KelabMama

Take Note Mama! Murid Darjah Dua Hilang Penglihatan Akibat Processed Food

kesan kurang vitamin A

Menerusi satu perkongsian di Facebook Dr. Erna Nadia, Dr. Erna ada kongsikan tentang insiden yang melibatkan seorang murid darjah dua hilang penglihatan sepenuhnya (total blindness) pada kedua-dua mata akibat terlalu kerap mengambil makanan terproses!

Hasil pemeriksaan lanjut yang mengambil masa beberapa hari akhirnya menunjukkan punca utamanya iaitu kekurangan Vitamin A yang teruk (Vitamin A Deficiency).

Apabila dietitian menjalankan siasatan, didapati anak ini hanya makan makanan terproses seperti nugget, sosej, dan biskut sejak bayi sehingga ke usia darjah dua.

Menurut perkongsian Dr. Erna Nadia, kejadian ini menjadi pengajaran besar kepada semua Mama Papa. Makanan terproses tidak memberikan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh, malah penggunaannya yang berlebihan boleh membawa kepada kesan buruk seperti kekurangan zat.

Tanda awal kekurangan Vitamin A termasuk mata kering, penglihatan kabur terutama waktu malam, dan akhirnya, boleh membawa kepada buta kekal.

Sebagai Mama Papa, kita perlu memastikan anak-anak mendapat makanan yang berkhasiat dan bernutrisi untuk mereka membesar dengan baik.

Mama Siti faham, sebagai Mama Papa yang bekerja, sememangnya kita sering sibuk. Namun, Mama Papa masih boleh menyediakan hidangan ringkas seperti nasi ayam, bihun sup, atau nasi dengan telur mata dan kicap, yang jauh lebih baik daripada bergantung sepenuhnya pada makanan terproses.

Makanan sebenar lebih bernutrisi berbanding vitamin atau suplemen.

Antara makanan yang kaya dengan Vitamin A adalah bayam, lobak merah, mangga, betik, aprikot, ikan, ayam, telur kuning, dan keledek. Semua ini bukan sahaja sedap tetapi juga menyumbang kepada kesihatan tubuh badan.

Simptom Kekurangan Vitamin A

Simptom awal kekurangan Vitamin A pada kanak-kanak seperti:

  1. Kesukaran Melihat dalam Cahaya Malap (Night Blindness): kanak-kanak mungkin sukar melihat dengan jelas dalam keadaan gelap atau kurang cahaya.
  2. Mata Kering (Xerophthalmia): permukaan mata menjadi kering, menyebabkan rasa pedih dan tidak selesa.
  3. Tompok Kelabu atau Putih pada Mata (Bitot’s Spots): tanda ini muncul di bahagian putih mata (konjunktiva) akibat kekurangan Vitamin A.
  4. Penglihatan Kabur: penglihatan menjadi kabur disebabkan masalah pada kornea.
  5. Keletihan dan Lemah Badan: kanak-kanak kelihatan lesu kerana kekurangan Vitamin A turut menjejaskan imuniti.
  6. Kulit Kering atau Bersisik: kulit menjadi kasar, kering, atau bersisik akibat masalah regenerasi sel kulit.
  7. Sistem Imun Lemah: kanak-kanak mudah terkena jangkitan seperti batuk, selesema, atau penyakit lain.

Kejadian murid darjah dua hilang penglihatan ini memberi pelajaran kepada kita sebagai Mama Papa untuk memberi keutamaan kepada pemakanan anak-anak kerana kesan kekurangan nutrisi seperti ini sangat mendalam, bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada keluarga sendiri.

Semoga Mama Papa semua lebih prihatin terhadap dalam pilihan makanan untuk anak-anak.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Jom cuba resipi snek homemade untuk anak-anak Mama. Klik di SINI.