Terasa senak di bahagian ari-ari dan rasa seperti ada benda nak terkeluar? Awas! Mungkin itu antara tanda rahim jatuh!
Bagi anda yang kurang arif dan belum berkahwin serta melahirkan anak, anda mesti tertanya-tanya kan apa maksudnya dan apakah tanda rahim jatuh ini?
Kebiasaannya masalah ini selalu terjadi pada wanita yang sudah melahirkan anak dan berdepan dengan masalah rahim.
Oleh itu, untuk anda yang baru pertama kali mendengarnya atau belum arif mengenai permasalahan wanita ini, jom ikuti perkongsian Mama Siti ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut lagi!
Apa Itu Rahim Jatuh dan Tanda Rahim Jatuh
Prolaps rahim atau rahim jatuh sering kali berlaku apabila otot lantai pelvis dan ligamen meregang dan melemah sehingga ia tidak dapat lagi memberikan sokongan yang mencukupi untuk rahim. Kesan daripada itu, rahim akan tergelincir ke dalam atau menonjol keluar dari faraj wanita.
Masalah rahim jatuh ini selalu terjadi kepada wanita selepas menopaus yang pernah melahirkan satu atau lebih kelahiran melalui faraj.
Disebabkan kelahiran ini, wanita akan menghadapi masalah otot, ligamen dan tisu penghubung yang lemah atau rosak di mana ia tidak dapat memberi sokongan akan membuatkan rahim jatuh ke dalam atau keluar dari faraj.
Otot, ligamen dan tisu di pelvis ini dipanggil otot lantai pelvis yang berfungsi untuk menyokong rahim, rektum, faraj, pundi kencing dan organ pelvis anda yang lain.
10 Tanda Rahim Jatuh
Prolaps rahim ringan adalah perkara biasa selepas anda bersalin yang biasanya tidak menyebabkan atau menunjukkan sebarang gejala atau simptom rahim jatuh.
Namun, bagi prolaps rahim sederhana hingga teruk anda akan mendapati beberapa gejala atau tanda peranakan jatuh seperti berikut:
- Terasa berat atau terasa seperti pelvis sedang ditarik.
- Melihat atau merasakan terdapat tisu yang membonjol keluar dari lubang faraj.
- Kerap kencing atau terasa seperti pundi kencing penuh sepanjang masa.
- Menghadapi masalah air kencing yang bocor atau turut dikenali sebagai inkontinensia.
- Mempunyai masalah untuk membuang air besar dan perlu menekan faraj menggunakan jari anda untuk membantu memudahkan proses membuang air besar.
- Perasaan seolah-olah anda sedang duduk di atas bola kecil.
- Terasa seperti terdapat tisu faraj yang bergesel pada pakaian.
- Terasa seperti terdapat tekanan atau ketidakselesaan di bahagian pelvis dan bahagian bawah belakang.
- Tidak selesa atau berasa sakit ketika melakukan hubungan seks.
- Gejala boleh menjadi lebih teruk apabila anda berdiri atau berjalan untuk jangka masa yang lama atau apabila anda batuk dan bersin. Dalam kedudukan ini, graviti memberi tekanan tambahan pada otot pelvis anda.
Jenis Keadaan Rahim Yang Jatuh
Prolaps rahim atau rahim jatuh ini dapat dilihat secara berperingkat, di mana setiap peringkat akan menunjukkan sejauh mana rahim anda telah menurun.
Malah, organ pelvis yang lain seperti pundi kencing atau usus juga mungkin akan turut prolaps ke dalam faraj anda.
Berikut merupakan empat kategori atau peringkat rahim jatuh iaitu:
- Peringkat I iaitu rahim berada di bahagian atas faraj.
- Peringkat II iaitu rahim telah turun hampir ke pembukaan faraj.
- Peringkat III iaitu rahim terkeluar dari faraj.
- Peringkat IV iaitu rahim sudah keluar sepenuhnya dari faraj.
Punca-punca Rahim Jatuh
Antara punca biasa yang menyebabkan rahim jatuh adalah kelahiran normal, obesiti, batuk yang teruk, meneran semasa membuang air besar serta perubahan hormon selepas anda mengalami menopause di mana semua perkara ini dapat merosakkan struktur sokongan organ pelvis anda.
Namun, masalah ini paling kerap terjadi kepada wanita selepas menopaus serta pernah bersalin normal lebih dari satu kali. Ia boleh dikategorikan sebagai ringan ataupun teruk bergantung kepada keadaan otot penyokong rahim anda.
Untuk prolaps yang tidak lengkap, antara tanda rahim jatuh adalah anda akan merasakan seperti terdapat ketulan atau benjolan dalam faraj, manakala untuk prolaps lengkap ataupun teruk, gejala atau tanda rahim jatuh adalah anda akan mendapati rahim sudah pun terkeluar dari faraj disebabkan oleh otot dan ligamen (otot lantai pelvis) yang lemah dan apabila struktur ini lemah, ia tidak dapat lagi menahan rahim anda dalam kedudukan yang betul dan mula mengendur.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot pelvis anda lemah, antaranya adalah:
- Kehilangan nada otot akibat menopaus
- Kehamilan
- Bersalin melalui faraj, terutama jika anda melahirkan bayi kembar atau bayi besar
- Obesiti
- Batuk atau batuk teruk yang dikaitkan dengan keadaan seperti bronkitis kronik atau asma
- Meneran dengan terlalu kuat
- Sembelit kronik
- Mengangkat berat secara berulang kali
- Tahap rendah hormon seks estrogen selepas menopaus
- Fibroid
- Dalam kes yang jarang berlaku, iaitu tumor pelvis
Rawatan Bagi Rahim Jatuh
Terdapat beberapa rawatan untuk prolaps rahim termasuklah pilihan pembedahan dan bukan pembedahan dan semua ini perlulah dirujuk berdasarkan kesihatan umum, keterukan keadaan dan juga rancangan untuk kehamilan pada masa hadapan. Antara rawatan yang boleh diberikan adalah seperti berikut:
#1 Senaman lantai pelvis
Prolaps rahim atau rahim jatuh pada keadaan di peringkat I dan II boleh dirawat melalui senaman otot lantai pelvis, namun perlu dilakukan dengan cara yang betul betul serta diamalkan untuk tempoh waktu yang lama bagi menguatkan kembali otot pelvis.
Berikut merupakan cara bagi mengenal pasti otot lantai pelvis anda, iaitu:
- Sebelum anda mula, arahkan perhatian anda kepada otot lantai pelvis anda dengan cuba mengendurkan otot perut, punggung dan otot kaki anda.
- Dalam masa yang sama jangan cuba untuk menahan nafas anda.
- Tekan dan angkat uretra, faraj dan dubur dan tahan ketegangan selama tiga saat jika boleh (tekan seperti mahu halang dari terkentut dan air kencing keluar).
- Lepaskan sepenuhnya kemudian tekan lagi secara perlahan-lahan dan angkat dan tahan sekuat yang anda boleh selama 5 hingga 10 saat dalam keadaan anda bernafas seperti biasa.
- Lepaskan lagi secara perlahan-lahan.
- Ulang sehingga 10 kali dengan cara yang sama iaitu cepat, pendek dan kuat dan berehat setiap sesi selama 5 hingga 10 saat.
#2 Pesari faraj
Pesari faraj merupakan sebuah peranti fleksibel yang dipasang ke dalam faraj bertujuan untuk menyokong rahim. Ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Anda akan diajar oleh pakar kesihatan untuk mengeluarkan dan memasukkan semula pesari tersebut sama seperti tampon.
Namun begitu, pesari ini tidak sesuai digunakan untuk semua orang dan anda memerlukan pemeriksaan secara berkala oleh pakar sakit puan.
#3 Pembedahan Tanpa Histerektomi
Bagi anda yang berada dalam kategori kes sederhana hingga teruk, anda mungkin akan dirawat melalui pembedahan laparoskopi iaitu sebuah prosedur yang bertujuan untuk meletakkan rahim anda kembali ke kedudukan normalnya.
Melalui pembedahan ini, instrumen akan dimasukkan melalui pusat. Rahim anda akan ditarik kembali ke kedudukannya yang betul dan disambungkan semula pada ligamen penyokongnya.
Pembedahan ini juga boleh dilakukan melalui faraj atau melalui perut bergantung pada teknik yang digunakan pakar. Namun, ia mungkin akan berulang jika punca rahim anda jatuh tidak ditangani segera.
#4 Pembedahan Histerektomi
Masalah rahim jatuh anda boleh dirawat dengan membuang rahim dalam prosedur pembedahan yang dipanggil histerektomi. Pemotongan (incision) akan dibuat dalam faraj anda (histerektomi faraj) atau melalui perut anda (histerektomi perut).
Histerektomi merupakan pembedahan yang besar, dan membuang rahim bermaksud anda tidak akan boleh hamil lagi.
Oleh itu, sangat wajar sebagai seorang wanita untuk anda ambil peduli tentang kesihatan diri anda untuk jangka masa yang panjang terutama berkaitan kesihatan organ penting bagi seorang wanita iaitu rahim.
Mama Siti berharap, dengan perkongsian mengenai tanda rahim jatuh ini, Mama semua mula kisah dan ambil tahu mengenai apakah tanda tanda peranakan jatuh dan rawatan yang boleh dilakukan untuk menangani masalah ini.
Jika didapati anda mempunyai tanda tanda peranakan jatuh atau simptom rahim jatuh seperti di atas, segeralah berjumpa dengan pakar uroginaekologi iaitu pakar sakit puan yang pakar dalam merawat masalah gangguan kencing wanita.
Mama juga boleh dapatkan pelbagai lagi tips dan info kesihatan menarik yang lain di SINI!