru berpandu pada senibina monumen millennium ini. Lokasi yang wajib ada dalam koleksi gambar outfit of the day (OOTD)

Manakala pada waktu-waktu tertentu, tempat ini ialah lokasi strategik mendapatkan hasil fotografi terbaik percikan bunga api di waktu malam. 

#21 Masjid Besi

Nama lainnya ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang hanya terletak 2 km dari Masjid Putrajaya. Kapasiti masjid ini mampu menghimpunkan sehingga 24 ribu jemaah dalam satu-satu masa. 

Nama masjid besi pula diperolehi kerana ianya dibina menggunakan 6 ribu tan keluli dengan sistem pengudaraan yang canggih. 

#22 Taman Botani Putrajaya

Kredit gambar: Relax Penang

Pastikan taman tema ini termasuk dalam ‘bucket list’ Mama ya. Masakan tidak, taman botani ini telah diperakui sebagai salah satu dari 40 taman tercantik di Asia. 

Di sini terdapat 13 taman tema dan 700 tumbuhan yang berasal dari pelbagai negara di dunia. Tempat yang bukan sahaja mampu memberi ketenangan malah memberikan banyak ilmu pengetahuan berkaitan tumbuh-tumbuhan. 

#23 Masjid Putrajaya

Berhampiran Dataran Putra, tersergam indah sebuah rumah ibadah yang terletak betul-betul di sebelah tasik Putrajaya. 

Keunikkan Masjid Putrajaya bukan sahaja pada senibina dan saiznya tetapi lebih menarik lagi ianya mesra pejalan kaki. Terdapat laluan pejalan kaki yang menghubungkan masjid dengan bangunan kerajaan di kawasan sekitar.

#24 District 21, IOI City Mall Putrajaya

Kredit gambar: Time Out

Sebuah atrium berhawa dingin yang menyediakan aktiviti lasak dan mencabar di IOI City Mall Putrajaya. Aktiviti Rock Climbing, Trampoline, Sky Trail dan Go Pedal antara yang mendapat perhatian pengunjung. 

Pengalaman yang bakal diingati seumur hidup. Tambahan pula, setiap aktivti mempunyai pegawai terlatih yang akan membantu jika mengalami kecederaan. 

Bayarannya pula bermula dari RM58 hingga RM75.

#25 Taman Wetland Putrajaya

Kredit gambar: devieworlds.blogspot.com

Disini, Mama dan anak-anak boleh menyaksikan burung-burung dan hidupan akuatik secara langsung. Rebut peluang melakukan aktiviti menarik seperti berkhemah (camping), berbasikal dan berkayak. Bayaran yang dikenakan ialah pelbagai mengikut jenis aktiviti yang dilakukan. 

Waktu operasi: 7am- 7pm setiap hari

#26 Dataran Pahlawan Negara

Dengan berkeluasan 12 ekar, Dataran Pahlawan Negara ialah lokasi sambutan Hari Pahlawan setiap tahun. Pelawat mendapat pendedahan tentang sejarah perjuangan negara Malaysia oleh para pejuang tanah air melalui plak-plak yang terdapat di tempat ini. 

Alamat: Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

#27 Tasik Putrajaya

Kredit gambar: kelabtasikputrajaya.com.my

Mungkin Mama lebih gemar melawat tempat yang banyak kehijauan dan landskap yang kaya dengan flora dan fauna. Disinilah tempatnya. Bersiar-siar, beriadah dan joging di sekeliling tasik bakal menjemput kedamaian dan ketenangan. 

Ditambah pula dengan keindahan tasik yang memukau pandangan dan kebersihannya yang masih lagi terjaga. 

#28 Tangga Putrajaya STEPS

Kredit gambar: jomjalan.com.my

Tangga ikonik ini bermula dari laluan pejalan kaki di Dataran Putra, menembusi Laman Perdana dan menuju ke Mercu Tanda di Taman Putra Perdana sebelum ia berakhir di Hotel Pulse Grande.

Banyak bukan tempat menarik di Putrajaya sebenarnya? Yang lagi best, kebanyakkan tempat-tempat menarik ini kemasukan adalah percuma dan dekat dengan alam semula jadi.

Lagi seronok Mama Papa dan anak-anak beriadah bersama-sama. Luangkan hujung minggu Mama bersama-sama rakan dan ahli keluarga menerokai keindahan kawasan sekitar yang Mama Siti kongsikan dalam senarai tempat menarik di Putrajaya ini.

Mungkin Putrajaya bakal buat Mama jatuh cinta berkali-kali dengan negara Malaysia.


Jom ke pelbagai tempat menarik di Malaysia dengan klik SINI.