Setiap pasangan yang berkahwin pastinya ingin keluarga yang bahagia. Mempunyai pasangan yang memahami, menyayangi, saling menghormati dan sanggup menerima kelemahan dan kelebihan pasangan.
Oleh itu, masing-masing perlu berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dalam rumah tangga. Rumah tangga adalah hak milik bersama bukan hak suami atau isteri.
Paling penting, suami isteri perlu sentiasa berbincang dengan baik dan mempunyai persefahaman bagi mewujudkan suasana yang harmoni.
Perkahwinan yang sah adalah permulaan kepada rumah tangga. Tidak mengira agama dan bangsa, ikatan yang sah ini adalah permulaan kepada suatu perjalanan kehidupan yang baru.
Suami dan isteri berkongsi sebuah kehidupan dalam membentuk institusi rumah tangga. Disinilah bermulanya sebuah kehidupan yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal dalam melayari kehidupan berumah tangga.
Firman Allah di dalam Al-Quran, Ayat 1 surah An-Nisa’ yang bermaksud –
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya-Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya- suriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
Suami – adalah tunjang yang membentuk sesebuah rumah tangga, selaras dengan kekuatan yang Allah berikan kepadanya sebagai seorang lelaki. Dialah yang menjadi ketua, sumber ekonomi, juga pembimbing setiap individu sesebuah rumah tangga itu.
Empat keperluan asas, yang juga disebut nafkah zahir – yang wajib disediakan oleh sang suami untuk rumah tangganya – tempat tinggal (rumah), makanan, pakaian dan perubatan sekiranya diperlukan.
Selalu disebutkan isteri merupakan tulang rusuk suami, diciptakan sebagai pelengkap kehidupan suami. Juga keduanya saling melengkapi – kekurangan isteri dilengkapi oleh kelebihan suami, begitu jugalah sebaliknya.
Pelengkap kehidupan suami – seharusnya yang bergelar isteri, yang bertanggungjawab memenuhi keperluan batin suami, ketaatan kepada suami didalam menjaga hal keperluan rumah tangga dengan sempurna.
Namun begitu hakikatnya, di alam akhirat nanti suami akan disoalkan akan segala tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya di dunia ini.
Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.
Hadis riwayat al-Baihaqi
Justeru itu, Allah menjadikan makhluk-makhlukNya khususnya manusia, fitrahnya suka pada ketenangan atau sakinah dengan kehidupan beristeri dan mempunyai keluarga.
Apabila dilontarkan pertanyaan kepada mana-mana wanita, pasti setiap dari mereka bercita-cita untuk menjadi isteri solehah yang menjadi penyejuk hati dan mata bagi si suami. Seiring dengan hadid Nabi SAW sendiri menyebut yang bermaksud,
Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita (isteri) solehah.
HR. Muslim
Apakah tanggungjawab isteri dalam sesebuah rumah tangga? Diriwayatkan di dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud,
Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan dan menjaga kehormatan diri, serta taat kepada suaminya, maka dipersilakanlah masuk ke syurga dari pintu mana sahaja yang disukai.
HR. Ahmad dan Thabrani
Diceritakan didalam suatu pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:
Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.
Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.
Berikut huraian tanggungjawab isteri yang boleh dijadikan panduan di dalam berumah tangga dan membentuk keluarga.
Tanggungjawab Isteri Dalam Berumah Tangga
1. Taat dan patuh kepada suami selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Isteri wajib taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ketaatan isteri kepada suami inilah tanggungjawab utama yang perlu dilunaskan oleh para isteri. Betapa kedudukan suami bagi seorang isteri itu begitu tinggi sehingga Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang bermaksud,
Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang manusia, nescaya aku akan suruh perempuan sujud kepada suaminya.
HR. Imam Tirmizi
Sejak kecil, seorang wanita dijaga dan diberarkan dengan kasih sayang oleh ibu bapa mereka. Didikan dan ajaran yang membentuk peribadi wanita itu adalah hasil didikan kedua ibu bapanya.
Ketaatan mereka diberikan kepada ibu bapa. Namun, setelah berkahwin, ketaatan mereka beralih kepada suami yang merupakan seorang lelaki asing baginya. Ketaatan itu mestilah dalam perkara makruf, bukannya mungkar.
Selagi mana suami tidak meminta sesuatu yang melanggar syariat, maka wajib bagi seorang isteri untuk memberi ketaatan kepada suaminya. Kesetiaan dan ketaatan seorang isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu, melebihi dari keluarganya sendiri.
Walau bagaimanapun, ketaatan isteri pada suami ada kalanya memerlukan ruang komunikasi dan diplomasi. Sebagai isteri yang bijak dan solehah, perbincangan dengan suami secara baik untuk mencari kesepakatan yang terbaik dalam rumah tangga boleh diadakan.
Sekiranya ada perbezaan pendapat, janganlah dengan keras menentangnya. Ibarat ‘menarik rambung di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak bersepah’.
Jadilah seorang isteri yang sangat taat dan menghormati suami, sudah tentu dia akan sangat memuliakan isterinya.
2. Berhias diri
Isteri wajib menghias dirinya untuk tatapan suami sahaja dan tidak untuk orang lain khususnya apabila berada di luar rumah.
Jangan dibiarkan mata sang suami memandang yang buruk daripada seorang isteri, dan juga jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripada tubuh badan isteri.
Ketika berada di khalayak ramai, isteri harus pandai menjaga kesopanan dan sentiasa menutup aurat.
Isteri solehah juga ialah isteri yang menyenangkan dan menghiburkan hati suami sama ada di dalam mahupun di luar rumah.
Sebaiknya, jadilah kawan, teman, sahabat dan pelengkap buat suami yang berada dalam kesenangan mahupun ketika susah.
3. Menunaikan hak suami
Isteri hendaklah sentiasa memenuhi kehendak zahir dan batin suami. Ini merupakan kunci utama kepada fitrah sebuah perkahwinan – memenuhi keperluan batin suami dan isteri.
Dalam pada masa yang sama, isteri perlu menyimpan rahsia pergaulan bersama suami. Isteri berperanan sebagai penghibur hati dan sentiasa melakukan perkara yang mendatangkan kesenangan hati suami mereka.
Isteri mestilah memberikan hak suami yang ingin menyetubuhinya pada bila-bila masa sahaja selagi ia dibenarkan oleh syara’,contohnya ketika bersih daripada haid dan nifas. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu.Oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai,dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;dan bertaqwalah kepada Allah SWT serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada Hari Akhirat kelak).Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang beriman.
Surah Al-Baqarah 2:223
4. Menjaga kehormatan diri semasa bersama suami mahupun semasa ketiadaannya
Firman Allah SWT yang bermaksud:
…Maka perempuan-perempuan yang salih itu ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,dengan pemeliharaan Allah SWT dan pertolongan-Nya.
Surah An-Nisa’ 4:34
Isteri juga perlu faham tanggungjawabnya dalam memelihara maruah diri. Bukan itu sahaja, isteri juga perlu menjaga aib suami, tidak mendedahkannya bagi menjaga maruah suami. Rahsia suami harus disimpan rapi oleh isteri.
Apatah lagi, kisah-kisah dalam kamar tidur. Sebagai isteri, anda tidak boleh menceritakan perihal suami anda kepada orang lain.
Menjaga kehormatan bukan sahaja bagi pihak suami dan keluarga, tetapi juga menjaga maruah keluarganya sendiri dan keluarga mertua.
Rahsia dan aib keluarga mertua, bukan untuk dicanang pada sesiapa, malah juga kepada keluarga sendiri. Sebagaimana isteri sendiri sayang dan menjaga kehormatan keluarga sendiri, begitu juga yang perlu dilakukan kepada keluarga mertua yakni keluarga suami.
5. Menjaga dan menguruskan harta suami dengan baik
Menjadi tanggungjawab isteri solehah untuk bijak menjaga dan mengurus harta suaminya. Wang yang banyak diurus sebaiknya, manakala wang yang sedikit pula dibelanjakan secara cermat dan berhemah.
Isteri perlu sentiasa bersyukur dengan rezeki dan harta yang dimiliki oleh suami. Jangan meminta-minta benda di luar kemampuan suami.
Menjaga serta membelanjakan segala harta suami dengan jalan yang baik serta dengan mendapatkan keizinannya terlebih dahulu.
6. Tidak keluar rumah kecuali dengan keizinan suami
Isteri tidak boleh meninggalkan rumah tanpa izin suami (kecuali dalam situasi darurat). Apabila Allah SWT menetap-kan suami supaya mencari dan memberi nafkah, ditetapkan kepada isteri supaya taat kepada suami. Bagi permasalahan keluar rumah, Allah SWT melarang isteri meninggalkan rumah. Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud:
Hendaklah kamu tetap di rumah kamu dan jangan sekali-kali kamu keluar sebagaimana orang jahiliah yang dahulu.
Surah al-Ahzab, ayat 33
Setiap pergerakan, atau isteri berkeperluan untuk keluar dari rumah – perlu mendapat kebenaran dan persetujuan suami. Perancangan awal boleh dilakukan oleh isteri bagi mendapat keizinan suami untuk keluar bagi tujuan tertentu. Selagi tidak melanggar syariat dan membawa keada perkara kemaksiatan dan menjatuhkan maruah suami.
7. Menyempurnakan makan minum dan pakaian suami
Pesan orang tua-tua, terdapat dua perkara perlu dijaga untuk suami, iaitu mata dan perutnya. Jaga mata suami supaya dia tidak memandang perkara yang boleh mendatangkan dosa. Jaga perutnya agar dia tidak berlapar, kerana lapar akan membuatkan emosi mudah terganggu dan mudah menjadi marah.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab isteri untuk memastikan suami tidak dalam keadaan kelaparan. Biarpun sesibuk mana seorang isteri, perlu diambil kira keperluan makan minum suami apabila tiba masanya – tidak kira air tangan isteri ataupun dibeli. Sebaiknya air tangan isteri sendiri yang membawa kerberkatan di dalam rumah tangga.
8. Mendidik anak-anak
Menjadi ibubabpa adalah tanggungjawab bersama. Tetapi seorang ibu dan isteri memainkan peranan yang amat besar dalam mendidik anak-anak. Secara fitrahnya seorang isteri dan ibu akan memberikan kasih sayang dan mendidik anak-anak dengan hikmah.
Tanggungjawab mengajarkan al-quran dan ilmu fardhu ain kepada anak-anak kebiasaannya dimbil alih oleh isteri dengan bantuan suami.
Ini akan menyuburkan perasaan keibubapaan dalam memberi perlindungan, pendidikan dan kesejahteraan kepada anak-anak. Secara tidak langsung ini akan menyuburkan kasih sayang di dalam keluarga dan membentuk keperibadian anak-anak.
9. Membantu suami meringankan bebanannya
Para isteri amat perlu berkorban dalam ruang lingkup rumah tangga sehingga dialah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Di dalam Bahasa Arab – isteri diberi gelaran sebagai “rabbatul bayt” yang bermaksud tuan atau pengurus rumah.
Saidina Umar RA ketika menasihatkan Aqil RA berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya.
Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik dalam tradisi semua bangsa,dimana isteri menggalas tanggungjawab yang besar dalam membantu tugas suami, bukan sahaja di rumah, malah sebahagian besar isteri hari ini membantu ekonomi suami di dalam menencukupkan keperluan asas keluarga.
Walau bagaimanapun, hanya jika pendapatan suami tidak mencukupi untuk membiayai keperluan asas keluarga, barulah timbul keperluan isteri membantu untuk memantapkan nafkah keluarga, dengan keluar bekerja, tanpa mengabaikan tugas utama terhadap keluarga.
10. Mengasihi dan menyayangi suami sepenuh hati – cinta tanpa syarat
Antara perkara utama di dalam sesebuah perkahwinan – kasih sayang dan mengasihi antara satu sama lain. Sebagaimana seorang wanita – seorang lelaki ingin disukai, disayangi dan dihargai.
Sebagai seorang isteri – wajib memberi kasih sayang dan cinta tanpa syarat kepada suami – digambarkan melalui zahir dan batin. Isteri seharusnya menerima seadanya kelebihan juga kekurangan yang ada pada suami dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Hargai suami dengan menzahirkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Sentiasalah berdoa buat suami dan rumah tangga supaya mendapat keredhaan Tuhan.
Seringkali kita mendengar perumpamaan – “syurga seorang isteri terletak pada suaminya.” Didalam satu sabda Rasulullah SAW:
Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang isteri-isteri kamu yang termasuk dalam penghuni syurga? Iaitu wanita yang mencintai suami, mempunyai anak yang ramai dan selalu meminta maaf kepada suaminya. Sekiranya dia menyakiti ataupun disakiti, dia segera berjumpa suaminya dan memegang tangannya lalu berkata, ‘Demi ALLAH, aku tidak akan tidur sebelum engkau reda kepadaku.
Hadis Riwayat an-Nasai’
Daripada Riwayat di atas terbukti betapa tingginya darjat dan kedudukan seorang isteri yang mengabdikan diri dan menjaga sisi kehidupan suami dan keluarganya dengan penuh ketaatan, dari perkahwinan yang dilaluinya. Perkahwinan juga adalah sebaik-sebaik jalan untuk memelihara maruah kesopanan diri seseorang. Rasulullah SAW bersabda:
Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu bersetubuh/berumah tangga, hendaklah dia berkahwin, kerana ia paling menundukkan penglihatan dan memelihara kehormatannya. Sesiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah pemelihara (dapat mengekang keinginan nafsu syahwat) baginya
Hadis riwayat al-Bukhari
Setiap perkahwinan punyai kemanisannya yang tersendiri, tetapi rumah tangga adalah medan untuk berbakti dan beramal serta lubuk bagi kedua suami dan isteri mengumpul pahala.
Cabaran di dalam rumah tangga adakalanaya amat luar biasa. Setiap tanggungjawab isteri mahupun suami, kadang-kadang terasa terlalu berat untuk dipikul diatas bahu.
Suami bukan malaikat, isteri bukan bidadari, keduanya adalah manusia biasa yang tidak pernah lari dari kesilapan. Cinta dan perkahwinan itu hadir bersamanya tanggungjawab.
Para suami berkorban untuk isterinya dan para isteri berkorban untuk suaminya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang seperti yang termaktub dalam Surah al-Rum. Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan.
Al-Qur’an sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Semoga penulisan ini dapat memberikan panduan serta pencerahan mengenai tanggungjawab isteri di dalam sebuah perkahwinan dan rumah tangga.
Didalam Islam, rumah tangga Islam mempunyai misi, visi dan agenda. Suami dan isteri harus bertanggungjawab dan jelas dengan hala tuju rumah tangga dan pembentukan keluarga yang penuh mawadah dan rahmah. Semoga perkahwinan yang dibina bersama suami dan isteri harmoni dan menuju ke Jannah.