Kita ni nak lah juga ada tanaman sendiri, tapi bila tanam atas tanah selalu tak menjadi. Walaupun dah guna biji benih yang berkualiti.
Mama Siti faham perasaan Mama tu. Jadi kali ini, kita akan mendalami tentang tanaman hidroponik dan jenis pokok yang cepat dituai.
Apakah Itu Tanaman Hidroponik?
Tanaman hidroponik ialah kaedah penanaman yang menggunakan air baja bernutrien tanpa menggunakan tanah.
Akar pokok direndamkan ke dalam air bersama-sama dengan bahan-bahan lain iaitu sabut kelapa, pasir, batu bata pecah dan habuk kayu.
Cara tanaman hidroponik diusahakan secara besar-besaran di kawasan yang kekurangan tanah. Kelebihannya, Mama boleh memanfaatkan balkoni atau kawasan lapang di rumah sebagai kebun mini dengan kaedah tanaman hidroponik.
10 Jenis Tanaman Hidroponik Yang Boleh Ditanam di Rumah
#1 Cili
Orang Melayu rata-ratanya akan sukakan masakan pedas. Apa kata kita cuba tanaman secara hidroponik untuk waktu menuai yang lebih cepat iaitu dalam masa sembilan minggu sahaja.
#2 Daun Pudina dan Daun Ketumbar
Dua jenis daun herba yang paling cepat rosak apabila dibeli di pasar. Harga pun bukan murah, bila nak pakai, rosak pula.
Mungkin dah sampai masa kita cuba tanaman hidroponik. Jimat ruang, jiwang wang!
#3 Daun Bawang
Daun bawang yang ditanaman di tanah memerlukan perhatian dan penjagaan rapi. Tetapi berbeza dengan cara hidroponik yang hanya perlu mendapat cahaya matahari 14 jam sehari dan air yang secukupnya.
Dalam 6 hingga 8 minggu, daun bawang sudah besar dan boleh mula dituai.
#4 Kangkung
Tahukah Mama? Kangkung diharamkan penanamannya di Amerika Syarikat kerana dikhuatiri akan mengganggu sistem perparitan dan menyerang tanaman lain.
Kangkung salah satu dari tanaman hidroponik yang cepat dituai dan mudah dijaga. Paling cepat ialah 21 hari dan paling lambat 30 hari.
#5 Sawi
Sawi boleh dibuat sup, tumis dan sebagai bahan masakan tambahan dalam mi dan nasi goreng.
Berbekalkan air dan baja, sawi boleh bertahan sepanjang tahun walaupun hujan lebat. Ia ialah sejenis sayuran yang mudah menyesuaikan diri dengan tumbuhan dan keadaan sekeliling.
#6 Pak Choy
Dari jauh, nampak macam sawi. Dah dekat rupanya pak choy. Sayur pak choy mengandungi banyak vitamin dan mineral.
Tanpa menggunakan tanah, Mama boleh dapatkan pak choy yang matang dalam tempoh maksimum 30 hari.
#7 Bayam
Sayuran bayam yang menggunakan cara hidroponik hanya memerlukan 26 hingga 29 hari sahaja untuk dipetik.
Namun begitu, kekurangannya ialah bayam akan menjadi pahit jika dibiarkan lebih dari tempoh tersebut.
#8 Daun Kesum
Sebagai peminat aroma nusantara, Mama Siti pasti tak akan lepaskan peluang tanam daun kesum menggunakan air.
Umum diketahui, daun kesum ialah jenis sayuran herba yang memerlukan banyak air untuk tumbuh subur. Kaedah hidroponik umpama jalan terbaik menanamnya.
#9 Salad
Dalam masa hanya 30 hingga 45 hari sahaja, salad sudah pun boleh dituai apabila menggunakan sistem hidroponik ini.
Jenis salad yang biasa ditanaman ialah salad hijau dan salad daun merah.
#10 Kacang Buncis
Pokok kekacang ialah tumbuhan yang menjalar dan berjuntai. Pendek kata, pokok kacang buncis tidak memerlukan banyak tanah yang menjadikannya sangat sesuai dengan tanaman hidroponik.
Cara Penjagaan Tanaman Hidroponik
- Cahaya
Cahaya ialah komponen utama dalam proses fotosintesis tumbuhan dalam semua jenis penanaman.
Bagi hidroponik, pokok mestilah menerima cahaya matahari cerah dan secara terus (direct sunlight) sekurang-kurangnya empat jam sehari.
- Air
Tanaman hidroponik wajib mendapat bekalan air dengan kadar yang secukupnya iaitu tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.
Lebih tepat lagi kandungan air ialah 80% hingga 90% memandangkan ia bergantung sepenuhnya kepada air.
- Udara
Pastikan kawasan penanaman mempunyai aliran udara yang baik supaya karbon dioksida dan oksigen dapat diterima dan dikeluarkan secara efisien.
Sekarang Mama dah tahu apa itu tanaman hidroponik dan jenis-jenis pokok yang cepat dituai. Mulakan dengan satu atau dua tumbuhan dahulu. Kemudian banyakkan lagi sayur-sayuran.
Dapatkan lebih banyak tips penanaman dan pokok hiasan di SINI!