Mungkin masih ramai yang keliru dan tidak pasti apa sebenarnya seorang anak perlu lakukan terhadap kedua ibu bapa mereka.
Adakah anak perempuan yang telah berkahwin terputus tanggungjawabnya kepada ibu ayah mereka?
Adakah memberikan duit bulanan kepada ibu bapa kita ialah kewajipan bagi seorang anak?
Bagaimana pula anak lelaki yang telah berkeluarga, yang mana sepatutnya mereka dahulukan? Ibu ayah atau keluarganya?
Mama Siti akan rungkaikan persoalan tersebut dalam poin-poin tanggungjawab anak terhadap ibu bapa ketika masih hidup dan meninggal dunia.
10 Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa
#1 Mendoakan Ibu Ayah
Perkara paling ringan tetapi sangat bermanfaat buat kedua ibu dan ayah ialah dengan mendoakan kesejahteraan mereka.
Setiap kali teringatkan mereka, bacakan doa untuk ibu bapa. Semoga Allah menggantikan doa kita dengan perlindungan dan kebaikan buat ibu ayah yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
#2 Menziarahi Ibu Ayah
Ketika mulai dewasa, keadaan memaksa kita meninggalkan rumah untuk bekerja. Begitulah lumrah mencari rezeki di tempat orang.
Sekali-sekala, luangkan masa di hujung minggu balik ke kampung untuk menziarahi ibu dan ayah.
#3 Menjaga Kesihatan Ibu Ayah
Sebagaimana mereka menjaga kita semasa sakit, begitulah juga kita perlu peka dengan keadaan kesihatan mereka.
Benar, ada ibu ayah semahu-mahunya tidak mahu menyusahkan anak dan bertindak merahsiakan masalah kesihatan mereka.
Janganlah kita pula yang memandang enteng perkara tersebut, usahakan untuk melibatkan diri dalam menjaga kesihatan ibu ayah.
#4 Bercakap Dengan Lembut
Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.
(Al-Isra’: ayat 23)
#5 Mengeratkan Persaudaraan Kenalan Ibu Ayah
Persahabatan ibu dan ayah mungkin telah bermula lama sebelum kita lahir. Berkemungkinan besar, mereka kita turut sama membantu ketika ibu ayah kita ketika kesusahan.
Justeru, kita perlu menghargai mereka dengan berbuat baik dan mengeratkan lagi persaudaraan dengan kenalan ibu dan ayah kita.
#6 Menguruskan Pengebumian Ibu Ayah
Tiadalah amal terakhir buat ibu dan ayah melainkan menguruskan jenazah mereka ketika mati nanti.
Bermula dari memandikan, mengkafankan, solat jenazah hingga menghantar mereka ke kubur. Oleh itu, sebagai ingatan buat diri Mama Siti dan Mama semua, marilah kita mendidik anak-anak agar setidak-tidaknya mereka tahu menguruskan jenazah kita nanti. Insya allah.
#7 Melunaskan Hutangnya
Hutang wajib dibayar. Si anak bertanggungjawab membayar kembali hutang yang pernah dipinjam ibu ayah mereka.
Jika ibu ayah mempunyai hutang wajib dengan Allah seperti puasa, haji dan nazar, sebagai anak kita perlu melunaskannya.
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan.”
(Riwayat al-Bukhari)
#8 Berinfak Atas Nama Mereka
Sedekah jariah termasuk dalam tiga perkara yang pahalanya sampai kepada si mati. Apabila seorang anak memberi sedekah atau berbuat kebaikan lalu pahalanya diniatkan untuk ibu ayahnya maka mereka akan turut sama mendapat pahala walaupun masih hidup.
#9 Membantu Mengikut Kemampuan
Memberi nafkah kepada ibu bapa tidak termasuk dalam kewajipan seorang anak. Namun begitu, Rasulullah SAW ada mengajarkan kita agar bersikap ihsan dalam semua perkara.
Ibu ayah yang tiada pendapatan dan uzur hendaklah dibantu sesuai kemampuan anak-anaknya. Ikut video dari Ustaz Azhar Idrus tentang nafkah kepada ibu bapa.
#10 Menziarahi Sahabat Mereka
Poin penting yang Mama Siti dapat dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kita bukan sahaja perlu berbuat baik kepada ibu dan ayah tetapi juga kepada sahabat mereka. Ini kerana agama Islam sangat menganjurkan umatnya bersilaturrahim.
Berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
(Riwayat al-Bukhari)
Kesimpulannya,
Tanggungjawab anak terhadap ibu dan ayah tidak terputus walaupun telah berkahwin. Sama juga selepas mereka meninggal dunia.
Paling penting ialah melunaskan hutang-hutang yang ada. Selain itu, hendaklah kita selalu mendoakan kesejahteraan mereka. Kerana kata Rasulullah SAW dari Abu Huraira RA;
Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.”
(Riwayat Muslim)
Semoga dengan berbakti kepada ibu ayah dapat meringankan beban mereka. Manakala untuk kita sebagai anak, semoga diberikan hati budi yang baik agar sentiasa dapat menjalankan tanggungjawab kita sebagai anak terhadap ibu dan bapa.