Satu-satunya penyakit barah yang hanya berlaku kepada perempuan ialah kanser ovari. Jika kanser payudara boleh terjadi kepada lelaki, kanser ovari pula berlaku pada individu yang mempunyai organ penghasilan benih dan hormon bagi wanita.
Persoalan tentang kanser ovari dan bagaimana ianya terjadi akan dikongsikan dalam artikel ini. Tambahan pula, sebagai langkah berjaga-jaga Mama Siti senaraikan tujuh tanda menghidap penyakit ini.
Apa Itu Kanser Ovari dan Bagaimana Boleh Terjadi?
Kanser ovari ialah barah yang wujud di organ yang menghasilkan benih dan hormon wanita. Penyakit ini sering dijumpai pada kelompok wanita yang berusia 40 hingga 60 tahun.
Pesakit hanya mengetahui mereka menderita kanser ovari apabila berada di peringkat kronik. Hal ini berlaku kerana ianya terletak jauh di dalam pelvis yang menyebabkan proses saringan tidak dapat dilakukan.
Perihal kanser masih kekal menjadi misteri sehingga ke hari ini. Pernah dulu, pengkaji dari Afrika Selatan mendapati penyakit ini berpunca daripada bedak talkum yang mengandungi asbestos.
Boleh jadi juga kanser ovari wujud kerana jangkitan virus yang mendorong mengganggu proses pembentukan sel dalam badan wanita.
Namun begitu, kajian terperinci masih diteruskan sehingga ke hari ini bagi mencari penyebab kanser ovari.
Nota: Wanita yang mempunyai sejarah keluarga dan berdarah jenis ‘A’ sering dikaitkan dengan kanser ovari.
7 Tanda Mama Menghidap Kanser Ovari!
#1 Tempoh Haid Berubah
Sebelum ini, tempoh haid bukanlah sesuatu yang diberikan perhatian terhadap kanser ovari. Namun kini, para saintis mencadangkan bahawa wanita muda yang mengalami pendarahan tidak teratur berisiko mendapat kanser ovari.
Perhatikan jika Mama mempunyai masalah-masalah berikut. Jika ada, Mama Siti nasihatkan agar Mama segera berjumpa dengan doktor sakit puan.
#2 Sakit Bahagian Pelvis dan Abdomen
Sekali pandang, tanda-tanda kanser ovari ni tak jauh beza dengan ‘period cramp’ atau senggugut. Disebabkan simptomnya yang hampir sama, ramai yang menganggap ianya sebagai perkara normal.
Ianya terjadi apabila tumor semakin membesar lalu menolak organ, saraf dan saluran darah di kawasan ovari.
#3 Kembung Perut
Sama seperti seorang perempuan yang sedang mengalami fasa pra menstruasi (PMS). Kembung perut juga merupakan salah satu dari tanda-tanda kanser ovari.
Perut Mama akan terasa sesak dan membesar seperti seolah-olah Mama baru selesai makan dalam kuantiti banyak. Sebenarnya perut kita hanya dipenuhi oleh udara disebabkan oleh tindak balas asites.
#4 Selera Makan Menurun
“Rasa lapar sangat, tapi makan sikit pun dah kenyang.”
Hati-hati kalau Mama mengalami situasi ini kerana perubahan selera makan juga salah satu daripada tanda kanser ovari.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pengumpulan cecair yang menyebabkan seseorang rasa cepat kenyang. Lebih parah lagi, kembung perut mencetuskan rasa loya yang sememangnya mengganggu selera makan.
#5 Kerap Kencing
Lokasi ovari yang berhampiran dengan pundi kencing menyebabkan seseorang sering rasa ingin kencing.
Walaupun sering ke tandas, jumlah cecair yang dikeluarkan hanyalah sedikit. Keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan pesakit kanser ovari.
#6 Masalah Pencernaan
Semakin besar saiz tumor, semakin besar nodus limfa. Akibatnya, terdapat pergerakan pada bahagian usus.
Disebabkan perkara itu, najis yang keluar menjadi lebih nipis. Apabila tanda ini berlaku, Mama perlu pastikan ianya tidak melarat. Jika tidak, Mama Siti nasihatkan agar segera pergi ke doktor.
#7 Berat Badan Menurun
Oleh kerana terdapatnya perubahan pengambilan makanan, berat badan juga turut mendapat impaknya.
Faktor lain penurunan berat badan adalah kerana Mama mungkin sedang mengalami sindrom cachexia kanser. Gejalanya termasuklah kehilangan jisim otot dan tulang secara drastik.
Kini persoalan tentang apa dan bagaimana sudah pun terjawab. Mama juga sekarang sudah mengetahui tanda-tanda kanser ovari.
Diharap dengan pembacaan ini menjadikan kita semakin cakna terhadap kesihatan diri.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Ada lebih banyak informasi kesihatan diri dan anak-anak di SINI!