KelabMama

Tahnik Bayi Baru Lahir: Apa, Bila & Kenapa Ia Digalakkan Dalam Islam

Tahnik boleh dilakukan oleh ahli keluarga bayi atau orang-orang alim yang mempunyai ilmu pengetahuan agama Islam yang benar.

Semua hadis dan dalil yang Mama Siti sertakan dalam artikel ini adalah berdasarkan rujukan dari portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Perhatikan satu persatu perkara tentang tahnik bayi yang Mama perlu tahu sebelum mentahnik bayi dalam artikel ini. 

Apa Itu Tahnik Bayi?

Kredit gambar: iStock

Amalan tahnik bayi ialah sunah dari baginda Nabi Muhammad SAW kepada Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA semasa dia masih bayi.

Daripada Anas bin Malik RA, katanya:

ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ‏”‏ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ‏”‏ ‏.‏ فَقُلْتُ نَعَمْ ‏.‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ ‏”‏ ‏.‏ وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ

Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”

Riwayat Muslim (2144) dan yang lainnya.

Buah tamar yang dikunyah oleh seseorang tertentu kemudian digosokkan ke lelangit di dalam mulut bayi yang ditahnikkan. 

Hadis Tentang Tahnik

Kredit gambar: Masjid Wilayah

Ada beberapa dalil yang menjelaskan perihal tahnik bayi ini. Bermula dari sunah Rasullulah SAW, hukum dan umur bayi ketika ditahnik

Hadis Rasullulah SAW Tahnik Bayi

Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa beliau berkata:

ولد لي غلام فأتيت به النبي صلى الله عليه وسلم فسماه إبراهيم فحنكه بتمرة ودعا له بالبركة

Maksudnya: Telah lahir bagiku seorang anak lelaki, maka aku datang kepada Rasulullah SAW dan baginda SAW menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji tamat serta mendoakannya dengan keberkatan.

Hadis riwayat Bukhari

Dalil Hukum Tahnik 

Kredit gambar: pa-baubau.go.id

Imam al-Nawawi menjelaskan;

“Adapun berkaitan hukum-hakam yang terdapat di dalam hadis ini, terdapatnya hukum sunat mentahnikkan anak yang baru lahir. Juga berkaitan keharusan mengambil berkat daripada orang yang soleh dan baik. Di dalam hadis itu juga terdapat hukum sunatnya membawa kanak-kanak menemui orang yang soleh untuk bertabarruk dengan mereka.

Rujuk Syarh Sahih Muslim

Hadis Had Umur Tahnik Bayi

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam sebuah syarahan hadis menyebutkan bahawa ia menunjukkan bahawa Abu Musa RA bersegera untuk membawa bayi yang dilahirkan kepada Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW mentahnikkannya selepas diberikan nama. Ini bermakna Rasulullah SAW mempercepat perkara demikian seperti menamakan bayi (dan tahnik) pada hari pertama ia dilahirkan dan tidak perlu menunggu sehingga ke hari ketujuh.

Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9:502

Hukum Tahnik

Kredit gambar: muslimbabynames.org

“Salahkah kalau saya tak buat Mama Siti?”

Soalan yang bagus! Dalam era teknologi maklumat internet ini semua orang pun nak bagi pendapat mereka. 

Ada pula yang berpegang pada individu tertentu untuk menentukan hukum dan menyalahkan orang lain yang tidak sependapat. 

Hukum mentahnik bayi ialah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah dan pendapat Imam Nawawi. 

Saidatina Aisyah RA berkata;

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ فَأُتِىَ بِصَبِىٍّ فَبَالَ عَلَيْهِ فَدَعَا بِمَاءٍ فَأَتْبَعَهُ بَوْلَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah didatangi dengan kanak-kanak. Lalu Baginda memberkati mereka dan mentahnikkan mereka. Kemudian Baginda didatangi dengan seorang kanak-kanak lalu kanak-kanak itu kencing di atas Baginda. Lantas Baginda meminta air dan memercikkan air tersebut ke atas kencing itu. Baginda tidak membasuhnya,”

Riwayat Muslim

Jika Mama melakukan tahnik kepada bayi maka akan beroleh kebaikan kerana meneruskan amalan Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, jika tidak melakukannya pula tidak berdosa. 

Umur Sepatutnya Tahnik Bayi

Kredit gambar: Suara.com

Usia bayi yang disarankan ialah ketika mereka baru lahir tanpa menunggu hari ketujuh atau ketika memberikan nama. 

Akan tetapi jika keadaan tidak mengizinkan, perkara itu dimaafkan. Contoh halangan yang mungkin berlaku ialah bayi ditahan di Unit rawatan rapi neonatal (NICU) maka Mama boleh menangguhkan apabila bayi benar-benar sihat.  

Cara-cara Tahnik Bayi Yang Betul

  1. Sediakan kurma ajwa dalam bekas bersih.
  2. Istighfar, memohon ampun kepada Allah SWT. Bertujuan untuk membersihkan hati dan agar mustajab doa.
  3. Membaca al-Fatihah.
  4. Membaca ayat Kursi.
  5. Teruskan dengan membaca dua jenis selawat iaitu selawat Syifaa dan selawat Kamilah.
  6. Membaca tiga (3) Qul.
  7. Kunyah kurma hingga sedikit lumat. Gunakan mana-mana jari yang sesuai dengan saiz mulut bayi dan masukkan di lelangitnya. 
  8. Ketika jari masih di dalam mulut, baca surah ali- Imran, ayat 33 hingga 37
  9. Baca doa mengikut hajat si pembaca untuk bayi tersebut. 
Kredit gambar: Pyfa Health

Nak tahnik bayi tak semestinya kena tunggu ustaz yang buatkan, ayah bayi pun boleh juga

Perkara paling penting ialah kaedah mentahnik bayi. Diharapkan artikel ini menjelaskan kebuntuan yang berada di minda Mama selama ini. 


Ada lebih banyak informasi keagamaan dari perspektif agama di SINI!