Pernahkan ibu bapa yang lain menghadapi masalah anak kencing malam atau tidak dapat menahan diri daripada kencing? Sebenarnya ini adalah masalah yang sering dihadapi oleh majoritii ibu bapa. Kencing malam (betwetting/nocturnal enuresis) terjadi apabila kanak-kanak yang berusia 5 tahun dan ke atas tidak dapat mengawal kencing mereka semasa tidur. Ia adalah perkara yang sering memberikan tekanan kepada ibu bapa dan juga kanak-kanak itu sendiri.
2 Jenis Kencing Malam iaitu:
- Primary nocturnal enuresis: dimana anak-anak ini tidak pernah berjaya tidak kencing malam
- Secondary nocturnal enuresis: dimana anak-anak ini pernah berjaya tidak kencing malam sekurang-kurangnya enam bulan
Jangan terlalu risau apabila anak anda tidak berjaya mengawal kencing pada waktu malam pada umur 5 tahun kerana sesetengah kanak-kanak mungkin kurang matang bagi perkembangan pengawalan kencing tetapi perkembangan lain seperti perkembangan fizikal, pertuturan dan sosial adalah normal. Cuba tanya pada atuk atau nenek, adakah ibu bapa sendiri atau ahli keluarga lain pernah kencing malam selepas umur 5 tahun? Jika ya, faktor genetik ini boleh menyebabkan anak anda mungkin lebih berisiko untuk mendapat “primary nocturnal enuresis”.
Sebab-Sebab Kencing Malam
- Adakah anak selalu minum minuman berkafein? Minuman berkafein seperti kopi, kola, coklat dan teh boleh merangsang penghasilan air kencing yang banyak.
- Adakah anak anda mempunyai masalah sembelit? Najis yang keras akan sentiasa menekan pada pundi kencing kanak-kanak.
- Adakah ianya disebabkan jangkitan seperti kencing kotor? Adakah pada waktu siang juga anak-anak tidak dapat mengawal kencing mereka?
- Adakah anak anda mempunyai masalah kongenital seperti sindrom Down, Spina bifida (kecacatan pada tulang belakang semenjak lahir) , mempunyai kelewatan perkembangan secara global atau ADHD (anak hiperaktif)? Kebanyakkan anak-anak istimewa ini akan menghadapi masalah mengawal kencing mereka.
- Adakah anak anda mempunyai simptom penyakit kencing manis? Kanak-kanak diusia muda juga boleh mendapat Diabetes. Adakah mereka sering dahaga, kerap kencing siang dan juga malam, hilang berat badan?
- Anak anda telah berjaya mengawal kencing. Mengapa kencing malam berlaku semula? Faktor yang paling utama adalah tekanan emosi. Bagi kanak-kanak ini, pihak doktor perlu menyelidik dengan lebih lanjut tentang punca tekanan emosi yang dihadapi oleh mereka.
Tips Membantu Agar Anak Tidak Kencing Malam
- Paling penting jangan sesekali marah anak anda setiap kali anak terkencing malam. Anak-anak ini bukan sengaja dan mereka sememangnya tidak dapat mengawal pundi kencing mereka. Lama kelamaan, dengan masa mereka akan dapat mengawalnya.
- Elakkan anak- anak daripada minum air beberapa jam sebelum tidur
- Elakkan anak-anak daripada meminum air kopi atau teh
- Pastikan setiap kali sebelum tidur, bawa anak ke tandas untuk membuang air kecil
- Perhatikan pada pukul berapa anak selalu terkencing. Pasangkan loceng penggera 30 minit sebelum itu dan kejutkan anak untuk ke tandas dan kencing.
- Berikan kata-kata pujian yang banyak atau hadiah yang berpatutan sebagai reward setelah sebulan mencapai target.
- Gunakan cadar kalis air supaya tilam tidak basah dan mudah dibersihkan.