KelabMama

Cabaran & Tekanan Seorang Suri Rumah Yang Ramai Terlepas Pandang, Termasuk Suami Sendiri

Pada masa kini, menjadi seorang suri rumah sepenuh masa bukanlah sesuatu yang menggembirakan walaupun pada mata kasar orang ia menyeronokkan.

Ini adalah disebabkan persepsi mereka yang menganggap suri rumah tidak perlu keluar seawal pagi untuk pergi bekerja, tidak perlu menghadap jalan yang sesak, tidak perlu memikirkan kerja di pejabat, tidak perlu menghadap bos yang banyak kerenah dan lain-lain lagi.

Namun, hakikatnya menjadi seorang suri rumah itu tidak seindah seperti yang dilihat. Mama Siti pasti, Mama yang suri rumah mesti sangat memahami keadaan ini bukan?

Anggapan kebanyakan orang apabila menjadi suri rumah sepenuh masa banyak masa akan terluang di rumah tanpa melakukan apa-apa, tidak merasa letih, tiada tekanan dan sebagainya adalah jauh meleset sekali.

Cabaran Menjadi Suri Rumah

Sebenarnya, menjadi seorang suri rumah tidak semudah yang dianggap ramai orang. Mereka yang bergelar suri rumah merasakan tekanan dan cabaran yang mungkin lebih hebat dari orang yang bekerja.

Buat mereka yang lain, Mama Siti nak kongsikan antara cabaran menjadi seorang suri rumah yang tak ramai orang fahami:

#1. Cabaran dari segi emosi

Ini berlaku apabila suri rumah merasa rendah diri apabila berada dalam kalangan orang-orang yang bekerja terutamanya. Mereka akan membanding-bandingkan diri mereka dengan orang yang mempunyai kerjaya dari segi berpakaian, mempunyai duit sendiri, gaya hidup dan lain-lain.

Mereka juga akan merasa rendah diri sekiranya suri rumah tersebut mempunyai tahap pendidikan yang tinggi seperti diploma, ijazah, master mahupun PHD.

Berpelajaran tinggi tetapi tidak bekerja dan menghabiskan masa menguruskan rumah tangga. Ini semua akan mempengaruhi emosi suri rumah. Jadi, sebab tu Mama tak boleh semudah itu ‘mencebik’ atau mengata mereka yang housewives ni tau!

#2. Tiada masa untuk diri sendiri (Me time)

Selain itu, cabaran yang sangat sinonim dengan isteri yangbergelar suri rumah adalah tiada masa untuk diri sendiri atau dengan kata lain tiada “me time”.

Tugas seorang suri rumah itu tidak terhad kepada memasak dan mengemas semata-mata tetapi mempunyai tugas lain yang mungkin ramai orang di luar sana tidak tahu.

Perlu menguruskan anak-anak, mengemas yang mungkin tidak akan pernah habis kerana akan disepahkan semula, memasak, bermain dengan anak-anak dan sebagainya.

Apabila bergelar seorang suri rumah, segala minat dan aktiviti kegemaran terpaksa dilupakan dek kerana kesibukan dalam menguruskan rumah tangga.

#3. Kepenatan mental dan fizikal

Merujuk kepada cabaran di atas, apabila tiada masa untuk diri sendiri ini akan membawa kepada kepenatan mental dan fizikal.

Kepenatan dari segi fizikal memang tidak dinafikan, apatah lagi apabila perlu menguruskan rumah tangga yang tidak akan habis tugasnya.

Manakala kepenatan dari segi mental pula apabila terpaksa berhadapan dengan kerenah anak-anak. Melayan kerenah anak-anak sememangnya amat meletihkan apatah lagi sekiranya anak-anak sedang membesar dan pastinya ia menguji tahap kesabaran seseorang. Di sini, kita akan lihat mental seorang suri rumah akan benar-benar teruji.

#4. Cabaran dari segi ekonomi

Sekiranya sebelum berkahwin atau sebelum bergelar suri rumah tangga sepenuh masa, Mama mempunyai wang sendiri hasil dari pekerjaan dan Mama boleh lakukan banyak perkara dengan duit tersebut.

Namun, berbeza selepas memegang jawatan suri rumah tangga sepenuh masa ini.

Sudah pastilah Mama tidak mempunyai wang sendiri untuk berbelanja seperti sebelumnya. Mereka tidak lagi dapat membeli barang yang disukai sesuka hati, tidak dapat membantu ahli keluarga (ibu, bapa dan adik beradik) dari segi kewangan, tiada wang simpanan sendiri sebagai “backup” dan lain-lain.

#5. Tekanan dari masyarakat

Seringkali kita mendengar cakap-cakap masyarakat sekeliling terhadap isteri yang bergelar suri rumah. Kata-kata seperti “belajar tinggi-tinggi tapi duduk rumah”, “duduk rumah mengharapkan dan menghabiskan duit suami sahaja”, “malas bekerja” dan banyak lagi kata-kata yang mengguris hati.

Masyarakat kita sememangnya jaguh dalam berkata-kata dan menuding jari tanpa mengetahui kisah di sebalik hidup seseorang. Pandangan yang sebeginilah yang membuatkan mereka sentiasa merasa kerdil apabila berada dalam kalangan masyarakat dan sekaligus akan memberi kesan kepada emosi suri rumah.

Langkah-langkah Untuk Mengurangkan Tekanan Yang Dihadapi Seorang Suri Rumah

#1. Dapatkan sistem sokongan

Sistem sokongan bermaksud bantuan dari ahli keluarga yang terdekat seperti suami dan ahli keluarga terdekat. Berbincanglah secara baik dengan suami atau ahli keluarga terdekat sekiranya Mama merasakan tekanan yang terlalu tinggi.

Dapatkan bantuan mereka sekiranya Mama tidak mampu melakukan tugas secara berseorangan. Mama juga mungkin boleh berbincang dengan suami untuk membenarkan Mama “ber-me time” bersama rakan-rakan sementara suami menguruskan rumah dan anak-anak hanya untuk sehari.

#2. Cuba cari masa untuk beriadah dan bersenam

Mengikut kajian, bersenam terbukti dapat membantu ramai orang untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Jadi, carilah masa untuk melakukan aktiviti riadah dan bersenam.

Bukan sahaja dapat melepaskan tekanan yang dihadapi malah dapat meningkatkan stamina dan kesihatan tubuh badan.

Mungkin Mama boleh cuba mengajak suami dan anak-anak menjadikan aktiviti riadah dan bersenam di waktu petang sebagai aktiviti harian sekeluarga – 2 dalam 1, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan dapat lepaskan tekanan selepas seharian penat menguruskan rumah tangga.

#3. Mendengar muzik atau lagu kegemaran

Bagi sesetengah orang, mereka dapat melepaskan rasa tekanan yang dihadapi dengan melayan atau mendengar lagu dan muzik kegemaran mereka. Mama boleh memasang muzik atau lagu kegemaran sambil membuat kerja rumah.

Ini akan membantu Mama untuk merasa lebih santai dan bersemangat ketika menguruskan rumah tangga. Lebih baik sekiranya Mama dapat menikmati lagu dan muzik kegemaran sekiranya mempunyai sedikit masa terluang.

#4. Mewujudkan satu buku catatan atau diari

Elakkan untuk memendam rasa dan tekanan yang dihadapi kerana dikhuatiri akan membawa kepada sakit berkaitan mental yang lain.

Sekiranya Mama tidak suka berkongsi dengan orang lain, Mama boleh luahkan apa yang dirasai dan dihadapi dengan menulis di dalam buku catatan atau diari.

Menulis segala isi hati di dalam diari ini akan membantu mengurangkan segala kekusutan dan keserabutan yang dihadapi.

#5. Cipta ruangan peribadi sendiri atau me time

Berbincanglah dengan pasangan untuk mewujudkan ruangan peribadi Mama sendiri atau “me time” sebulan sekali di mana Mama dapat melakukan apa sahaja yang Mama suka pada masa tersebut.

Contohnya, Mama keluar bersama rakan-rakan untuk melakukan aktiviti yang Mama sukai atau suami keluar membawa anak-anak manakala Mama tinggal bersendirian di rumah dan melakukan perkara yang disukai secara bersendirian seperti tidur atau melayan filem kegemaran.

Bantuan & Insentif Suri Rumah Oleh Kerajaan Malaysia

Kredit gambar: story.motherhood.com.my/my

Jangan risau dulu Mama, sekiranya Mama adalah seorang suri rumah, berikut merupakan salah satu bantuan atau insentif kerajaan yang diwujudkan khas untuk Mama; iaitu i-Suri KWSP.

Insentif khas dinamakan sebagai i-Suri KWSP dibawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia diwujudkan bertujuan untuk menggalakkan suri rumah untuk mencarum secara sukarela bersama KWSP dan sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada sumbangan suri rumah serta memastikan golongan suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih mempunyai simpanan persaraan di hari tua mereka kelak.

Dapat apa je Mama Siti dengan insentif ini?

Melalui insentif ini, golongan suri rumah yang berdaftar di bawah e-Kasih (Pangkalan Data Kemiskinan Nasional) layak untuk menerima sumbangan khas dari Kerajaan sebanyak RM40 sebulan bagi setiap caruman sebanyak RM5 atau RM480 setahun bagi caruman RM60 setahun.

Selain itu, terdapat faedah lain sekiranya Mama mencarum dengan KWSP di bawah program ini. Antara faedah tersebut adalah seperti berikut:

  1. Mencarum pada apa-apa amaun, pada bila-bila masa mengikut kemampuan kewangan.
  2. Boleh membuat pengeluaran mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
  3. Menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan mereka.
  4. Bantuan hilang upaya tertakluk kepada tema dan syarat.
  5. Bantuan Kematian: RM2,500 (tertakluk kepada terma dan syarat KWSP).

Mama boleh baca artikel yang dikongsikan Motherhood.com.my ini untuk maklumat lanjut mengenai bantuan ini.

Tugas ini sememangnya tugas yang berat. Namun, semuanya berbalik kepada diri sendiri. Walau apa jua cabaran dalam menjalankan tugas sebagai seorang suri rumah tetapi jika mental dan fizikal Mama telah bersedia dan telah disetkan dengan fikiran yang positif semuanya akan menjadi lancar dan mudah diuruskan.

Ingat, Mama juga merupakan seorang superwoman yang sangat dihormati!


Fahami perasaan dan kesihatan mental serta fizikal Mama DI SINI.