KelabMama

‘Checklist’ 8 Sunnah Hari Jumaat Untuk Wanita dan Lelaki

Hari Jumaat ialah penghulu hari umat Islam. Dalam agama kita, hari Jumaat sangat istimewa hingga banyak sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. 

Bagi Mama yang tak dapat pergi solat Jumaat, boleh lakukan 8 sunnah agar dapat meningkatkan keimanan kita semua. 

8 Amalan Sunnah Hari Jumaat

#1 Mandi Sunat

Kredit gambar: Yahoo

Umat Islam disunatkan untuk membersihkan diri sebelum menunaikan solat Jumaat. Jika tidak dapat dilakukan sebelum menunaikan solat, lakukanlah di waktu pagi. 

Kemudian, diikuti dengan memperelokkan anggota badan seperti mencukur bulu kemaluan, bulu ketiak dan menggosok gigi. 

Dalam sebuah hadis pernah dinyatakan bahawa:-

“Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencela di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan ke atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang.” 

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

#2 Membaca Surah al- Kahfi

Kata baginda Rasulullah SAW; 

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat.”

(Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Baihaqi dan al-Hakim)

Sekurang-kurangnya terdapat lima kelebihan membaca surah ini dan salah satunya ialah kita akan dilindungi dari ujian akhir zaman seperti saling dengki-mendengki. 

#3 Sedekah Jumaat

Kredit gambar: BeanaHomeQuran

Semakin banyak kita bersedekah, semakin banyak juga ia kembali kepada kita. Namun begitu, caranya mungkin tidak seperti yang kita berikan. 

Boleh jadi kita diberikan kesihatan mental dan fizikal. Atau juga Allah SWT mengurniakan kita anak-anak yang soleh. 

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” 

(Surah al-Baqarah ayat 215)

#4 Berpakaian Kemas

Kredit gambar: Okezone Muslim

Mama Siti tak maksudkan tentang baju yang mahal atau baru tetapi cukup jika kita memakai pakaian yang elok dan bersih. 

Memandangkan setiap dari kita ialah ejen Islam, maka dengan cara inilah kita menonjolkan keunikan agama kita. 

#5 Berwangi-wangian

Pemakaian minyak wangi di hari Jumaat sangat digalakkan lebih-lebih lagi sebelum pergi Solat Jumaat. 

Minyak wangi yang dicadangkan ialah minyak attar. Akan tetapi wangian yang dipakai hendaklah pada kadar sederhana sahaja. Bimbang bau minyak wangi kita mengganggu orang lain yang sedang solat. 

#6 Zikir dan Doa

Kredit gambar: Detikcom

Perbanyakkan mengingati Allah dan berdoalah sebanyak mungkin kepadaNya. Hari Jumaat lah hari yang istimewa buat mereka yang berhajat. 

Ini kerana hari Jumaat ialah salah satu waktu mustajab doa lebih-lebih lagi pada selepas masuk waktu Asar hingga terbenam matahari.

Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar”.

(Hadis riwayat Ahmad)

#7 Berselawat

Lengkapkan hari Jumaat kita dengan berselawat pula kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. bahkan khatib juga akan mengingatkan jemaah agar berselawat. 

Rasulullah SAW bersabda,

“Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali).” 

(Hadis Riwayat Al-Baihaqi) 

#8 Datang Awal ke Masjid

Rasulullah SAW bersabda;

“Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Datang awal ke masjid memberikan peluang untuk kita beriktikaf dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran dan berzikir.

Kredit gambar: Asyraf Asri

Banyak cara kita boleh lakukan untuk meraikan hari Jumaat. Rugilah kalau kita sia-siakan hari itu tanpa mengamalkan sunnah. 

Semoga dengan mengamalkan sunnah hari Jumaat ini menjadikan hari kita lebih bermakna dan bertambah pahala. 


Tingkatkan amal ibadah lain dengan panduan dan bacaan yang betul seperti dikongsikan DI SINI.