KelabMama

30 Tempat Menarik di Kedah yang Mama Sekeluarga WAJIB Pergi Walau Sekali

Kalau dalam entri sebelum ini Mama Siti kongsikan tempat-tempat yang best di Alor Setar, kali ini, Mama Siti kongsikan pula senarai tempat menarik di seluruh negeri Kedah. Ada pulau, taman rekreasi, tempat bersejarah, pantai, dan lain-lain lagi yang sesuai sebagai tempat percutian untuk seisi keluarga.

Tempat Menarik di Kedah

1. Pemandangan Gunung Jerai

Kredit gambar: Libur

Jika Mama ingin melihat panorama Negeri Kedah daripada altitud yang tinggi, Gunung Jerai adalah tempat yang terbaik kerana Mama dapat melihat pemandangannya dan hingga dapat melihat Pulau Pinang!

Mama juga dapat melihat panorama pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik. Jangan risau, jalan untuk ke puncak dengan kereta agak mudah dan dekat. Mama juga boleh menginap di The Regency Jerai Hill Resort, yang juga sangat terkenal dengan dekorasi lamannya, menjadikan salah satu tempat menarik di Kedah yang sangat Instaworthy!

2. Taman Rekreasi Sungai Sedim

Kredit gambar: Asjammikka

Taman Rekreasi ini terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Inas. Ia terkenal sebagai destinasi berkayak arus deras. Banyak aktiviti luar menarik yang boleh dilakukan di sini seperti berkelah, mandi air terjun, water rafting, flying fox, abseiling dan sebagainya. Terdapat juga kawasan berkelah sungai yang cetek, yang sesuai untuk untuk kanak-kanak.

Banyak resort dan chalet di tepi sungai ini. Jika berminat pakej aktiviti outdoor boleh hubungi resort berdekatan seperti di Sedim Eco Resort.

3. Tree top walk Sungai Sedim

Kredit gambar: Sugar Route

Ia merupakan canopy walk yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 925 meter dan ketinggian yang paling tinggi adalah 36 meter dari aras tanah. Jangan risau, laluannya berpagar besi, sesuai untuk membawa anak-anak serta keluarga.

Harga Tiket Tree Top Walk Sungai Sedim
Dewasa: RM10.60
Kanak-kanak: RM6.60

4. Menara Alor Setar

Kredit gambar: The Smart Local

Menara ini adalah mercu tanda negeri Kedah dan merupakan menara telekomunikasi yang kedua tertinggi di Malaysia serta yang ke-22 paling tinggi di dunia. Kita boleh melihat panorama cantik bandaraya Alor Setar dari paras yang tinggi.

Antara lokasi yang dapat diperhatikan dari atas adalah Gunung Jerai, Masjid Zahir dan juga Selat Melaka. Terdapat restoran Berputar Seri Angkasa di atasnya dan juga observation deck yang menempatkan automatic binocular untuk kegunaan pelawat.

Harga Tiket Menara Alor Setar
Dewasa: RM12.00
Kanak-kanak (4-12 tahun): RM8.00
Warga Emas & OKU: RM8.00
Pelajar Berkumpulan: RM8.00

5. Muzium Padi

Kredit gambar: Expedition For Fun

Muzium padi ini terletak di Alor Setar. Ia menempatkan informasi berkenaan sejarah industri padi di Kedah semenjak zaman penggunaan kaedah tradisional sehingga kaedah tanaman padi moden.

Harga Tiket Muzium Padi Alor Setar
Dewasa (13 tahun keatas): RM5.00
Kanak-Kanak (7-12 tahun): RM2.00
Pelajar beruniform: RM2.00

6. Air Terjun Titi Hayun

Kredit gambar: Pen Biru

Air Terjun Titi Hayun ini merupakan salah satu tempat menarik di Kedah yang sangat sesuai sebagai tempat perkelahan bersama keluarga. Ia terletak di kaku Gunung Jerai dan lebih kurang 40km dari bandaraya Alor Setar.

Terdapat banyak kemudahan untuk pengunjung seperti chalet untuk menginap, tempat letak kenderaan yang luas, gerai-gerai makanan, gazebo untuk berehat, dewan terbuka, tapak perkemahan, tempat solat dan banyak lagi.

7. Masjid Zahir

Kredit gambar: Aizat Sera

Masjid Zahir dibina pada tahun 1912 dan ia merupakan salah satu masjid yang paling tua di dalam daerah Alor Setar. Dikatakan mempunyai senibina tercantik. Lokasinya adalah berhadapan ‘mini i-City’ Alor Setar.

8. Pekan Rabu Alor Setar

Kredit gambar: siakapkeli.my

Pekan Rabu adalah destinasi yang menarik buat mereka yang berminat menerokai budaya penduduk setempat termasuk mengenali produk makanan popular di Kedah. Pekan Rabu juga merupakan destinasi yang sangat sesuai untuk mencari buah tangan buat ahli keluarga, rakan, dan jiran.

9. Pantai Merdeka

Kredit gambar: Wak Gelas

Cinta kita di Pantai Merdeka~~~

Haa Mama pasti pernah dengar lagu ini bukan? Betullah, lagu itu berkaitan dengan Pantai Merdeka yang terletak di Sungai Petani, Kedah ini. Ia merupakan antara lokasi pemandangan matahari terbenam yang indah.

Kanak-kanak boleh bermandi-manda dan Mama sekeluarga juga boleh berkelah di kawasan yang disediakan. Jangan risau, di sini juga terdapat pelbagai jenis restoran dan kedai makan buat para pengunjung.

Yang paling best, Mama WAJIB cuba ais kacang Gunung Jerai yang terdapat di beberapa kedai di sini. Tapi, jangan order banyak ya. Manih melecaih bak kata oghang Kedah!

10. Tanjung Dawai

Kredit gambar: Penang Travel Tips

Mama boleh menjiwai suasana perkampungan nelayan yang terletak di muara Sungai Merbok. Tanjung dawai ini juga terletak bertentangan dengan Pantai Merdeka.

Jadi, Mama boleh datang ke sini dengan menaiki kereta atau dari Pantai Merdeka, Mama boleh menaiki bot yang telah disediakan untuk ke Tanjung Dawai. Perjalanan menaiki bot dari Pantai Merdeka mengambil masa dalam 15 minit sahaja.

Terdapat aneka produk hasil laut dijual di sini seperti pilihan keropok kering, ikan bilis dan lain-lain. Di Tanjung Dawai juga mempunyai banyak tempat makan yang menyediakan makanan popular penduduk setempat seperti mee udang, laksa Kedah dan lain-lain lagi.

11. Muzium Arkeologi Lembah Bujang

Kredit gambar: Ujie Othman

Muzium ini terletak 8km dari Tanjung Dawai dan ia adalah candi binaan manusia yang tertua di Asia Tenggara dan telah wujud sejak awal tahun Masihi lagi.  Latar belakang kawasan candi ini adalah tumbuhan menghijau dan sungai kecil mengalir.

Bahagian muzium pula dipenuhi dengan pelbagai infografik bersejarah dan juga artifak menarik yang menceritakan tentang sejarah empayar pemerintahan Kedah. Masuk adalah percuma.

12. Masjid Bukhari

Kredit gambar: Dive into Malaysia

Masjid ini terletak di bandaraya Alor Setar. Apa yang menarik adalah keindahan perkarangan masjid yang berpokok serta berkolam bentuk geometri.

Reka bentuk masjid ini banyak bermotifkan senibina bangunan Islam popular di dunia, antaranya adalah, replika mimbar yang terdapat di Masjid Qiblatain Madinah.

Seni bina kolam dan laluan air menjadi penambah daya tarikan untuk berziarah dan bersolat di sini.

13. Kota Kuala Kedah

Kredit gambar: Discover with Timothy

Kota Kuala Kedah ini terletak di muara Sungai Kedah dan merupakan peninggalan tapak asal Kota Kuala Kedah yang wujud sejak kurun ke-17 lagi.

Mama dapat lihat kubu-kubu berbongkah batu merah di sini yang masih kukuh walaupun pernah satu ketika dahulu menjadi benteng pertahanan daripada serangan Bugis, Acheh dan Siam. Kawasan muzium terletak di dalam rumah kayu berwarna putih yang menempatkan beberapa artifak bersejarah.

14. Keriang Hill Resort

Kredit gambar: Catatan Travel Sabrina

Terletak berdekatan Muzium Padi Alor Setar, ia bercirikan rumah Melayu tradisional maka sangat sesuai bagi mereka yang mahu merasakan suasana seperti di kampung.

15. Menara Jam Merdeka Kulim

Kredit gambar: Di Ujung Islam

Terletak berdekatan Masjid Zahir, pemandangannya sangat cantik pada waktu malam. Menara ini adalah hasil binaan klasik sejak 1912 lagi.

16. Balai Besar

Kredit gambar: malaybim.com

Balai besar adalah rekaan bentuk rumah tradisional Melayu yang berbumbung panjang. Ia dibina pada tahun 1896 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah setelah beberapa kali runtuh akibat serangan. Ia berfungsi sebagai tempat untuk menjalankan majlis rasmi Sultan Kedah. Jika Mama ke sini, Mama akan dapat melihat seni halus pertukangan menggunakan kayu cengal emas.

17. Balai Nobat

Kredit gambar: reenaonline.blogspot.com

Reka bentuk Balai Nobat adalah berasaskan batu dan logam, ia menjadi tempat penyimpanan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang dimainkan pada majlis-majlis tertentu sahaja; iaitu pada hari perkahwinan, pertabalan dan juga persemadian DiRaja.

18. Fantasia Aquapark

Kredit gambar: Laxpayna

Fantasia Aquapark ini merupakan mini waterpark yang pertama di Jitra, Kedah. Hanya 20 minit dari Alor Setar, taman tema air ini bersaiz agak kecil, namun cukup menarik dan menyeronokkan untuk anak-anak kecil dan seisi keluarga.

Ianya terletak bersebelahan dengan Taman Tasik Jitra, jadi para pengunjung bakal disajikan dengan pemandangan tasik yang cantik dan menenangkan.

Nak berekreasi di Taman Tasik Jitra selepas penat bermandi-manda pun boleh! Fantasia Aquapark dibuka setiap hari, kecuali hari Selasa (kecuali pada cuti umum/cuti sekolah).

Harga Tiket Fantasia Aquapark
Dewasa (13 tahun keatas): RM21.00 (Isnin, Rabu-Khamis) & RM23.00 (Jumaat-Ahad)
Kanak-Kanak (7-12 tahun): RM16.00 (Isnin, Rabu-Khamis) & RM18.00 (Jumaat-Ahad)
Warga Emas: RM14.00 (Isnin, Rabu-Khamis) & RM14.00 (Jumaat-Ahad)

19. Muzium Negeri Kedah

Kredit gambar: Mohd Faiz Abdul Manan

Muzium negeri Kedah ini asalnya terletak di tingkat bawah Balai Besar, namun kini ia terletak di Lebuhraya Darul Aman atau berhadapan dengan Stadium Darul Aman, selepas berlaku pertambahan koleksi.

20. Rumah Tok Su

Kredit gambar: libur.com.my

Rumah peninggalan era lama berusia 100 tahun yang menjadi lokasi diadakan mesyuarat politik sebelum kemerdekaan negara. Sebenarnya, rumah ini bukan berasal dari Alor Setar. Rumah Tok Su telah dipindahkan dari lokasi asal yang berbeza dan dipasang semula di Kampung Warisan.

Ia dibawa dari Kampung Permatang Kerat, Bandar Baharu dan dinamakan Tok Su bersempena nama panggilan anak bongsu pemilik asal rumah tersebut.

21. Dataran Lang

Kredit gambar: Langkawi Info

Dataran Lang terletak bersebelahan jeti Pekan Kuah, jadi mudah bagi pelawat untuk terus nampak dataran ini selepas turun dari jeti. Nama Langkawi ini diambil sempena dengan burung helang merah yang banyak terdapat di pulau ini.

Lang mewakili singkatan burung helang dan Kawi pula bermakna perang kemerahan.

22. Kompleks Mahsuri

Kredit gambar: Azaleania

Kompleks Mahsuri adalah tempat bersejarah kerana di sini terletaknya Makam Mahsuri, replika rumah tradisional dengan pelbagai jenis aktiviti yang boleh dicuba, pameran visual seperti muzium dan juga Telaga Mahsuri.

Harga Tiket Makam Mahsuri
Dewasa: RM12.00
Kanak-kanak: RM6.00

23. Kereta kabel Langkawi

Kredit gambar: Go Travelly

Daripada bawah ke puncak adalah sejauh 4.4km dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk melengkapkan perjalanan. Dari sini, Mama boleh terus ke Skybridge.

Harga Tiket Kereta Kabel Langkawi

Normal Gondola
Dewasa: RM40
Kanak-Kanak: RM30

Bottom glass gondola
RM105/orang

24. Langkawi Wildlife Park

Kredit gambar: Klook

Langkawi Wildlife Park merupakan taman haiwan yang menempatkan variasi spesis haiwan seperti burung, reptilia, mamalia dan juga ikan. Anak-anak berpeluang untuk merasai pengalaman memberi makan dan memegang haiwan-haiwan jinak yang terdapat di sini.

Kadar Harga Tiket MyKad/MyKid
Dewasa (13 tahun keatas) RM24.00
Kanak-Kanak (3-12 tahun) RM16.00
Warga Emas (55 tahun keatas) RM16.00

25. Telaga Harbour

Kredit gambar: Selipar Buruk

Telaga Harbour merupakan pelabuhan kecil yang menempatkan banyak kapal layar mewah yang berlabuh. Sangat cantik untuk destinasi fotografi. Mama juga dapat menikmati suasana matahari terbenam di sini.

26. Perdana Quay Light House

Kredit gambar: Dronestagram

Antara tempat menarik lain di Kedah adalah Perdana Quay Light House yang terletak hanya 300 meter dari Telaga Harbour. Tempat ini sangat cantik untuk sesi fotografi!

27. Pantai Cenang

Kredit gambar: Pantai Cenang

Pantai Cenang merupakan destinasi pantai yang serba lengkap, terdapat banyak pilihan hotel dan resort popular di sini. Pemandangan pesisiran Pantai Cenang sungguh cantik dan pasirnya putih sekali. Air lautnya yang membiru sangat sesuai untuk anak-anak bermain. Mama juga dapat menikmati panorama matahari terbenam bersama yang tersayang.

28. Skybridge

Kredit gambar: Spotlight images

Skybridge adalah jambatan melengkung pejalan kaki yang terpanjang di dunia sepanjang 125 meter. Di sini, Mama boleh berjalan kaki untuk melihat keindahan Pulau Langkawi. Terletak di atas puncak Bukit Machinchang iaitu titik kedua tertinggi di Pulau Langkawi.

Harga Tiket SkyBridge Langkawi
Dewasa RM5
Kanak-Kanak RM 3

29. Paradise 3D Art Museum

Kredit gambar: Travel with Bender

Art Museum ini adalah lokasi bergambar yang unik terletak berdekatan dengan stesen SkyCab Langkawi. Ia merupakan muzium 3D di Malaysia yang terbesar dan juga yang kedua terbesar di dunia. Saiz lukisan di sini jauh lebih besar dan kelihatan sangat realistik.

Harga tiket:
Dewasa: RM30.00
Kanak-Kanak: RM20.00

30. Pulau Payar Marine Park

Kredit gambar: Tour & Incentive Travel

Air pantai di sini sangat jernih membiru hingga kita boleh melihat taburan terumbu karang serta hidupan marin dari atas permukaan air lagi. Namun lokasi pulau ini agak jauh dari pulau Langkawi, iaitu sekitar 30km dan perlu menaiki bot untuk sampai ke sini.

Selamat Bercuti ke Tempat-tempat Menarik di Kedah ini

Semoga senarai tempat menarik di Kedah ini membantu membuat pilihan destinasi yang berkenan di hati. Boleh rujuk tips bercuti bersama anak kecil untuk membuat persediaan sebelum melancong.