Mendengarkan nama masakan Thai seperti sup ayam Thai ini memang terus terbuka deria rasa kerana masakan Thai memang terkenal dengan daun ketumbar yang menjadi penguat perisa. Selain itu masakan Thai banyak menggunakan sos ikan yang membuatkan rasa masakan lebih sedap dan ‘umph’ gitu.
Untuk resepi kali ini, Mama Siti kongsikan resepi Sup Ayam Thai yang mudah – hanya tumis sedikit sahaja, dan kemudian masukkan kesemua bahan. Tapi penuh dengan flavour masakan ini!
Mama Siti kalau rasa tak selera lidah ni, memang suka sangat kembali kepada masakan Thai sebab masakannya penuh rasa asli. Keseimbangan rasa seperti masam daripada buah tomato, manis, pedas daripada cili padi dan masin daripada sos ikan. Anak-anak Mama Siti juga sangat gemarkan masakan Thai.
Resepi Sup Ayam Thai
Bahan-bahan
- 3 ulas bawang putih (ditumbuk)
- 2 ulas bawang merah (dimayang)
- Halia sebesar ibu jari (ditumbuk)
- 1/2 biji bawang Holland (dimayang)
- 3 batang serai besar (jika kecil, gandakan)
- 1/2 batang lobak merah
- 4 helai daun limau purut
- 1 sup bunjut
- 3 sudu besar sos ikan
- 1/2 biji perahan limau nipis
- Pati ayam homemade
- 1 biji tomato
- Garam pink Himalaya
- Daun ketumbar sesedap rasa
- 1/2 ekor ayam
- 1.5 liter air
Cara Memasak
- Tumiskan semua bawang putih, halia, bawang merah, bawang Holland dan serai bersama lemak ayam.
2. Masukkan air. Apabila hampir mendidih, masukkan ayam, sup bunjut, pati ayam dan lobak merah. Biarkan seketika. Kemudian boleh masukkan sos ikan, tomato dan daun limau purut serta garam pink.
3. Bila ayam sudah masak, masukkan daun ketumbar dan perahan air limau nipis. Siap sudah.
Resepi oleh: Tengku Syazwanie
Tips masakan
Ketumbar mempunyai banyak manfaat kesihatan yang kita tak sedar. Terutama di bulan Ramadan ini yang banyak berlaku proses detox kerana kita berpuasa. Mama boleh tambah akar ketumbar sewaktu menumis sebagai khasiat tambahan dan juga penambah rasa. Mama juga boleh skip sup bunjut kerana biasanya masakan Thai tidak menggunakan rempah.
Selain ayam, boleh gantikan dengan tulang dan daging lembu cuma tekniknya adalah rebus dahulu hingga empuk, kemudian barulah ditambah bahan-bahan lain.
Selamat mencuba dan selamat berbuka!