Menurut data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih kurang 8,000 orang rakyat Malaysia mengalami masalah Talasemia ini, dan seramai 150-200 bayi yang lahir dengan kondisi ini.
Bagi anda yang sedang merancang hari perkahwinan yang bakal tiba, pasti anda tertanya-tanya apakah itu talasemia. Mana taknya, selain daripada ujian saringan HIV, bakal pengantin digalakkan untuk melakukan ujian saringan Talasemia.
Apakah itu Talasemia dan Bagaimana ia Berjangkit?
Setiap manusia memerlukan hemoglobin yang mencukupi dan berkualiti untuk kelangsungan hidup. Hemoglobin adalah protein yang ada di dalam sel darah merah yang membawa bekalan oksigen untuk seluruh badan. Penghasilan hemoglobin dikawal oleh gen di dalam badan.
Talasemia adalah kondisi dimana seseorang mempunyai hemoglobin yang tidak mencukupi untuk keperluan badan. Ia adalah penyakit genetik yang berbahaya disebabkan oleh mutasi sel DNA yang tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang berkualiti dan mencukupi. Ini akan menyebabkan badan sentiasa kekurangan darah.
Ianya tidak boleh dijangkiti melalui pemindahan darah, udara dan air atau melalui sentuhan fizikal dan juga hubungan seksual ataupun oleh kekurangan zat makanan dan masalah kesihatan.
Jenis-jenis Talasemia
Secara umumnya, ada dua jenis Talasemia iaitu Talasemia major dan Talasemia minor. Talasemia major adalah mereka yang memang pesakit Talasemia, manakalah Talasemia minor adalah mereka yang menjadi pembawa gen Talasemia tetapi tidak bergejala dan kelihatan sihat.
Jika salah seorang ibu bapa adalah pembawa Talasemia, peluang anak untuk mewarisi gen Talasemia dan mungkin juga mendapat Talasemia major ialah sebanyak 50%. Jika kedua-dua ibu bapa adalah pembawa gen Talasemia, anak yang dilahirkan berisiko tinggi untuk mewarisi gen itu.
Simptom-simptom Talasemia
Kebanyakan bayi yang dilahirkan dengan Talasemia akan mengalami masalah kesihatan beberapa bulan selepas kelahiran. Antara simptom dan masalah yang berkaitan dengan Talasemia ini termasuklah:
- Anemia: Pesakit akan rasa penat, lemah, nafas yang pendek, berdebar dan kadar degupan jantung yang tidak normal. Penyakit anemia ini juga menjadikan pesakit sentiasa kelihatan pucat lesi kerana kekurangan hemoglobin.
- Terlalu banyak zat besi di dalam badan: Mereka yang dijangkiti Talasemia perlu menjalankan pemindahan darah untuk menambah jumlah hemoglobin di dalam badan. Pemindahan darah ini boleh memberikan masalah kepada jantung, hati, dan kandungan hormon di dalam badan jika tidak dipantau dengan rapi.
- Kadar pertumbuhan yang perlahan: Sesetengah penghidap Talasemia ini mengalami kadar pertumbuhan yang perlahan berbanding orang awam yang seusia dengan mereka. Mereka juga cenderung untuk mengalami osteoporosis dan masalah kemandulan.
Bagi kanak-kanak yang mengalami talasemia, antara simptom-simptom yang ada pada mereka ialah:
- Kelihatan normal semasa kelahiran dan secara perlahan-lahan, dia akan kelihatan pucat apabila usia meningkat.
- Kanak-kanak kelihatan letih dan gelisah. Kekurangan darah (anemia) yang teruk boleh mengakibatkan sesak nafas.
- Kulit, mata dan mukosa kelihatan kekuningan (jaundis).
- Kurang selera makan.
- Kembung perut disebabkan oleh pembengkakan hati dan limpa.
- Perubahan pada pembentukan tulang muka.
Rawatan untuk Talasemia
Mereka yang menghidap Talasemia bukanlah bermakna tidak mempunyai harapan untuk hidup seperti orang biasa. Cuma, mereka memerlukan penjagaan dan pemantauan rapi untuk kelangsungan hidup. Talasemia cenderung untuk menyebabkan masalah jantung seawal usia 30 tahun.
Antara rawatan yang boleh dilakukan ke atas kondisi Talasemia ini termasuklah:
- Pemindahan darah
Pemindahan darah yang kerap dapat merawat dan menghalang penyakit anaemia. Untuk kes-kes yang berat, pesakit dikehendaki melakukan pemindahan darah sebulan sekali.
- Terapi chelation
Rawatan ini adalah rawatan perubatan untuk membuang lebihan zat besi di dalam badan pesakit. Pesakit yang kerap menjalani pemindahan darah akan mengalami zat besi yang berlebih dan terapi chelation ini adalah jalan penyelesaian untuk kesan sampingan itu.
- Amalan hidup sihat
Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, mengambil pemakanan sihat, kerap bersenam, tidak merokok dan minum alkohol dapat membantu mengurangkan kesan sampingan kondisi Talasemia ini.
- Pemindahan sel stem atau tulang belakang
Prosedur pemindahan tulang belakang selalunya dapat menyelesaikan masalah Talasemia untuk seseorang. Namun demikian, atas faktor risiko yang tinggi, ianya jarang menjadi pilihan pesakit, mahupun pakar perubatan.
- Splenectomy atau pembuangan limpa juga mungkin perlu dilakukan dalam keadaan tertentu.
Talasemia dan Perkahwinan
Talasemia boleh dielakkan dengan pengesanan awal pembawa serta mengelakkan perkahwinan antara pembawa Talasemia.
Namun, sebagai manusia, kita sendiri akui yang cinta itu buta. Kita tidak boleh menghalang sesiapa untuk berkahwin dengan mana-mana jodoh yang memang sudah ditakdirkan untuknya.
Maka, dengan mendalami masalah kondisi Talasemia, cara-cara untuk menghadapinya, dan mengambilkira setiap aspek dan risiko, berilah sokongan seadanya untuk orang tercinta. Ingatlah, ujian ini bukan sahaja terhadap pesakit Talasemia, malah, ia juga menjadi ujian untuk kita supaya menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan sentiasa berserah dan berharap kepada keajaiban dan kebaikanNya.