KelabMama

Tangani Anak Sukar & Malas Ke Sekolah Setiap Pagi

Tangani Anak Sukar & Malas Ke Sekolah Setiap Pagi

Anak saya malas betul ke sekolah. Bermacam cara saya buat, sampai kan kena juga paksa dia, tapi makin teruk pula jadinya…

Anak malas ke sekolah ni bukan satu perkara biasa terutama buat mereka pertama kali nak menjejakkan kaki ke alam persekolahan atau tadika. Ada yang meronta tak mahu ke sekolah, ada pula yang memberikan alasan cliché seperti sakit perut atau demam malah ada yang tak mahu bangun tidur.

Situasi sebegini pasti membimbangkan ibu bapa terutama apabila ia terjadi kepada anak sulung yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan sama ada ke prasekolah mahupun tahun satu.

Walaupun sesi persekolahan sudah sampai ke pertengahan, masih ada segelintir kanak-kanak yang belum terikat hatinya dengan suasana di tadika.

Mereka mungkin takut atau rasa tertekan untuk ke sekolah disebabkan pelbagai masalah di sekolah. Kadang­kala ada segelintir ibu bapa mengambil ringan tekanan si anak. Padahal, ia bukan saja menjejaskan emosi kanak-kanak terbabit malah boleh menjejaskan kesihatan mereka misalnya sering sakit kepala atau sakit perut.

Pasti ada sebab si kecil tak mahu ke sekolah. Mereka mungkin tak suka dengan guru yang garang, dibuli rakan, takut berpisah dengan ibu bapa dan pelbagai alasan lain. Sebagai ibu bapa, kita mestilah selidik punca masalah dan cari jawapannya.

Berikut 6 cara untuk ibu bapa yang mempunyai anak yang malas ke sekolah:

#1 Pastikan Anak Teruja Untuk Ke Sekolah

Yakinkan anak bahawa persekolahan adalah zaman menyeronokkan yang membolehkan mereka berjumpa rakan terbaik dan mengutip pengalaman indah.

Sebelum sekolah bermula, mama boleh ceritakan kepada si manja mengenai sekolah baru supaya emosinya lebih bersedia. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah contohnya, ada ramai kawan, guru yang baik dan taman permainan di sekolah.

#2 Jangan Emosi Hantar Anak Ke Sekolah

Ini khas untuk ibu bapa! Ibu bapa perlu cekal bila menghantar dan meninggalkan anak di sekolah kerana emosi kita juga banyak mempengaruhi emosi anak.

Cuba berfikiran positif dan elak daripada menunggu anak di dalam kelas terlalu lama kerana ia akan hanya menyukarkan proses penyesuaian si anak. Tinggalkan saja anak sebaik menghantarnya ke tadika atau sekolah walaupun dia menangis. Jangan terlalu bimbang kerana biasanya anak akan diam selepas ibu atau bapa mereka pulang.

#3 Be Punctual!

Pastikan mama dan papa tak lewat bila ambil anak pulang dari sekolah atau tadika terutama pada minggu pertama. Biasanya kanak-kanak berasa takut apabila melihat kawan sudah pulang, tapi mereka masih lagi menunggu.

Ibu bapa kena tepati masa dalam mengambil anak dari sekolah supaya mereka tak ditinggalkan bersendirian di sana.

Kalau anak balik pukul 2.30 petang, pukul 2.30 petang tu lah mama dan papa mesti terpacak di depan pintu pagar sekolah. Kalau ibu bapa asyik lambat mengambil mereka, itu yang membuatkan anak jadi malas ke sekolah.

#4 Beri Ganjaran

Beri ganjaran kepada anak yang tak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranyanya dia rajin ke sekolah. Walau bagaimanapun, elakkan daripada mengumpan anak dengan hadiah atau mainan yang mahal. Elakkan daripada memberi jajan! Jangan jadi punca gigi anak mama rosak.

Terus hantar anak ke tadika atau sekolah secara konsisten. InshaAllah bila mereka dah dibiasakan ke sekolah, mereka akan cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sana.

#5 Ulangkaji Bersama

Beri sokongan dan galakan kepada anak mama menerusi perkongsian pendapat.

Buat kerja rumah dan ulang kaji bersama mereka. Bila anak dah balik, tanya mengenai aktiviti, kawan di sekolah, apa yang mereka makan dan seumpamanya. Tunjukkan minat dan soko­ngan mama terhadap persekolahannya.

#6 Jangan Paksa Anak Ke Sekolah

Bila mama terlalu memaksa si anak ke sekolah, mereka jadi tertekan. Sedangkan kita yang dewasa pun tak boleh sikit bila di paksa, apatah lagi anak kan?

Sekiranya anak masih lagi meragam, sabarlah. Pujuk mereka dan banyakkan berbual, bermain dan bercerita dengan si manja. Ia boleh meredakan masalah emosi anak.

Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan mengambil masa yang berbeza untuk menyesuaikan diri. Mama jangan risau sebab fitrah anak-anak memang suka kepada alam persekolahan.

Sumber: Harian Metro

BACA JUGA TIP SI KECIL MELANGKAH LEBIH BERANI KE SEKOLAH

Pesan Mama Siti:

Perkara paling mudah yang mama boleh lakukan kepada anak mama ialah beli saja seragam, beg dan kasut sekolah. Beli awal-awal lepas tu galakkan anak supaya mencuba. Kasi mereka dapat ‘feel’ nak pergi ke sekolah. Barula hati mereka pun terjentik nak ke sekolah, tak gitu?