Adakah bayi Mama kerap kentut, tidak berak dan kadang-kadang menangis selepas minum susu?
Mungkin Mama tidak tahu ataupun perasan bahawa bayi Mama sebenarnya tidak sesuai, alergik susu ibu atau alahan laktos yang terkandung dalam susu formula yang diberikan selama ini.
Walaupun susu formula sangat menyenangkan, mama dan papa tetap perlu berhati-hati kerana si kecil mungkin mempunyai alahan tenusu (dairy allergy) yang berpunca daripada formula berkenaan!
8 Tanda Susu Formula Tidak Sesuai Dengan Bayi
Ketahui tanda-tanda susu formula yang diberi tidak sesuai dengan anak mama di bawah:
1) Si manja mengalami cirit-birit
Anak mama akan mengalami sembelit atau mengeluarkan najis cair berserta darah jika susu formula yang diberikan itu tidak sesuai dengannya. Jika hal ini dibiarkan, anak anda boleh kehilangan berat badan dan tumbesarannya juga boleh terbantut.
2) Perut kembung
Adakah anak anda sakit perut dan menangis setelah meminum susu lembu atau formula? Jika ya, apa yang Mama boleh lakukan ialah dengan sapukan ubat atau minyak angin untuk menghilangkan rasa ketidakselesaan itu. Tetapi jika ia berlarutan, sila berjumpa dengan doktor ya untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara yang lagi merisaukan.
3) Mengalami masalah pernafasan
Alahan bayi terhadap susu formula itu juga akan menjejaskan sistem pernafasannya. Ia akan menyebabkan lendir terbentuk pada saluran pernafasan dan ini yang akan menyebabkan bayi Mama mengeluarkan bunyi setiap kali bernafas.
Selain itu, bayi anda juga akan kerap bersin, gatal-gatal hidung, dan matanya menjadi kemerahan.
4) Timbul bintik merah pada kulit
Selalunya perkara ini berlaku apabila seseorang bayi itu terdedah pada suhu yang panas atau setelah dia berpeluh. Pada masa yang sama, ia juga boleh menjadi salah satu tanda bagi alahan dan menunjukkan susu formula itu juga tidak sesuai sebenarnya.
5) Badan bayi naik ruam
Satu lagi tanda susu formula tidak sesuai dengan bayi Mama adalah apabila timbulnya ruam-ruam merah.
Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh mendatangkan risiko kesihatan yang lebih membimbangkan seperti masalah kulit (ekzema) dan juga masalah pernafasan (asma).
6) Bayi muntah-muntah
Jika bayi anda muntah-muntah, jangan disangka ia terjadi kerana dia minum susu terlalu banyak, atau tidak menyukai rasanya tau.
Sebenarnya, ada kemungkinan bayi Mama rasa tidak selesa ataupun kerongkongnya terasa sesak ketika meminum susu formula yang diberi.
7) Hidung atau mata si manja mula berair
Selalunya, ramai orang yang mengalami alahan akan merasa gatal-gatal pada anggota badan mereka ataupun hidung dan mata mula berair. Untuk mengenalpasti jika anak anda melalui perkara yang sama, periksa sama ada hidung atau matanya berair atau tidak.
Ini mungkin merupakan antara tanda susu formula tidak sesuai dengan bayi Mama.
Jika keadaannya teruk, si manja akan ingin menggaru anggota badan berkenaan dengan jari-jari kecilnya kerana rasa gatal dan tidak selesa.
8) Bayi kerap batuk
Permulaannya, suara bayi anda akan berbunyi serak-serak, tetapi jika alahan ini bertambah teruk, dia akan mula kerap batuk setelah meminum susu formula yang tidak sesuai dengannya.
Sekiranya bayi Mama menunjukkan tanda-tanda di atas, Mama Siti nasihatkan Mama menghentikan pemberian susu formula tersebut dan tukar kepada susu yang lain.
Dapatkan nasihat doktor dan cuba antara susu formula terbaik untuk si manja seperti yang disenaraikan di sini.