Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku. Ada bayi yang masih dalam hari tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.
Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat. Tangisan biasa selalunya ada kaitan dengan punca yang jelas seperti tercucuk pin pakaian, pakaian terlalu ketat menyebabkan bayi terasa tidak selesa, lampin basah, rasa terlalu panas, sakit perut, dahaga, lapar, rasa kesepian dan sebagainya. Sesetengah bayi atau anak kecil akan menangis apabila berubah tempat tidur, dari tempat gelap yang biasa dia tidur berpindah ke tempat terang atau sebaliknya. Anak-anak yang dibawa balik kampung menghadiri majlis kenduri mungkin akan menangis kerana suasana tempat tidur yang berubah atau sebaliknya.
GANGGUAN QARIN
Walaupun demikian, tangisan yang memanjang seperti yang berlaku semestinya mempunyai sebab atau punca yang jelas. Tidak semestinya kerana lapar, dahaga, kesejukan, panas atau kehilangan orang yang selama ini berada di sampingnya, iaitu si ibu. Ada orang yang mengaitkan keadaan sedemikian rupa, yang dikenali sebagai sawan tangis ini, akibat gangguan makhluk-makhluk halus, tidak kira sama ada gangguan tersebut akibat perbuatan makhluk halus yang dilibatkan dengan perbuatan manusia, ataupun akibat gangguan jin yang menggemari manusia, sejak seseorang itu dilahirkan, yang dikenali sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.
Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia. Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk membiasakan, iaitu untuk menggoda atau menyesatkan, sehingga manusia itu tunduk kepada nafsu, yang akhirnya melakukan dosa, tidak kira sama ada dosa itu dosa kecil berpanjangan atau dosa besar seperti membunuh, berzina, makan harta anak yatim dan sebagainya. Selain itu, qarin juga berusaha untuk mencederakan fizikal dan roh manusia secara bersendirian ataupun dengan perantaraan manusia, menyebabkan manusia menggunakan jin-jin untuk melakukan perbuatan tertentu seperti untuk menyakiti orang lain dan sebagainya. Apabila ini berlaku, maka dari sini terjadilah kegiatan sihir.
SAWAN TANGIS
Sawan tangis itu ada dua punca utama, iaitu bersifat fizikal seperti kerana lapar, haus dan sejuk, rasa hilang keselamatan diri seperti kehilangan orang yang selalu berada di sampingnya, biarpun buat sementara. Sakit seperti kembung perut atau selesema. Termasuk dalam kategori ini ialah sakit akibat jangkitan kuman dan juga kecacatan anggota seperti terhantuk, terjatuh dan sebagainya.
Punca kedua ialah akibat gangguan makhluk-makhluk halus. Allah menjadikan manusia itu daripada dua unsur utama, iaitu jasad dan roh. Islam mengajar agar anak yang baru dilahirkan diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kirinya. Sekiranya dilakukan demikian, insya-Allah, bayi berkenaan tidak akan diganggu oleh ummu`s-sibyan, iaitu sejenis makhluk jin yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk gangguan tidur pada waktu malam, yang akhirnya boleh menyebabkan demam panas ataupun sawan.
Keterangan ini membuktikan bahawa roh bayi atau anak kecil boleh terganggu akibat gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa tertentu anak tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya. Mungkin sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh mengganggu bayi menyebabkan dia tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya menyebabkan ibu dan juga bapanya menggelabah.
TANDA-TANDA BAYI DIGANGGU
Ada beberapa tanda lumrah yang boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis akibat gangguan seperti yang dijelaskan, bukan disebabkan akibat luaran.
- Tangisan biasa selalunya disertai dengan air mata. Keadaan ini jarang berlaku pada mereka yang menangis akibat gangguan, manakala suara tangisannya juga berlainan daripada tangisan biasa. Dalam keadaan tertentu tangisan ini mungkin disertai dengan air mata yang bersangatan.
- Kanak-kanak ini kadang-kadang berhenti menangis sebentar, kemudian menangis semula. Mata yang pejam ketika berhenti menangis itu akan melahirkan ombak pada kelopak mata, seolah-olah kedua-dua biji matanya itu sedang memerhatikan sesuatu di bahagian kanan dan kiri.
- Tangisan akibat gangguan selalunya mengeluarkan suara yang mendayu-dayu dan berpanjangan. Mata bayi kelihatan pejam. Tangisan terjadi seumpama dalam keadaan tidak sedarkan diri (tidur).
- Dahi atau bahagian tengah, antara dua alis kadang-kadang berkerut, seolah-olah ada sebiji mata di bahagian tersebut yang sedang memerhatikan sesuatu.
- Sering terjadi pada anak-anak kecil yang terganggu, mereka menangis dan menjerit dalam keadaan ketakutan dan menggigil seolah-olah disergah oleh sesuatu yang menakutkan. Anak ini setelah puas menangis, akan tidur sebentar, lalu menangis lagi dalam keadaan teresak-esak yang disertai dengan tarikan nafas yang tersekat-sekat.
CARA MENGATASI
Baca surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah an-Nas dan surah al-Falaq, kemudian hembuskan pada ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak tiga kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan sekali ataupun tiga kali.
Sumber : Internet