Sup telur adalah menu sahur yang berkhasiat dan sangat mudah untuk Mama sediakan di awal pagi, seperti di waktu sahur. Kaedah hirup sup perlahan-lahan ini juga membantu mengelakkan dehidrasi. Kalau Mama nak tahu, sebenarnya inilah cara terbaik untuk minum cecair sewaktu bersahur iaitu hirup sedikit demi sedikit.
Telur pula adalah sejenis lemak baik yang sangat bagus dan tiada had pengambilan seharian terutama khasiat kolin untuk otak. Galakkan anak kita makan semua bahagian telur ya Mama untuk khasiat yang optimum. Pengambilan lemak baik sewaktu bersahur akan membantu menambah tenaga berbanding jumlah karbohidrat yang banyak akan ditukarkan menjadi gula.
Seeloknya ambil karbohidrat seperti nasi dalam segenggam sahaja. Mama juga jangan risau jika anak kurang makan nasi, kerana Mama boleh lebihkan lauk dan sayur untuk mereka. Banyak doa minta pada Allah supaya anak-anak terdorong untuk memilih makanan yang sihat.
Jom kita lihat cara-cara untuk memasak sup telur yang sedap ini dan mudah untuk dimasak sebagai menu sahur.
Resepi Sup Telur
Menu favourite anak-anak Mama Siti ni!
Bahan-bahan
- 4 biji telur ayam
- 5 biji bebola ikan atau ayam (dibelah dua)
- Setengah biji carrot (dihiris bulat)
- 3 ulas bawang putih (dicincang)
- Sebiji bawang merah (jika suka)
- Cili besar (jika suka)
- Pati ayam homemade
- Lada sulah
- Garam pink Himalaya
- Dua gelas air tapis
- Minyak masak untuk menumis
- Daun bawang untuk hiasan
Cara Memasak
- Panaskan sedikit minyak masak, tumiskan bawang dan cili sehingga bawang nampak kuning dan garing sikit.
2. Kemudian tambahkan air tapis. Tambah pati ayam homemade, garam pink dan sedikit lada sulah. Kecilkan sedikit api dapur bila kuah mula mendidih.
3. Masukkan telur perlahan, sebiji demi sebiji dan jangan kacau untuk dapatkan poached egg. Bila telur nampak dah masak boleh masukkan bebola ayam atau ikan tadi.
4. Tutup api kemudian taburkan daun bawang dan bawang goreng sebagai penambah rasa. Sup telur dah siap untuk dihidang!
Tips Memilih Telur untuk Masakan
Memandangkan kita nak ambil sepenuh khasiat telur, bolehlah Mama pilih telur ayam yang dibela secara lepas bebas, kerana kualiti kuning telurnya lebih baik untuk perkembangan minda anak-anak. Walaupun menu ringkas, namun Mama tetap menang dalam menyediakan masakan bernutrisi tinggi untuk anak-anak menjamu selera semasa waktu sahur.
Selain itu, Mama boleh pastikan dahulu sama ada telur yang ingin digunakan masih segar atau tidak ya. Mama Siti ucapkan selamat bersahur, dan mari kita sama-sama manfaatkan kebesaran bulan Ramadan. Semoga banyak memori indah tercipta bersama anak-anak di bulan ini.