Ada yang teringin nak buat solat sunat tahiyatul masjid tapi tak tahu caranya dan belum benar-benar faham tentang solat yang satu ini.
Mama berada di tempat yang tepat! Mama Siti akan jelaskan perihal berkaitan solat tahiyatul masjid dan cara-cara melakukannya.
Apa itu Solat Sunat Tahiyatul Masjid?
Makna solat sunat tahiyatul masjid ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan sebaik sahaja seseorang masuk ke masjid sebelum duduk.
Hukumnya ialah sunat muakad sebagai simbol selamat datang bagi menghormati masjid sebagai rumah ibadat.
Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila salah seorang di antara kamu mendatangi/memasuki masjid, maka janganlah duduk sebelum mengerjakan solat dua rakaat.”
Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Cara Solat Sunat Tahiyatul Masjid
Lafaz Niat
Lafaz Niat Dalam Rumi
‘Usolli Sunnata Tahiyyatil Masjidi Rak’ataini Lillahi Taala ‘
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tahiyatul masjid dua rakaat kerana Allah Taala.
Solat sunat ini tidak mempunyai had waktu untuk mengerjakannya. Ini bermakna Mama juga boleh mendirikan solat sunat itu walaupun sedang berada dalam waktu diharamkan solat.
Tatacara Solat Sunat Tahiyatul Masjid
Rakaat Pertama
#1 Takbiratul ihram
Angkat takbir sambil membaca niat solat tahiyatul masjid di dalam hati. Ia boleh dilakukan samada dalam bahasa arab atau dalam bahasa Melayu.
“Sahaja aku solat Sunat Tahiyyatul Masjid dua rakaat kerana Allah Taala”
Nota: Dibenarkan untuk melafazkan niat sebelum mengangkat takbir sebelum solat biasa.
#2 Baca al-Fatihah
Kebiasaannya solat sunat tidak perlu dibacakan doa iftitah namun sekiranya ingin melakukannya, dianggap baik dan mendapat pahala.
#3 Baca surah pendek dari al-Quran
Mama bebas memilih mana-mana surah. Banyak saranan menyatakan agar membaca surah al-Kafirun dalam solat sunat semasa rakaat pertama.
Surah al-Kafirun rumi
‘Qul Yā Ayyuhal-Kāfirūn. Lā A‘Budu Mā Ta‘Budūn. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Wa Lā Ana ‘Ābidum Mā ‘Abattum. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Lakum Dīnukum Wa Liya Dīn’
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
#4 Rukuk
#5 Bangun Iktidal
#6 Sujud pertama
#7 Duduk antara dua sujud
#8 Sujud kedua
#9 Duduk istirahah
Rakaat Kedua
#1 Takbir intiqalat
Takbir ini bermaksud takbir permulaan untuk rakaat kedua.
#2 Baca surah al-Fatihah
#3 Baca surah al-Ikhlas
Sama juga seperti saranan di rakaat pertama iaitu membaca ‘Qul huwallah hu ahad’ dalam solat sunat. Namun begitu, umat Islam masih dibenarkan untuk membaca mana-mana surah pendek dari al-Quran.
#4 Rukuk
#5 Bangun Iktidal
#6 Sujud pertama
#7 Duduk Diantara Dua Sujud
#8 Sujud Kedua
#9 Tahiyat akhir
#10 Beri Salam
Kelebihan Solat Sunat Tahiyatul Masjid
Mendidik diri menghormati rumah Allah SWT yang menjadi tempat hambaNya menyempurnakan kewajipan. Insya Allah dengan cara ini kita dapat menjadi manusia yang menghormati semua makhluk hidup dan mati.
Seterusnya, solat sunat ini juga melatih masyarakat meningkatkan ketakwaan kepada Allah yang maha esa. Harapnya, dengan banyaknya solat sunat, semakin kita menyayangi tuhan dan tuhan menyayangi kita.
Tidak dilupakan juga ianya sebagai jalan untuk kita ke syurga. Banyak solat sunat, banyak pahala. Mudah-mudahan usaha ini mampu mengampunkan dosa kita dahulu dan masukkan kita ke syurga.
Isu Berkaitan Solat Sunat Tahiyatul Masjid
- Bagaimana seseorang duduk tanpa sengaja atau terlupa. Padahal belum mendirikan solat sunat tahiyatul masjid?
Terdapat dua keadaan yang menjelaskan perkara ini.
Pertama: Terlupa yang sekejap dan teringat maka itu dibolehkan untuk bangun dan solat.
Kedua: Terlupa untuk waktu yang panjang dan teringat. Jika berlaku maka tidak lagi boleh bangun solat sunat tahiyatul masjid.
- Ketika imam dan jemaah ingin memulakan solat fardu dan belum atau sedang solat sunat tahiyatul masjid?
Soalan yang menarik! Jika masih di rakaat pertama solat sunat, wajib membatalkan solat sunat tahiyatul masjid dan segera masuk saf solat fardu.
Jika telah pun berada di rakaat kedua, hendaklah dipercepatkan rukun solat yang berbaki dengan sempurna dan terus menyertai jemaah solat fardu.
- Sengaja duduk walaupun ingat tentang solat sunat tahiyatul masjid?
Apabila berlaku keadaan seperti ini, maka seseorang itu telah kehilangan peluang untuknya melakukan solat sunat tahiyatul masjid.
Mudah-mudahan dengan artikel ini, Mama lebih yakin untuk melakukan solat sunat ini apabila berkunjung ke masjid. Semoga solat ini menjadi pemberat untuk kita ke syurga nanti.
Dapatkan lebih banyak infografik ibadat di SINI!