KelabMama

‘Pulau-pulau Tersembunyi’! 10 Tempat Menarik (dan Terkini!) di Mersing, Johor

mersing

Tahun 2022 ini banyak hujung minggu yang ‘panjang’. Jadi, Mama dah bersedia ke dengan perancangan percutian Mama? Mama sedang terfikirkan Mersing sebagai tempat bercuti? Haa jom Mama Siti kongsikan 10 tempat menarik di Mersing yang semakin mendapat perhatian ramai.

Bolehlah dipilih mengikut kesesuaian keluarga dan bajet masing-masing. Rupanya ada banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi di Mersing!

Tempat- tempat Menarik di Mersing

Mersing terletak di Timur Laut negeri Johor, di perairan laut China Selatan yang menyebabkan ia terkenal dengan pelbagai pulau-pulau indah. Terdapat lebih 7 pulau peranginan di kawasan Mersing sahaja.

Asalnya Mersing adalah perkampungan nelayan namun kini semakin terkenal dengan pelancongan. Di sini juga terletaknya jeti ke Pulau Tioman dan pulau-pulau lain melalui bot, feri dan bot laju. Dibawah Mama Siti kongsikan 10 tempat menarik untuk dilawati di Mersing.

1. Pulau Tinggi

Kredit gambar: Lets rest and relax in Malaysia

Pulau Tinggi terletak hanya 45 minit daripada jeti maka ia sering menjadi pilihan para pelancong. Pulau Tinggi mempunyai pasir yang putih bersih dan air jernih kebiruan.

Kredit gambar: Libur

Selain snorkeling di Pulau Mentinggi dengan menaiki speedboat, Mama juga boleh berbasikal mengelilingi pulau dengan harga sewaan RM15 per jam. Antara harga pakej dua hari satu malam bagi aktiviti lengkap yang ditawarkan adalah RM320. Murah, bukan?

2. Pulau Pemanggil

Pulau Pemanggil terletak agak jauh dari jeti iaitu perjalanan 4.5 jam namun ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia terkenal sebagai tapak memancing terbaik. Terumbu karang di perairan ini masih dara dan pantainya juga sangat bersih.

Kredit gambar: Pakej pulau Malaysia

Ia mempunyai jajaran pantai yang panjang dan indah. Antara tempat yang boleh dilawati adalah Batu Buau, dengan menaiki jambatan yang disediakan.

Di perkambungan Buau, terdapat sekolah dengan jumlah murid yang sedikit (penduduk tempatan), Telok Kador yang merupakan tapak kapal karam yang dipenuhi terumbu karang dan juga Kampung Pak Kaleh yang mempunyai taman laut yang indah dengan pelbagai ikan termasuk jerung.

3. Pulau Rawa

Kredit gambar: Rickshaw Asia

Pulau Rawa sangat terkenal dengan pasir putih dan air jernih ibarat berada di Maldives. Nama Rawa bermaksud merpati putih. Anggaran pakej percutian ke sini adalah dalam RM1,000 setiap orang untuk tempoh dua hari. Di sini juga perlu dibayar yuran Taman Marin sebanyak RM20.

Suasana pantainya sangat sesuai untuk snorkeling di permukaan laut kerana airnya yang sangat jernih dan banyak terumbu karang yang dekat dengan pantai. Antara aktiviti lain adalah jungle trekking selama 30 minit ke atas bukit di Pulau Rawa ini dan Mama akan disajikan permandangan yang indah.

Kredit gambar: Ke pulau ke kita

Menariknya terdapat dua gelongsor air terus ke laut di sini untuk lebih menikmati suasana mandi-manda di pantai. Mama dna seisi keluarga juga boleh berkayak di sini.

4. Muzium Mersing

Kredit gambar: malaysiaaktif.my

Muzium ini mempunyai sekitar 300 koleksi artifak daripada tahun 1920-an, 40-an dan 60-an. Muzium ini merupakan bangunan kerajaan yang pernah dijadikan markas tentera Jepun.

Di sini, Mama akan dapat melihat tiga bahagian pameran di muzium. Yang pertama adalah pentadbiran sosio ekonomi, kemudian battle of Endau dan juga pameran khas iaitu pameran bermusim selama enam bulan setiap tahun.

Masuk adalah percuma.

5. Pulau Besar

Kredit gambar: Libur

Pulau Besar terletak sejauh 30 minit perjalanan dari jeti Mersing. Pulau ini kurang dikenali maka pulau ini lebih sunyi namun tetap mempunyai resort penginapan yang cukup. Mama boleh berkayak dan snorkeling di sini. Selain itu, Mama boleh menjamu selera di Restoran Kayu Manis yang bertemakan rekaan Bali di bawah seliaan Aseania Beach Resort. Pakej percutian 2 hari 1 malam di sini adalah dalam anggaran RM390 hingga RM700 seorang.

6. Hutan Lipor Gunung Arong

Hutan Lipor Gunung Arong terletak di Tanjung Resang, Mersing dan mempunyai trek pendakian yang mudah, sangat sesuai untuk mereka yang membawa anak kecil. Sampai sahaja di atas nanti, Mama akan disajikan dengan pemandangan yang indah.

Kredit gambar: Libur

7. Perusahaan keropok

Memandangkan Bandar Mersing adalah bandar di tepian pantai, dan dikenali dengan sektor perikanan, maka ia adalah antara tempat menarik dan terbaik di Mersing untuk mendapatkan produk seperti keropok.

Jangan lupa untuk singgah di tepi-tepi jalan yang pasti ada banyak perusahaan keropok untuk dijadikan ole-ole pulang ke rumah.

Kredit gambar: Visit Johor

8. Taman Negara Endau-Rompin

Kredit gambar: Cik Adilla

Taman Negara Endau-Rompin adalah hutan hujan paling tua dalam dunia berusia lebih 200 juta tahun dan mempunyai resort penginapan yang selesa serta berdekatan dengan air sungai yang cantik. Taman Negara yang luas ini mempunyai banyak koleksi flora dan fauna yang eksotik. Untuk memasuki Taman Negara ini anda memerlukan permit daripada pihak Taman Negara.

Kredit gambar: SG My taxi

9. Kedai makan Hentian Bendang

Jika anda mencari tempat makan menarik, di sinilah tempatnya. Kedai makan Hentian Bendang ini memberi pengalaman makan-makan di tepian bendang ala kampung. Jadi kita boleh bersantap sambil menikmati pemandangan sawah padi yang terbentang luas.

Makanan popular di sini adalah Mi Bandung. Antara menu lain adalah shell out dan masakan panas.

Alamat : Hentian Bendang, Jalan Kg. Air Papan, 86800 Mersing, Johor
Masa Operasi : 4.00ptg – 11.00mlm

10. Pulau Dayang

Kredit gambar: Elyana

Ramai tidak tahu Mersing mempunyai lagi satu pulau yang cantik, iaitu Pulau Dayang. Perjalanan yang mengambil masa selama 2 hingga ke 5 jam bergantung kepada keadaan angin, namun ia mempunytai keistimewaan tersendiri.

Pakej percutian di sini anggaran sekitar RM450. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah snorkeling, berjalan ke pulau berhampiran dan juga hiking untuk melihat permandangan dari puncak.

Jom lawat tempat menarik Mersing

Nah kini Mama sudah tahu banyak ‘pulau tersembunyi’ dan tempat menarik di Mersing rupanya. Jadi apa lagi? Boleh dah kita rancang percutian sebaik sahaja musim monsoon timur laut berakhir nanti. Disebabkan banyak pulau-pulau di Mersing ini, boleh baca dahulu checklist ke pulau bersama anak kecil di sini.

Selamat bercuti!