Melihat si kecil yang menangis tanpa henti sambil berbaring di lantai sudah tentu membuatkan hati ibu panas dan marah. Apatah lagi sekiranya berlaku di khalayak ramai. Apabila dipujuk semakin kuat pula tangisannya. Malah tiada tanda-tanda mahu berhenti menangis. Sebagai ibu tentu saja anda malu dengan tingkah laku ditunjukkan anak anda. Takut pula dengan andaian yang anda tidak tahu menjaga anak. Apakah yang harus dilakukan? Tantrum atau mengamuk adalah perkara biasa yang berlaku kepada kanak-kanak berusia 15 bulan hingga empat tahun. Ia biasa berlaku apabila si kecil menunjukkan rasa tidak senang pada suatu objek atau lingkungannya. Pada umumnya tantrum terbahagi kepada tiga kategori iaitu pada usia di bawah tiga tahun yang ditunjukkan dengan tangisan diikuti pukulan, jeritan atau menendang sesuatu bahkan dalam keadaan yang lebih teruk kanak-kanak ini biasanya akan melentur-lenturkan badan dan kepalanya ke tembok. Kategori kedua pada usia tiga hingga empat tahun apabila kanak-kanak pada usia begini menunjukkan ekspresi kemarahan yang diungkapkan dengan merengek, marah sehingga menghentak-hentakkan kakinya manakala terakhir pada usia lima tahun ke atas apabila mereka memarahi diri sendiri, memukul apa yang ada di sekeliling sehingga merosakkan barang yang ada di sekitarnya.
- Selalunya, kanak-kanak akan berhenti menangis apabila mereka mendapat apa yang dimahukan. Tingkah laku dan reaksi ibu bapa juga menyumbang kepada berapa kerap tantrum akan berlaku.
- Kanak-kanak akan lebih cenderung melakukan tantrum jika ibu bapa memberikan apa sahaja yang mereka mahukan atau jika ibu bapa memberi perhatian yang lebih kepada tingkah laku yang negatif.
- Biasanya tantrum berlaku apabila si kecil tidak mendapat apa yang mereka inginkan. Oleh itu dalam memenuhi keinginan mereka kemungkinan anak akan melakukan beberapa ekspresi kemarahan. Tantrum juga berpunca oleh ketidakmampuan dalam mengungkapkan keinginan diri sehingga mereka meminta ibu bapa memahaminya.
- Misalnya ketika anda membawa mereka menaiki kereta, dalam perjalanan jauh tiba-tiba si kecil menginginkan sesuatu yang sukar diperoleh. Ini menyebabkan mereka menangis kerana kemahuan tidak dipenuhi.
Untuk mengetahui penyebab tantrum, kita perlu mengetahui pola asuhan ibu bapa. Misalnya perilaku ibu bapa yang mungkin boleh ditiru anak dan komunikasi di antara ibu dan anak. Dalam hal ini ibu bapa akan menerapkan pola komunikasi yang baik dalam membentuk hubungan bersama anak bagi menghindari ekspresi tantrum pada anak. Lihat tantrum secara positif. Tantrum adalah peluang baik bagi kanak-kanak mempelajari bagaimana menguruskan kekecewaan dan kemarahan. Ia juga peluang yang baik bagi ibu bapa untuk mengajar anak mengenai kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi kekecewaan dan kemarahan.
APA YANG PERLU IBU BAPA DILAKUKAN JIKA TANTRUM BERLAKU?
- Apabila kanak-kanak melakukan tantrum di rumah, ibu bapa perlu bertenang. Bawa anak anda ke tempat selamat untuk dibiarkan bersendirian. Tinggalkan bilik, tutup pintu dan datang semula hanya jika anak kembali tenang.
- Jika anda bimbang untuk tinggalkan anak anda berseorangan, anda boleh duduk berhampiran dengannya tetapi jangan berikan sebarang tindak balas terhadapnya. Jangan pandang anak anda. Bila dia kembali tenang, bercakap dan berbincang dengan anak anda mengenai kelakuannya.
- Apa yang perlu ibu bapa dilakukan apabila tantrum berlaku di tempat awam? Bawa anak anda keluar dari kawasan awam sekiranya boleh. Bawa dia ke tempat yang ada privasi. Tempat terbaik adalah di dalam kereta, di tempat duduk bayi.
- Anda boleh berdiri berhampiran kereta atau duduk di dalam kereta tanpa memberi sebarang bertindak balas kepada kelakuan itu. Apabila tantrum reda, bercakap dengan anak anda mengenai kelakuannya.
- Jika tantrum berlaku di tempat yang anda tidak boleh bawa anak ke tempat yang lain seperti di dalam kapal terbang, pastikan anda tenang dan abaikan kelakuan anak anda. Sebaik sahaja anak anda tenang, bercakap dengannya mengenai kelakuannya.
- Kanak-kanak akan belajar cara yang lebih sihat untuk mengendalikan emosi. Bagaimanapun, jika tantrum berterusan, dia mungkin perlu bantuan untuk mengatasi kemarahan
- Tiada apa yang serius pada tantrum. Ia hanyalah satu ledakan emosi. Jika anda berasa marah melihat kelakuan anak, sebaiknya tinggalkan dia seketika namun pastikan dia dalam keadaan selamat.
- Biarkan anak (ikut keadaan). Seperti orang dewasa, setiap kanak-kanak kecil adalah berbeza. Ada yang sesuai ditinggalkan sebentar semasa tantrum, dan ada yang lebih perlu dipeluk erat untuk meredakan tekanan mereka.
- Peluk erat, berdoa dan ucap sayang. Sama ada kita memeluk selepas membiarkan anak atau terus memeluknya, jangan jadikan ia pelukan yang kosong. Bacalah doa yang sesuai seperti ayat-19 Surah asy-Syura adalah antara yang ringkas dan mudah dihafal. Kemudian ucapkanlah bahawa kita betul-betul sayangkan mereka.
- Kekal memeluk sehingga anak tenang. Tantrum sebenarnya menggunakan banyak tenaga dan kekuatan anak.
- Bantu dan galakkan anak untuk tenangkan diri sendiri. Minta anak duduk, atau berbaring, ambil nafas yang panjang dan pegang tangan.
- Jangan terlalu memberi apa yang anak mahukan daripada tantrum tadi terutama jika ia disebabkan keinginan mendapatkan permainan, makanan ringan dan seumpamanya kerana anak boleh memanipulasi ibu bapa pada masa akan datang.
- Terus beri apa yang diinginkan daripada tantrum tadi jika ia adalah keperluan seperti makanan, minuman dan rehat.
- Jangan sesekali meninggalkan atau menjauhi anak. Minda anak sedang berkecamuk, maka dia perlukan ketenangan.
- Kenal pasti apakah yang membuatkan minda anak berkecamuk. Secara teorinya, kita perlu kenal pasti deria mana yang terlalu banyak digunakan. Mungkin telinga yang terlalu banyak terima bunyi atau cahaya terlalu terang yang mengganggu penglihatannya atau imej yang mengganggunya
- Jauhkan anak daripada suasana yang boleh membuatkan anak tertekan. Bawa ke tempat yang boleh menenangkan anak.
- Minimumkan rangsangan deria. Senyapkan keadaan, kurangkan cahaya dan nyamankan suhu persekitaran (sekiranya panas).
- Berikan masa kepada anak untuk mencapai semula keadaan tenang secara semula jadi.
Sumber: Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak & Harian Metro