Kenapa ni, pagi-pagi je rasa nak muntah, rasa mual. Takkan mengandung kot…
Mama pernah rasa macam tu? Bukan Mama je, mungkin yang belum berkahwin pun sering alami perkara yang sama. Orang sekeliling kalau tengok keadaan kita macam tu pun terus cakap kita ni mengandung. Ehh, tak semestinya tau!
JOM BACA: Langkah-langkah Kehamilan yang Sihat.
Bukan wanita hamil sahaja!
Biasalah masyarakat kita, pantang dengar orang muntah, mual atau pening kepala pasti akan dituduh mengandung. Awak-awak sekalian, muntah dan sakit loya bukan sahaja terkena pada orang yang berbadan dua. Anak gadis sedang datang bulan pun boleh alami sakit yang sama – loya, pening kepala, muntah-muntah.
Kenapa berlakunya ‘Morning Sickness’?
Iya, betul morning sickness sering berlaku untuk mereka yang mengandung, terutamanya diawal kehamilan. Tapi dalam hal ini, morning sickness yang dimaksudkan ialah rasa tidak sedap badan dan penghadaman pada waktu pagi. Contohnya, anda sering rasa mual sejurus bangun tidur.
Tapi kenapa ya?
Di bawah antara sebab-sebab mengapa perkara ini berlaku kepada anda:
- Waktu dan kitaran tidur
Apa yang anda alami sebenarnya berkaitan dengan waktu dan kitaran tidur anda. Mungkin anda terlalu letih hingga tidak dapat tidur yang nyenyak dan mencukupi, lalu tubuh badan anda rasa lemah dan tidak segar untuk bekerja. Sebab itu rehat yang mencukupi dan tidur yang berkualiti sangat penting untuk kesihatan kita.
- Pemakanan yang tidak seimbang
Selain rehat dan tidur, gaya pemakanan yang tidak teratur juga mendorong kepada berlakunya ‘morning sickness’. Ramai dalam kalangan kita yang makan secara tidak teratur dan seimbang. Kita sering makan lewat malam, makan satu jam sebelum tidur, malah makanan yang diambil juga makanan yang berat. Tak baik tau sebenarnya! Oleh itu, anda harus sentiasa memantau jadual pemakanan anda dan elakkan mengambil makanan berat sebelum masuk waktu tidur.
- Panik
Mereka yang mudah rasa panik atau cepat gementar juga sering mengalami mual-mual, pening kepala dan sebagainya. Mungkin ianya nampak normal, tetapi anda perlu ambil berat jika ia berlarutan. Takut ia boleh mengganggu kesihatan kita di masa hadapan.
Oleh itu, ‘morning sickness’ ni bukan hanya terjadi pada ibu-ibu hamil je tau. Si gadis cantik molek yang belum berkahwin pun boleh mengalami sakit yang sama. Jangan mudah salah faham ye Mama!