KelabMama

Takbir Raya Haji – Ketahui Lafaz Takbir & Kepentingannya Untuk Umat Islam

takbir raya berjemaah

Rasanya tak lengkap sambutan Hari Raya Aidiladha kita tahun ini tanpa laungan takbir. Tahukah anda, takbir raya di Malaysia antara yang unik di dunia. Ini kerana di negara kita, alunan takbirnya begitu syahdu dan mendayu-dayu. 

Dipendekkan cerita, ianya disebabkan oleh pengaruh tarannum jiharkah yang telah berada di Kepulauan Melayu sejak abad ke tujuh lagi.

Kali ini, Mama Siti nak kongsikan tentang perbezaan takbir raya, masa untuk bertakbir serta lafaz lengkap takbir Hari Raya Aidiladha.

Jenis Takbir Hari Raya

Kredit gambar: Media Prima

Takbir Mursal atau Takbir Mutlak (Hari Raya Aidilfitri)

Bermula dari tenggelamnya matahari pada malam Hari Raya sehingga takbiratul ihram Solat Hari Raya. Umat Islam disunatkan bertakbir sepanjang tempoh tersebut. 

Ini bermakna sepanjang tempoh dari waktu senja hingga Solat Hari Raya, kita disarankan untuk bertakbir.

Takbir Muqayyad (Hari Raya Aidiladha)

Laungan takbir muqayyad tertakluk kepada waktu solat fardhu. Kita disunatkan bertakbir setiap kali selepas selesai solat fardhu. Takbir ini hanya berlaku pada Hari Raya Aidiladha. 

Dalam kata lain, hanya pada Hari Raya Haji sahaja kita disunatkan bertakbir setiap kali selepas solat. 

Tempoh Masa Bertakbir Raya Haji

Kredit gambar: Astro Awani

Dari waktu subuh Hari Arafah, 9 Zulhijjah hingga tamat waktu asar 13 Zulhijjah. Bagi yang tidak mengerjakan haji, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang tempoh tersebut. Manakala yang mengerjakan haji, waktu bertakbir ialah pada waktu zuhur 10 Zulhijjah hingga subuh 13 Zulhijjah. 

Mama Siti tuliskan secara ringkas supaya Mama senang faham ya.

Ianya berpadanan dengan nukilan kitab oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, seorang tokoh ulama fikah Mazhab Syafie:

“Takbir (bagi orang) yang tiada mengerjakan pekerjaan haji mula daripada subuh Hari Arafah iaitu yang kesembilan (Zulhijjah) hingga asar kesudahan Hari Tasyrik”

Lafaz Takbir Raya Haji

Kredit gambar: JAKIM

Lafaz Takbir Rumi

‘Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar’
‘Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar’
‘Allaahu Akbar Walillaahil Hamd’ 
‘Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu Akbar..! 

‘Allahu Akbar Kabiiraa’
‘Walhamdulillaahi Katsiiraa’
‘WasubhaaNallaahi Bukrataw Wa AsiiLaa’
‘Laa iLaaha illallallahu’
‘Walaa Na’budu ilLaa iyyaahu’
‘MukhLishiina LahudDiin’
‘Walau Karihal Kaafiruun’

‘Laa ilaaha illallallahu Wahdah’
‘Sadaqa Wa’dah’
‘Wanashara ‘Abdah’
‘Wa A’azza Jundahu’
‘Wahazamal Ahzaaba Wahdah’
‘Laa ilaaha illallaahu Wallaahu Akbar’
‘Allaahu Akbar Walillaahil Hamd’
‘Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar’
‘Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar’
‘Allaahu Akbar Walillaahil Hamd’ 

Kepentingan Melaungkan Takbir Hari Raya

Kredit gambar: Freepik
  1. Menyeru seruan Nabi SAW 

Dari hadis riwayat Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda; 

“Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir” (HR At-Tabarani)

Dari hadis riwayat Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Hiasilah kedua hari raya kamu dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis” (Riwayat Abu Nuaim)

  1. Menzahirkan keagungan Allah

Bait-bait laungan takbir membawa makna kekuasaan Allah. Sesungguhnya, tuhan hanya satu iaitu Allah dan Dia memiliki segala kekuasaan di dunia dan akhirat.

  1. Lambang penyatuan umat Islam. Laungan takbir secara berjemaah sebagai lambang umat Islam bersatu menegakkan syiar Islam dan mengagungkan Allah SWT.

Kesimpulannya, istilah bagi takbir Hari Raya Haji Korban ialah takbir muqayyad kerana terkait dengan waktu solat fardhu. Tempoh masa untuk bertakbir bagi orang yang sedang melakukan haji dan orang yang tidak melakukan haji juga berbeza. 

Namun begitu, tujuan utama kita bertakbir ialah untuk menghiasi hari raya serta mengakui kebesaran kuasa Allah SWT. 

Seruan takbir hendaklah kita raikan dengan penuh semangat. Bukan hanya dilafazkan tetapi juga agar laungannya meresap ke dalam jiwa.   Jom kita baca cara solat aidiladha pula!